"Jangan berbunyi walau perkataan 'ahhh' sekali pun!".
Bank ITKK (Interest Tinggi Kaw Kaw) yang sememangnya sunyi petang tu menjadi senyap. Tiga lelaki berpakaian serba merah jambu bersenjatakan M16 merempuh masuk kira-kira 15 minit sebelum waktu operasi tamat. Bank kecik di pekan Ulu Banat sedang dirompak!
"Mengkomer semue dengor cakap boss awok tu. Buruk jadinye kalau mike melawan". Perompak kedua menyambung arahan. Gaya cakapnya terkepit-kepit, tak tau lah memang lumrah kejadiannya begitu atau sedang menahan sesuatu. Matanya meliar memerhati sekitar bank. Pelanggan waktu begini memang kurang. Tak lebih dari 3 orang. Kalau time gaji nanti, penuh sampai ke kedai sebelah beraturnya.
Pak Guard yang diupah dari Nepal sudah terjelepuk di pintu masuk. Entah bila masanya terbaring kat situ, tak siapa perasan. Cota, satu-satunya senjata yang diberi untuk mengawal keselamatan, sudah memakan diri. Kepalanya berdarah, cotanya terbelah dua di sisi.
Dan aku, bersama 3 pekerja yang lain bagai sudah terkancing ke lantai, tegak berdiri di belakang kaunter. Perompak ketiga mengacu-acu kan senjatanya ke arah kami. Kak Limah, kerani kanan merangkap orang paling lama bekerja di bank ini menangis teresak-esak. Tangannya jelas menggigil ketika memasukkan wang ke dalam beg plastik bercop IKEA.
Perompak pertama yang sedari tadi hanya memerhati, melangkah macho menghampiri kaunter. Mukanya tertutup dengan topeng Hantu Kum Kum, sebagai pelindung pengenalan diri. Sekali lagi Kak Limah dijerkah.
"Kau bangun!".
"Kau cakap dengan aku sekarang, siapa sini namanya, Sharul Khan Nizam Khan? Cepat!"
Terkejut dengan jerkahan itu, tindak balas Kak Limah secara otomatis menudingkan ke arah kami di belakangnya. Secara khususnya, aku! Kak Limah memang jujur.
"Ooo.. kau ye! Apa kau buat kat sini?"
"Ke.. kek.. Kerja", aku jawab dengan penuh kepura-puraan. Pura-pura takut. Otak cuba menafsir kenapa aku yang dicarik. Seumur hidup aku, tak pernah pun keluar dari pekan Ulu Banat nih. Sehabis besar onar yang aku buat, pegi main game Contra lepas sekolah. Itu pun 15 tahun yang lepas. Jadi, tidak mungkin ada yang berdendam?
"Banyak la kau punya kerja. Kau ke depan, cepat!".
Aku melangkah 5 tapak ke depan. Antara aku dengan si kepala perompak, kini hanya ada muncung M16 sebagai pemisah. Lalu dikeluarkannya satu fail yang disimpan dalam baju, lencun lembab dengan peluh masam.
Jijik.
"Kau bukak fail ni sekarang, lepas tu kau baca bagi semua sini dengar. Kuat kuat!"
"Tapi..."
"Kau jangan banyak bunyi. Aku hentak kau ngan benda ni kang!".
Aku akur.
Muka pertama aku selak. Kosong. Sehelai lagi diselak. Ada perkataan-perkataan tersusun jadi satu perenggan. Dengan lantang, aku baca.
TAHNIAH! Anda telah terpilih sebagai peserta Akademi Permata Pink musim ketiga. Jumpa ada di sana.
Sekonyong-konyong itu pintu bank diterjah. Kelihatan jurukamera dan beberapa orang krew menyerbu masuk dan kamera terhala ke muka. Pelanggan yang tiga orang semua bertepuk tangan. Pak Gat yang terbaring tadi sudah bangun, sambil menyapu-nyapu darah di muka. Tangan kirinya kejap memegang sebotol sirap ros buatan tempatan. Kak Limah disebelah terkekek-kekek gelak. Sambil bangun dari kerusi, Kak Limah bertepuk tangan.
"Ser-pe-ra-es", Kak Limah kata dengan English slang Ulu Banatnya. Tak sangka. Pandai Kak Limah berlakon. Siap dah buat plan dengan krew lagi.
Si kepala perompak membuka topeng. Wajah sebenar dengan topeng tadi tak banyak beza. Tapi aku cam muka itu. Ya. Pengacara Akademi Permata Pink yang tersohor, Riez Nawawi. Sambil ketawa kegembiraan dan kelucuan, Riez tak habis-habis bertanya apa perasaan aku sebab terpilih.
Aku senyap. Sambil meraup wajah, aku menghirup udara untuk menenangkan diri yang cemas dengan situasi sebentar tadi. Aku susun perkataan satu persatu. Dengan penuh keyakinan diri, terlancar jawapan balas kepada Riez.
"Bang. Lu sengal ke apa? Gua tak pernah pun apply pun masuk rancangan lu nih. Nak tengok pun payah, coverage lu punya channel kat sini pun kira nasib je cecah satu bar. Lagipun gua tak layan rancangan merosak akidah nih".
Aku kenyit kat kamera. Pastu tunjuk tanda "bagus" dengan ibu jari kanan. Sambil melangkah keluar dari bank, aku jeling kat Kak Limah. Kak Limah dah kembali menggigil. Kali ni lebih kuat gigilnya dari yang tadi.
Siri Bacalah Lagi;
zalila : http://psittacula.wordpress.com/2011/04/14/ayam-golek-dan-sebuah-bank/
gunx: http://gunx.blogspot.com/2011/04/cerpen-indie-5-pengalaman-cemas-saya.html
sen : http://olok2.blogspot.com/2011/04/pengalaman-cemas-saya.html
salman: http://elemti26.blogspot.com/2011/04/pengalaman-cemas-saya.html
sarul : http://sharul.blogspot.com/2011/04/pengalaman-cemas-saya.html
nur amirah : http://nurish0310.blogspot.com/2011/04/cerpen-indie-pengalaman-cemas-saya.html
pelitaminyak tanah : http://pelitaminyaktanah.wordpress.com/2011/04/18/cerpen-hari-isnin-pengalaman-cemas-saya/
1 Comments
post kali ni terbaek...ehehhe
ReplyDelete