Ladang anggur?
Di Sik?
Ya.
Percayalah.
Aku juga agak muskil mulanya. Kenapa di Sik? Untuk sampai ke Sik itu sendiri, agak jauh juga. Dari lebuhraya utara selatan, keluar di Gurun ambil masa hampir 40 minit juga untuk sampai ke bandar Sik. Sik juga bukan laluan utama untuk ke mana-mana. Jadi, kenapa ada "tempat tarikan pelancongan" sebegini?
Aku tidak ada jawapan yang tepat untuk itu, tetapi aku yakin atas dasar faktor itu jugalah (kedudukan Sik yang jauh dari capaian pelancong), wujudnya ladang anggur ini.
Sebagai tarikan. Untuk memperkenalkan Sik.
Beris Lake Vineyard
Itu nama Inggerisnya. Menurut laman web (http://www.berislakegrapes.com.my/), ladang anggur ini mula diusahakan semenjak tahun 2007. Dimiliki oleh syarikat bumiputera, ladang ini sudah mempunyai 1000 batang pokok anggur ditanam di kawasan tanah berkeluasan 4 ekar. Dan menurut mereka lagi, tahun 2015 mereka berharap dapat menjadi pembekal anggur untuk permintaan tempatan mahupun luar negara.Tercapai? Wallahualam. Sama-sama kita doakan.
2010
Pertama kali menjejak kaki ke sini ialah pada tahun 2010. Beramai-ramai kami adik-beradik dengan mak abah. Agak teruja pertama kali melihat pokok anggur dan buahnya secara berdepan-depan. Ketika ini bayaran hanya dikenakan jika mahu masuk ke kawasan ladang anggur. Jika tidak silap hanya RM2. Kawasan tanaman ini dilindungi sepenuhnya dengan bumbung dan dinding, mungkin bagi tujuan perlindungan tanaman.
2011
Sekali lagi kami bertandang ke ladang anggur ini. Kali ini kami membawa bersama keluarga adik ipar sebelah isteri. Cuaca pun cerah, jadi puas lah bergambar dengan anggur-anggur yang comel. Ada hijau, ada hitam. Bayaran masuk masih sama, RM2. Selesai membelek-belek anggur, kami sambung membeli-belah di kedai berhampiran.
2015
Ini yang terbaru. Kami ke Sik sekali lagi untuk menziarahi adik yang baru mendapat anak ketiga. Kami ke ladang anggur ini sebelum bergambar di kebun getah. :)
Banyak perubahan yang berlaku. Laluan masuk sudah berubah terletak berhampiran dengan tasik. Kalau dulu hanya ke ladang sahaja dikenakan bayaran. Masih boleh masuk ke kedai atau kafe untuk membeli-belah. Sekarang, keseluruhan kawasan sudah dipagar dan untuk masuk, dikenakan bayaran.
Harganya sudah naik juga!
RM6 untuk dewasa. RM3 untuk kanak-kanak.
Alang-alang sudah sampai, masuk juga lah.
Kali ini kami kurang bernasib baik kerana buah anggur baru saja selesai dituai. Yang tinggal hanya anggur yang masih muda. Jadi, kami ke dalam ladang hanya sebentar, selebihnya kami meluangkan masa di kafe dan pelantar tasik.
Biasalah. Bergambar. :)
Entah bila lagi mahu ke sini, entah lah.
Tetapi untuk orang lain, datang lah. Siapa lagi yang mahu majukan ekonomi tempatan, kalau bukan kita sendiri?
:)
0 Comments