Hujan

Dulu kalau hujan, aku lah paling suka hati. Berdua, tapi selalunya berlima, dengan sepupu rumah sebelah menyebelah, kami pusing keliling rumah main hujan. Kadang-kadang keliling kampung. Mandi. Berkaki ayam. Kejap ke depan. Kejap ke dapur. Kawasan tumpuan selalunya di kolong penadah hujan dari bumbung. Air turun mencurah-curah. Ambik giliran mandi kat situ, feeling-feling mandi air terjun. Siap ada aksi Jackie Chan, kadang-kadang Jaka Sembung. Mak dan abah habis marah pun, suruh masuk ikut pintu dapur. Kalau masuk pintu depan, siap lah kena cubit.

Sekarang, kena gerimis sikit pun boleh demam 2-3 hari.

Dulu kalau hujan, memang perit. Kasut sekolah ada sepasang. Nak jemur takde pilihan. Sudahnya jemur bawah peti ais. Peti ais zaman dulu-dulu ada letak batu tungku. Peti ais naik meninggi. Boleh selit kasut adik-beradik bawah tu semalaman. Nasib tak baik, pagi esok pegi sekolah pakai kasut basah.

Sekarang, kasut paling kurang 2 pasang. Peti ais pun dah rata ke bumi.

Dulu kalau hujan, aktiviti jadi terhad. Nak tengok tv tak boleh. Mainan tak ada. Kalau tak tido, mak jamu minum teh o panas. Kadang-kadang milo panas. Cicah dengan biskut lemak. Berlumba-lumba makan adik beradik.

Sekarang, macam-macam boleh buat. Cuma Astro je tak boleh bukak.

Dulu kalau hujan, baldi dan besen bersepah dalam rumah. Dalam baldi, alas dengan kain. Takut air yang turun, terpercik ke lantai. Syiling bocor, zink dah mereput. Bunyi air menitik kadang-kadang jadi pengganggu tidur.

Hujan. Hukum alamnya sama. Air dari atas turun ke bawah.

Hujan.

Rahmat.


Siri bacalah lagi;
Gunx - http://gunx.blogspot.com/2011/09/cerpen-indie-16-tap-tap-tap.html
Mat Sen - http://olok2.blogspot.com/2011/09/setelah-hujan.html





Reactions

Post a Comment

0 Comments