Malam Keliwon Itu

Khamis, 10 April, 1997.
Peluh di dahi Ahmad Rizal meleleh-leleh. Dahi yang luas, orang yang bijak kata orang tua-tua. Sesekali Ahmad Rizal menyapu peluh dengan lengan baju jersi yang dibelinya di Bukit Kayu Hitam. Sakan peluhnya, walhal di luar hujan lebat dari petang tadi masih tak surut. Sejuk malam bumi Sintok bagaikan tidak terasa. Ahmad Rizal tak peduli. Kakinya tetap melangkah laju. Mahu segera sampai ke bilik. Tak berpayung, peluh Ahmad Rizal dan air hujan kini bersatu.

Hati Ahmad Rizal betul-betul sebal. Janji rakan sebiliknya si Salman nak menjemput dari dewan kuliah jam 9.30 malam hanya tinggal janji. Manusia. Kalau dah asyik mahsyuk bercinta, habis semuanya tunggang langgang. Ahmad Rizal tahu, Salman masih lagi berada di Mall Univiersiti. Mungkin sedang bergelak tawa bercanda mesra di kafe Kak Yah, berlagak mewah dengan duit MARA.

Ahmad Rizal turut menyalahkan diri. Entah apa anginnya, minggu ini tak mahu ke mana-mana pergi bercuti. Selalunya sehabis kuliah hari Khamis, panjang langkah Ahmad Rizal ke Alor Setar bermain bowling dengan rakan-rakan. Sampai larut malam. Tapi minggu ini, tak seorang pun yang mahu. Ahmad Rizal tak ada pilihan. Adat orang menumpang motor rakan, kalau ada yang mengajak, berjalan lah. Kalau tak, terperap lah. Sudahnya Ahmad Rizal ke dewan kuliah mentelaah. Ahmad Rizal menumpang motor Kriss hijau Salman, dan masing-masing bersetuju untuk berjumpa balik jam 9 malam untuk pulang.

Sekarang, masing-masing entah ke mana.

Ahmad Rizal sudah melepasi bangunan Canselori. Masih jauh lagi perjalanan ke kolej kediamannya, Kolej MAS yang terletak paling hujung antara semua kolej. Cahaya di jalanan pula semakin kelam. Lampu neon hanya dibuat untuk laluan-laluan utama. Laluan pintas dari kolej ke kawasan akademik sememangnya tidak diiktiraf pihak universiti. Laluan menyusur sungai, mungkin sebab itu tiada lampu jalan disediakan. Kini rasa marah Ahmad Rizal kepada Salman bertukar menjadi seram sejuk. Hatinya mula berdebar-debar.

Gelap malam bertambah pekat. Hujan bertambah lebat. Pandangan Ahmad Rizal menjadi terhad. Sinaran lampu dari bilik-bilik kolej sudah samar-samar. Mungkin sudah ramai yang tidur. Aktiviti di kota Sintok yang sememangnya terhad, menjadi semakin terhad bila cuaca sebegini di malam hari. Benak fikiran Ahmad Rizal bercampur baur. Waktu-waktu beginilah dialog-dialog tulisan Tamar Jalis dalam bukunya Bercakap Dengan Jin menerpa fikiran. "Lembaga putih bergentayangan sambil ketawa mengilai-ngilai", "..sesuatu bergerak dari balik semak mendengus-dengus marah..". Arghhhh!

Ahmad Rizal berjalan laju. Kalau berlari, takut tersadung. Dalam kekalutan mahu segera sampai ke bilik, mata Ahmad Rizal menangkap sesuatu yang bergerak di depan. Terhinggut-hinggut. Ahmad Rizal semakin tak tentu arah. Entah apa pulak aral di depan. Mahu menyimpang ke jalan lain, Ahmad Rizal tiada pilihan. Ke kiri, sungai Sintok. Ke kanan, tebing tinggi. Mahu patah balik, hanya kegelapan bangunan-bangunan akademik yang ada. Ahmad Rizal nekad. Apa pun di depannya, akan tetap diredah. Bila Ahmad Rizal sudah berkira-kira mahu merempuh, terdengar satu jeritan yang nyaring lagi halus berpanjangan. Bumi Sintok bergegar. Dan titisan hujan terus turun tanpa henti.


Jumaat, 11 April 1997.
Pagi itu suasana menjadi kecoh. Sana-sini orang bercerita peristiwa gempar malam tadi, terutamanya siswa-siswi di Kolej MAS. Bermacam-macam versi. Bagi siswa, sudah ada yang berura-ura mahu mengadakan majlis bacaan Yassin sesudah solat Jumaat tengah hari nanti. Hentian bas juga sudah ramai siswi yang beratur. Masing-masing mahu keluar dari kolej kediaman, kerana tidak mahu peristiwa malam tadi turut melanda diri.

Salman juga antara rancak yang bersembang dengan isu malam tadi. Dari apa yang Salman dengar, ada siswi kolej MAS yang pengsan di laluan pintas di belakang kolej. Motornya hilang kawalan disebabkan hujan lebat, lalu terjatuh di tepi tebing. Agak lama menunggu bantuan, siswi itu nekad mahu berjalan kaki ke kolej. Dengan kaki yang luka terhempap motor, siswi tersebut terpaksa berjalan berjengket-jengket ke kolej. Masa tu lah siswi terdengar ada sesuatu yang berlari di belakangnya. Bila ditoleh, sekonyong-konyong itu lah ada lembaga hitam merempuhnya. Yang siswi itu nampak, hanya lah mata yang menakutkan. Baunya pula ibarat ikan masin yang terperap lama. Busuk, hancing.

Di kejauhan, Ahmad Rizal sudah menghidupkan enjin motor Kriss hijau Salman. Sambil menyeka air mata yang mengalir, Ahmad Rizal melayan hatinya yang luka dengan prasangka manusia. Seelok kejadian diri ini, dikatakannya penunggu puaka sungai Sintok. Air mata tumpah lagi. Ahmad Rizal tahu, dia harus menyesuaikan diri. Motor dihalanya ke Mall Universiti, mahu membeli krim pencerah kulit.



Siri Bacalah lagi;






Reactions

Post a Comment

0 Comments