Kipas siling kelas 5 Kenari berputar perlahan. Perlahan, tapi itu lah kelajuannya yang paling maksimum. Sudah bertahun sifatnya begitu. Dari kelajuan nombor satu sampai nombor lima, tetap sama. Mahu dibaiki? Jangan kau mimpi. Sudah lumrah sekolah bantuan penuh kerajaan, selagi bilah-bilah kipas yang berkarat itu masih berfungsi, janganlah cuba bernafsu-nafsi berangan-angan akan ada tangan sakti yang datang membaiki. Apatah lagi kalau ada terlintas harapan untuk mendapat kipas baru, itu namanya kau berpenyakit gila nombor dua belas; gila mabuk kipas.
Aku sendiri sudah rimas. Tempat duduk di tepi dinding terhalang dari tiupan angin petang dari luar. Kalau ada pun angin yang sampai, sudah dikautnya sekali bau tengit Shahrizal yang tempat duduknya betul-betul di tepi pintu. Anak tukang kebun sekolah itu memang terkenal dengan otak cerdasnya, sama terkenal dengan hobinya yang tak suka mandi. Ah! Kau tau kawan? Kalaulah hobi Shahrizal itu masuk dalam senarai penyakit gila, tidak dibantah-bantah aku letakkan di nombor yang paling utama. Muktamad.
Tapi percayalah, hari itu panasnya bukan main. Tidak terperi. Kalau diingat kata Cikgu Wan Noor Zalilah, gurun Sahara lah tempat yang paling panas di muka bumi. Panasnya sampai hampir sifar kehidupan. Air peluh kalau menitis dari pipi tak akan sempat cecah ke bumi, hilang tersejat serta merta. Bersungguh-sungguh cikgu subjek Alam & Manusia itu bercerita. Tapi tidak pada hari ini. Hanya hari ini aku tak bersetuju dengan cikgu behidung mancung itu. Yang paling panas, bukan lagi gurun Sahara. Yang paling panas ialah hati kecil manusia berkulit warna ciku masak bernama Wan Shahrul Haikal bin Wan Yusof.
Kejadian tadi masih belum dapat dilepaskan dari fikiran. Masih panas. Mendidih.
Kenari (Sumber: http://ocehankenari.blogspot.com) |
BARISAN
Tadi selepas rehat, aku dipanggil keluar dari barisan sebelum masuk ke kelas. Ada lagi tiga orang yang lain turut dipanggil. Hafez, Rizwan dan penolong ketua darjah 5 Kenari, Ruzaimi. Kami hanya patuh, tanpa banyak soal. Suara pengawas Mawar Rudeeni yang gemersik merdu, terdengar tegas kali ini. Kami di suruh tetap berdiri, manakala rakan-rakan yang lain disuruh masuk ke kelas. Mawar Rudeeni, hari itu manis berbaju kurung. Rambutnya yang kerinting, dibiar lepas sampai ke bahu. Matanya yang sepet, tanda jati diri anak keturunan Jawa, terselindung di balik kaca mata yang bertangkai warna cokelat. Mawar Rudeeni jarang tersenyum, apa lagi ketawa, kerana kalau tersenyum mata sepetnya ibarat otomatis akan menjadi satu garis lurus. Hilang."Jom! Kita ke bilik Guru Besar!"
Kata-kata yang terluncur tiba-tiba dari bibir Mawar Rudeeni itu mengejutkan. Yang amat mengejutkan. Ke bilik Guru Besar? Sudah lima tahun aku bersekolah di sini, tak pernah sekali pun aku ke situ. Pejabat Guru Besar itu ibaratnya sama seperti pokok beringin yang tinggi merendang tegak di hujung kampung. Menyeramkan. Kau tak akan mahu ke situ, kawan. Sampai bila-bila. Apa lagi kalau di situ adanya manusia bernama Abdul Haidi, Guru Besar SK Gombak Maju. Semua orang tahu betapa garangnya manusia yang tinggi melampai itu. Kalau kau tertangkap atas kesalahan yang bukan-bukan, bersedia lah kau dengan penampar lima jari lebarnya. Ataupun, kalau kau bersideburn panjang, pasti kau akan terjengket menahan sakit bila tiga jari sebelah kirinya menarik sideburn tinggi ke langit, sebelum lima jari kanannya sampai melandas ke atas pipi. Bukan sekali dua aku terserempak kejadian ngeri itu, hampir setiap hari kawan! Dan hari ini, Mawar Rudeeni menjemput aku berjumpa dengan lelaki samseng yang bertauliah, tanpa diminta-minta, tanpa disangka-sangka.
Langkah demi langkah rasa seperti kaki berat terikat batu. Hati berdebar bagai mahu saja aku melarikan diri. Tapi yang bermain dalam kepala, tidak sama dengan hala tuju kaki. Apa lah malang kelas 5 Kenari betul-betul di tingkat atas pejabat sekolah. Tidak sampai dua minit, sudah berkumpul kami berempat di depan pejabat. Mawar Rudeeni memimpin di depan. Dengan tenang, dihulurkan sebuah buku kecil kepada kakitangan pejabat.
Buku kesalahan murid.
Aku mahu pengsan!
MARAH
Cikgu Maria yang mengajar matematik di depan tak kuhiraukan. Mana mungkin dapat perhatian dapat ditumpukan pada waktu ini. Satu persatu imbasan kejadian tadi masih terbayang. Apatah lagi, manusia kejam yang bertanggungjawab dengan kejadian hari ini, duduk tersenyum-senyum di depan barisan ketiga. Mukanya tergambar rasa puas yang ketara, ibarat sudah melaksanakan tugas yang tidak mampu dibuat orang lain. Mawar Rudeeni, siapa sangka. Anak Jawa ini sudah melampau-lampau. Dasar pengawas gila kuasa. Dasar manusia berhidung penyek. Aku sumpah kau menjadi botak tujuh keturunan!Tak terperi rasa marah yang tersarang.
Mahu sahaja aku bangun waktu itu, biar aku tarik rambutnya yang sudah ditocangkan itu dan aku tamparkan pipinya kiri dan kanan. Atau, aku guntingkan rambut keriting hitamnya, aku rebus dan paksakan dia makan.
Tunggu lah. Kau tunggulah wahai perempuan berambut keriting. Akan sampai juga waktunya nanti.
KESALAHAN
"Kamu semua tahu kenapa kamu ke sini?"
Cikgu Rabiatul yang baru masuk bertanya lembut. Aku terkulat-kulat. Cikgu Rabiatul, Penolong Guru Besar yang sungguh keibuan, mengambil tempat di kerusi Guru Besar Abdul Haidi.
"Cikgu Haidi tak ada, dia keluar. Saya gantikan dia kejap".
Suasana bilik Guru Besar yang merimaskan tadi, tiba-tiba kendur menjadi tenang. Terasa seperti mahu menangis. Tidak. Aku sudah pun menangis. Air sudah bergenang di mata, cuma masih belum cukup banyak untuk mengalir jatuh ke lantai.
"Baiklah. Saya tak nak cerita panjang. Kita masing-masing ada hal yang lebih penting kan? Saya ada kerja, kamu pulak ada kelas. Hari ini, saya dapat aduan dari pengawas Mawar yang kamu berempat semalam ada melakukan kesalahan. Kamu tahu apa kesalahan kamu?"
Semalam? Kesalahan? Serentak, kami berempat menggeleng kepala. Kiri kanan.
"Baik. Saya bacakan. Hafez dan Rizwan, kamu membuang sampah merata-rata di kantin. Ruzaimi, kamu memotong barisan semasa membeli air, dan kamu Shahrul..."
Aku terpinga-pinga. Kalau di kantin, jarang benar aku membeli-beli. Apa lagi nak membuang sampah. Bekal dari rumah saja yang aku bawa. Kalau membeli pun, air sirap sepuluh sen secawan itu sahaja. Dan aku tak pernah potong barisan. Aku yakin betul, tidak ada salah laku aku di kantin. Semalam, hari ini atau bila-bila pun.
"Kamu Shahrul, berada di dalam bilik air menyikat-nyikat rambut walaupun loceng untuk masuk kelas sudah lama berbunyi"
Aku menganga.
SIKAT
Suara Cikgu Maria masih segar dalam kelas 5 Kenari. Sesekali kelas kecoh kerana murid-murid berebut mahu menjawab soalan cikgu Maria. Cikgu dari Kedah itu memang kesayangan ramai. Muka manisnya memang menjadi pujaan, dan lorat utara yang sesekali terlepas memang menjadi bahan tawa anak-anak muridnya. Aku sendiri peminat cikgu Maria. Mata pelajaran matematik dan cikgu Maria, memang kombinasi yang tak terlawan.Cuma hari ini, hanya Mawar Rudeeni yang jelas di mata.
Kesalahan menyikat rambut? Dalam waktu kelas? Ah! Tak masuk akal. Perlu kah aku jelaskan pada Mawar Rudeeni, yang dalam sehari, hanya sekali rambutku dan sikat bertemu? Tahukah juga Mawar Rudeeni, yang menyisir rambutku tiap hari adalah emak tersayang? Tidak kah ketara dengan arah sikatan rambut yang hanya menghala ke tepi itu, jauh melawan dengan lumrah gaya seorang anak muda ranggi yang lain? Ya, aku masih belum pandai nak berlawa kacak. Jadi, tak mungkin dan tak akan mungkin aku akan membawa sikat untuk berdandan ke sekolah.
Itu aku pasti. Dan aku juga ragu lagi mahu tahu, jika benar sekali pun aku berdandan, bagaimana manusia ini boleh tahu aktiviti di dalam tandas lelaki?
Sah!
Kau pemfitnah besar, Mawar!
BALASAN
Petang itu waktu mahu pulang, kecoh di tepi padang sekolah dengan jeritan Mawar Rudeeni. Mukanya mencebek-cebek menangis. Rambut keriting hitamnya sudah bersalut kuah sos pekat keropok lekor.Aku puas.
-----------------------------
Siri bacalah lagi;
Mat Gunx - Guru Saya
Mat Sen - Guru Umpama Lilin Yang Membakar Diri
Rozinor - Anak Dato
0 Comments