Bella Si Budak Baru

Siti Nurzalila merajuk lagi. Kali ni muncung mulutnya bertambah panjang, tanda protes yang maksima. Kalau diukur, lebih kurang sama panjang dengan jari telunjuk tangannya. Punca? Kali ni kawan baiknya sendiri Dik Nur aka Nur Rudeenawati yang carik pasal. Semuanya gara-gara Dik Nur yang tersasul memanggil Siti dengan nama yang paling tak disukainya.

Bella.

Kalau dari segi bunyinya, seperti iras-iras nama mat saleh. Sepertinya kependekan nama Isabella. Kan ada kelas tu? Tapi Siti tau. Tau sangat-sangat. Bukan itu asal-usul nama Bella. Nama Bella tak pernah ada dalam senarai nama komersial Siti. Ini semua si musibat kelas 5 Serindit punya angkara. Dendam Siti pada si budak botak Jejai tak pernah surut. Tak akan.

Enam bulan yang lepas...

Siti ke sekolah baru dengan perasaan berbelah bahagi. Dihantar belajar di kampung bukan lah satu perkara yang Siti pernah angankan. Tapi Siti tak ada pilihan. Siti terpaksa tinggal di kampung Olak Lempit sepeninggalan ayah dan emak bekerja di luar negeri. Siti merajuk, tapi rajuk Siti tak panjang. Opah dan atuk tahu memujuk.

Pulut durian.

Pagi itu Siti kekenyangan. Entah berapa kali Siti megulang tambah, tak pernah Siti kira. Kuah durian santan Opah memang tak ada tandingan. Siti simpan baki pulut dan kuah dalam gobok, balik sekolah nanti mahu diulang lagi. Sebelum keluar, sempat jugak dicedoknya sesudu kuah ke mulut. Macam itu lah obsesnya Siti dengan pulut kuah durian.

Siti melangkah ke sekolah bergendang-gendut.


5 Serindit

Siti melangkah  perlahan menuju kelas, selepas berurusan di pejabat Guru Besar. Budak pejabat yang mengiring, langsung tak bercakap. Marah agaknya sebab ditugaskan dengan tugas di luar bidang. Siti mengekor diam di belakang. Selang 2 blok, Siti sampai di depan kelas 5 Serindit.

Kelas Siti kelas Perdagangan. Di sekolah baru Siti, ada satu kelas yang tawarkan kelas Perdagangan. Yang lain-lain, kelas Sastera. Siti memang tak pernah minat sastera. Siti lebih petah bermain angka matematik tambahan, memasang api penunu bunsen di makmal kimia, membelah perut katak di makmal biologi. 

Sastera? *rolling eyes*

Tok! Tok!

"Maaf cikgu, ni ada pelajar baru untuk kelas 5 Serindit".

"Oh! Sampai dah? Sila masuk."

Siti masuk. Sambil-sambil Siti mengibas rambut ala-ala Cameron Diaznya dalam filem There's Something About Mary, Siti sempat menjeling ke dalam kelas. Kelasnya penuh. Mungkin 40 orang pelajar. Bilangan pelajar perempuan dan lelaki sama banyak, dan seperti lazimnya ruang belakang dipenuhi pelajar lelaki. Tapi mata Siti tertumpu ke depan kelas. Siti hairan masih ada budak lelaki yang duduk di meja depan sekali. Mata Siti bertentang dengan budak lelaki botak yang menyeringai seperti biawak ternampak telur, cepat-cepat Siti mengalih pandang.

"Awak Siti Nurzalila ye? Saya cikgu Nik Izwan, guru kelas ni dan jugak guru Matematik Tambahan. Kita pun baru nak mula kelas ni, alang-alang tu awak kenalkan diri dulu."

Siti dah agak. Sesi ta'aruf sebegini sudah Siti jangka. Siti tersenyum manis, dan kembali melangkah ke tengah kelas. Siti kini berdiri betul-betul depan budak botak.

"Assalamualaikum."

"Wa'alaikumsalam"

Salam Siti bersahut. Siti tersenyum. Ada suara-suara nakal yang bersorak mengusik di belakang kelas. Cikgu Nik hanya tersengih. Sedikit banyak Siti teruja dengan sambutan begitu. Dengan hujung jari hantu, Siti selakkan rambut yang terjuntai di depan mata. Gerak perlahan Siti membuat sorakan bertambah riuh.

"Nama saya..."

Kelas senyap.

"Nama saya Siti Nurzalila"

Cakap Siti terhenti. Bukan sebab diusik lagi. Tapi kali ini seperti ada sesuatu yang mahu keluar dari perut Siti. Tapi Siti teruskan juga.

"Saya berasal da..... BUURRRRRPPP.. WAAARRRRKKKK.... BURRRRPPPPPP... WAAARRRKKK"

Seraya itu kelas kembali kecoh. Lebih kecoh dari mula-mula tadi. Gelak budak-budak lelaki di belakang kelas bagai di sampuk setan. Sampai ada yang terjatuh kerusi. Cikgu Nik di sebelah menutup mulut menahan gelak, tapi henjut bahu Cikgu Nik tak terselindung. Dan Jejai, si budak botak yang duduk di depan Siti tadi, sudah pucat lesi. Jejai muntah di tepi meja.

Siti kaget. Malu. Mukanya merona merah. Padah menketedarah pulut sudah terjadi. Siti tahu kalau makan pulut, angin nya menjadi-jadi. Tapi bila dah terhidang di depan mata, Siti langsung tak ingat yang hari ni Siti akan mula bersekolah.

Siti terus-terusan belahak.

Dan Jejai, sesudah selesai mengeluarkan isi perut, sempat lagi marahkan Siti.

"Maaakkkk aaaiiiii... muka cantik, tapi belahak bau tempoyak!!!"

Sejak hari tu lah Siti mendapat nama Bella. Kependekan dari BELAhak. Dan Jai, digelar Jai Tempoyak. Seteru mereka dari hari tt sampai sekarang masih tak terpadam. 


Siri bacalah lagi;
Gunx - http://gunx.blogspot.com/2011/10/cerpen-indie-18-budak-baru.html
Rudeen - http://maufikir.blogspot.com/2011/10/cerpen-indie-1-budak-baru.html






Reactions

Post a Comment

0 Comments