Gunung Keriang, Kedah

Gunung Keriang, Kedah ini selalu saya lihat apabila memandu antara Kepala Batas ke Alor Janggus. Itu memang laluan kami pada musim perayaan, menziarah rumah pakcik-makcik yang bertebaran di sekitar Alor Setar dan Jitra. Satu hari, saya kata pada isteri, jomlah singgah sekejap ambil gambar.

Kami singgah juga akhirnya. Tapi saya seorang saja yang turun dari kereta.

Haih!

Gunung Keriang, Kedah

Inilah Gunung Keriang.

Lokasinya yang dikelilingi sawah padi dan perkampungan Melayu, saya rasakan itu sangat klasik. Saya teringin benar mendaki sehingga puncak gunung ini, mahu merasa dan melihat sendiri pemandangan yang pasti memukau mata.

Entah bila dapat peluang itu.

Mujur Muzium Padi memberi cara. Bagaimana? Kunjungilah muzium yang khusus untuk padi ini yang terletak hanya beberapa meter dari gunung ini.

Gua Gunung Keriang, Kedah

Sedikit maklumat cedokan perihal gunung ini.
Gunung Keriang ini tersergam setinggi 217.92 meter di tengah-tengah jelapang padi di Kedah. Ia merupakan bukit batu kapur purba yang berasal sejak zaman Permian (sekitar 250 juta tahun) dan Early Triassic conodonts (Metcalfe, I., 1981a) di barat laut Semenanjung Malaysia.

Gunung Keriang merupakan paling keselatan dari pembentukan Batu kapur Chuping. Adalah dipercayai bahawa air laut yang susut sehingga 2-3m (Khoo, 1996) melonjak pulau Keriang membentuk apa yang masa kini dikenali sebagai Gunung Keriang.

Sumber; Wikipedia

Gunung Keriang ini dikenali juga sebagai Bukit  Gajah oleh masyarakat Cina. Ada juga yang mengatakan gunung ini terbentuk akibat sumpahan Sang Kelembai.

Macam-macam.

Kalau berkesempatan, singgahlah ke gunung yang terletak sekitar lapan (8) kilometer dari bandar Alor Setar. Ada Muzium Padi betul-betul bersebelahan dengan gunung ini. Dan kalau kena musimnya, dapatlah menikmati pemandangan sawah padi yang meluas.

Asyik, boi!

Sawah Padi Di Gunung Keriang, KedahSawah Padi Di Gunung Keriang, Kedah 1

Sawah padi yang menghijau, dihiasi lagi dengan langit membiru.

Percayalah.

Kalau kau tahu menikmati, barangkali tanpa sedar kau boleh menjadi seorang pemuisi.

Tahu-tahu, angin yang mendesir menggoyangkan si padi bunting ke kiri dan ke kanan, lagak gaya seperti terhibur dengan persembahan kau yang tak terduga.

Indah.

Sangat indah ciptaan Ilahi.







Reactions

Post a Comment

0 Comments