Azam Tahun Baru Saya Untuk 2019

Aduh! Sudah bulan Ogos, baru mahu ceritakan azam tahun baru saya untuk 2019 ini? Terlambat? Tak juga, terlambat berkongsi sahaja. Cita-citanya sudah saya setkan semenjak awal tahun lagi.

Banyak sebenarnya yang saya mahu lakukan tahun ini, tapi cukuplah saya senaraikan tiga sahaja.

Cabaran Membaca 60 Buku

Semenjak tahun 2011, saya sudah menyertai program "NILAM" versi orang dewasa di laman sosial pembaca buku, Goodreads. Setiap awal tahun, masing-masing akan menetapkan jumlah bacaan (apa jenis pun) untuk tempoh 12 bulan. Goodreads akan "menasihatkan" berapa buah buku yang perlu selesai dibaca mengikut waktu untuk memastikan sasaran tercapai.

Malangnya, bermula tahun 2017 saya sudah "gagal" mencapai matlamat. Kekangan masa adalah alasan yang paling kukuh. Membaca semakin perlahan, tetapi membeli buku belum pernah surut semangatnya.

Untuk tahun 2019, sasaran saya ialah 60 buah buku. Setakat hari ini (22 Ogos), baru 29 buah buku yang berjaya dikhatamkan. Untuk tahun yang berbaki empat bulan lagi, saya perlu melangsaikan 31 buah buku lagi. Adoi! Sempat tak ni? Dah lah koleksi buku semuanya melebihi 300 muka surat.

Berusahalah!

Azam Tahun Baru Saya Untuk 2019 - Membaca buku

Cabaran 150 Kilometer

Sama seperti cabaran membaca, saya juga menetapkan jumlah kilometer untuk larian (dan juga hiking) setiap tahun. Semenjak dinasihatkan doktor supaya mengurangkan aktiviti lasak tahun lepas, semangat saya juga jatuh merudum.

Sebelum ini, 200 ke 300 kilometer untuk larian mudah untuk saya capai. Itu tak termasuk berbasikal dan mendaki gunung.

Untuk tahun 2019, saya sasarkan 150 kilometer sahaja gabungan ketiga-tiga acara sukan yang saya minat ini. Cukuplah. Sehingga hari ini, masih berbaki kira-kira 60 kilometer sebelum mencapai sasaran.

Insya-allah!

Azam Tahun Baru Saya Untuk 2019 - 150 Kilometer

Cabaran 150 Entri Blog 

Ini, azam yang terbaru.

Sehingga hari ini, jumlah tertinggi entri blog saya ialah pada tahun 2014, iaitu sebanyak 186 artikel. Wow! Saya pun tak sangka boleh menjadi sebanyak itu, tapi antara faktor yang menjadikan entri saya banyak adalah disebabkan saya menyertai cabaran blogger (16 Days Photo Challenge), seperti yang saya sertai sekarang (Cabaran Julai, Catatan Ogos). Selain itu, saya juga ketika itu rajin membuat entri tentang ulasan buku. Tak hairan tahun itu entri saya sangat banyak.

Baik. Ini yang perlu saya lakukan demi mencapai sasaran 150 entri blog.

1) Blog sharulnizam.com - sekiranya saya berjaya menyiapkan cabaran Ogos, total entri akan menjadi 60 (lebih kurang). Bermula September sehingga hujung tahun, saya hanya perlu kekalkan 10-15 entri sebulan. Sasaran akhir; 100 entri.

2) Blog petai.net - sehingga hari ini, sudah ada 34 entri. Insya-allah, untuk menyiapkan 16 entri demi mencapai 50 entri keseluruhan, saya yakin boleh buat. Purata 4-5 entri sebulan bakal mencukupkan jumlah keseluruhan.


Nombor

Itu "sahaja" perkara yang saya ingin lakukan tahun ini. Seperti yang saya katakan, banyak lagi yang saya mahu buat, tetapi cukuplah tiga ini yang saya kongsikan.

Oh ya!

Dulu, saya pernah kongsikan cita-cita saya pada seorang rakan. Belum sempat saya ceritakan semuanya, dia sudah mencebik bibir. Kata dia, azam saya terlalu general dan tak ada titik akhir.

Kenapa?

Kata dia, tetapkan matlamat yang tangible, yang boleh dilihat, disukat dan diukur. Sebaik-baiknya, menggunakan nombor.

Mahu membaca? Tetapkan berapa buah buku.

Mahu mengurangkan berat badan? Berapa sasaran sebulan? Berapa calorie intake sehari?

Mahu berlari? Berapa kilometer setiap larian petang?

Dan catatkan!

Itu yang membezakan cita-cita menjadi kenyataan, atau sekadar angan-angan.

Fighting!




Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Wordprompt #5 : Perkara yang anda ingin lakukan tahun ini.






Reactions

Post a Comment

0 Comments