[Buku] Bidadari-bidadari Surga (Tere Liye)

Bidadari-bidadari Syurga
Bidadari-bidadari Syurga

Bidadari Bidadari Surga oleh Tere Liye
Nilaian: 5/5 bintang

Terus-terang, buku ini terlalu banyak "bawang". Mujur membacanya di pejabat (kerja sudah siap, ya!), kalau tidak merembes-rembeslah air mata keluar. Itupun sudah jatuh terlepas setitis dua.

Ahahaahah!

Karya Tere Liye ini memang "lain macam". Tidak pernah aku bayangkan ada novel yang mampu untuk membuatkan aku begitu terkesan dengan penceritaannya. Rasanya, ini yang pertama kali aku benar-benar terbenam dengan kisah yang menyayat perasaan. Kebijaksanaan Tere Liye menukar mood, kelancaran plot imbas kembali menjadikan bacaan tidak tersangkut-sangkut.

Kali terakhir aku berperasaan begini (angau dengan novel), selepas membaca Sang Pemimpi.

Kisah pengorbanan kakak untuk empat orang adiknya, yang sebenarnya tidak ada langsung hubungan darah, sangat menginspirasi. Tegar dengan janji mahu kejayaan dikecap adik-adik, Kak Laisa cekal mengharung kesukaran hidup. Cabaran dan penghinaan manusia hanya ibarat angin lalu, tidak langsung memberi kesan panjang. Kak Laisa terus saja maju ke depan.

Watak adik-adiknya yang pelbagai, menjadikan penceritaan bertambah menarik. Watak Ikanuri yang paling nakal, ironinya watak inilah yang membuatkan aku betul-betul hiba.

Keseluruhannya, aku sangat menyukai genre ini. Kisah keluarga, kisah perjuangan, kisah kecekalan (wanita andartu dan janda) yang tidak mengharap belas ikhsan semata-mata, itu lebih berbaloi daripada membaca cerita-cerita popular masa kini. Walaupun aku sedikit sebal dengan bahagian kejayaan semua adik-adik Kak Laisa (terlalu klise, kejayaan yang menggolek datang selepas hidup dirundung malang yang melampau), aku tetap berikan lima bintang untuk buku ini.

Baik.

Sekarang mahu mencari buku-buku Tere Liye yang lain untuk dibuat koleksi.

Ulasan buku yang lain









Reactions

Post a Comment

0 Comments