[Buku] Selimut Debu: Impian dan Kebanggaan dari Negeri Perang Afghanistan (Agustinus Wibowo)

Selimut Debu: Impian dan Kebanggaan dari Negeri Perang Afghanistan

Selimut Debu: Impian dan Kebanggaan dari Negeri Perang Afghanistan oleh Agustinus Wibowo
Nilaian: 5 bintang

Penat. Saya sememangnya letih mengembara dengan Agustus sepanjang pembacaan saya. Tetapi, penat ini saya kira berbaloi, kerana Selimut Debu benar-benar mengujakan!

Melalui Selimut Debu, saya seolah-olah turut sama dengan Pak Agus menelusuri jalan-jalan Afghanistan yang penuh dengan khaak, yakni debu. Setiap sudut daerah Afghanistan dihuraikan dengan jelas dan baik, sekaligus memaksa saya (dengan rela) untuk mencari maklumat lanjut di internet. Mengkagumkan sekali, bagi seorang individu yang terhad pengetahuannya tentang bumi Afghanistan ini.

Mungkin, catatan Pak Agus ini sudah tidak sama lagi dengan keadaan hari ini (kisah ini sekitar tahun 2007-2008), tetapi buku ini berjaya membuang sedikit sebanyak persepsi saya tentang Afghanistan. Saya tidak sabar mahu terus mengembara dengan Pak Agus melalui buku-bukunya yang lain.

Tahniah Pak Agus, bukan calang-calang orang yang nekad dan berani sebegitu.

Oh ya! Pak Agus ini saya rasa seorang berketurunan Cina. Ini bukan sesuatu yang aneh, tetapi bagi saya membaca buku yang menggunakan bahasa Indonesia (yang tidak banyak beza dengan Bahasa Malaysia) dan ditulis sepenuhnya oleh beliau, ini satu lagi kekaguman saya. Bukan mahu bersikap rasis, tetapi ikhlas saya katakan saya berasa bangga dengan hasil ini.

Ulasan buku yang lain





Reactions

Post a Comment

0 Comments