[Buku] Membedah P Ramlee (Daniyal Kadir)

Ulasan Membedah P Ramlee
Bersedia untuk membedah

Membedah P. Ramlee oleh Daniyal Kadir


Aku ada sedikit perasaan skeptikal sebelum memulakan pembacaan.

Bukan. Bukan skeptikal dengan buku ini, tetapi lebih kepada teori pemaknaan sesebuah filem. Kerana bagi aku, filem hanya hiburan. Maksud yang mahu disampaikan, selalunya boleh "dibaca". Tersurat. Apatah lagi, kebelakangan ini filem yang melambak di pasaran tempatan bukan lah yang bermutu (bagi aku). Filem-filem luar pula, aku lebih gemarkan filem yang bercorak fiksi.

Itu lah maksud filem. Hanya hiburan.

Tetapi, semenjak melihat promosi buku ini di laman sosial, aku teruja mahu mendapatkannya. Dengan nama "P Ramlee", itu cukup menjadi desakan kuat pada aku untuk segera memesan buku ini.

Dan kala membaca prakata buku, tiba-tiba aku teringat kisah beberapa tahun yang lampau. Ketika aku dihantar berkursus BTN. Ya, BTN. Yang ada sesi menyanyi lagu "anak kecil main api" itu. Antara aktiviti kursus itu, kami dikehendaki menyediakan nama dan logo kumpulan, dan perlu memberi makna setiap pilihan kami.

Ya, memaknakan sebuah logo.

Imbas kembali itu, membuat aku sedikit sedar bahawa pemahaman aku terhadap filem selama ini agak terkongkong. Filem, kalau dihasilkan oleh pencinta seni seperti P Ramlee, sudah pasti ada makna. Bukan kosong. Sedangkan aku yang pada suatu ketika masih belum mampu membeli pakaian sendiri sudah sibuk mahu memberi maksud sebuah logo, adakah tidak ada asas logiknya P Ramlee membuat filem tanpa cerita?

Dan, aku semakin teruja untuk meneruskan pembacaan.

Walaupun Daniyal menyebut sedari awal bahawa buku ini hanyalah berdasarkan pandangan peribadi, bagi aku Daniyal masih menjalankan tanggungjawab untuk mengkaji dengan baik. Hampir kesemua filem yang "dikaji", sudah menjadi "darah daging" aku. Jadi pembacaan menjadi lebih mudah.

Jelas, P Ramlee banyak memasukkan unsur patriaki dan feudal dalam filem-filemnya. Unsur yang aku lihat, masih relevan sehingga hari ini. Masih boleh digunapakai.

Maksud Patriaki
Maksud Patriaki


Cuma untuk filem "Ali Baba Bujang Lapok", aku teringat pernah mendengar/membaca bahawa frasa "hari Sabtu setengah hari, Ahad public holiday" merujuk kepada union yang ditubuhkan oleh pekerja Studio Jalan Ampas untuk menetapkan hari bekerja hanya 5 hari seminggu. Ini kerana ketika itu P Ramlee mengarah filem tidak mengikut masa, jadi antara tujuan union itu ditubuhkan untuk meringankan beban pelakon.

Dan P Ramlee membalas tindakan union ini apabila berdialog dengan "orang kaya" (dalam filem yang sama) yang memaksa mereka merompaknya dan jika tidak, orang kaya akan memanggil penyamun lain. P Ramlee membalas "kalau tuan memanggil lain penyamun, seluruh persatuan penyamun akan mengambil tindakan!"

Hihihi! Tahu siapa "penyamun" yang dimaksudkan? Sejauh mana kebenaran hal ini, Wallahualam. Mungkin tuan Daniyal boleh perbetulkan sekiranya ini salah.

Keseluruhannya buku ini menarik untuk dibaca. Ternyata, P Ramlee membuktikan kehebatan beliau dalam filem-filem yang diarahkan. Bagaimana? Bacalah buku ini. :)

Ulasan buku yang lain
 
Membedah P Ramlee
Membedah P Ramlee












Reactions

Post a Comment

0 Comments