Peragut (sambungan)

"Assalamualaikum wbt"

Sapa dia. Saya menjawab. Kurang ikhlas.

"Tunggu bas ke?"

"Tak! Tunggu Boeing 747, nak flight ke Austria, minum petang. Pastu, balik malam nanti jugak. Kau mampu?"

Saya menjawab. Kasar.

Dalam hati.

Yang sebenarnya, saya hanya mengangguk.

"Lama dah ke tunggu?"

"Lama jugak. Sejak zaman kesultanan Chulalongkorn."

Saya jawab lagi. Kasar. Rimas. Konon-konon dia mahu beramah-mesra. Saya enggan.

Tapi, sama juga. Itu jawapan tipu.

"Lama jugak"

Jeda.

"Saya ni kerja tarik kereta bang. Baru lepas hantar kereta di Sungai Tua. Ni nak ke KL, tadi tumpang kawan je."

Dia menerangkan. Tanpa saya minta.

Atau sebenarnya, saya memang meminta dia menerangkan, tanpa sedar. Melalui jawapan-jawapan pendek saya. Melalui reaksi muka saya. Melalui gaya tubuh saya yang mahu menghindar.

Astaghfirullah.

Jahat.

Jahat sekali.

"Tadi saya operasi di KL. Saya bawa motor kemudian tinggal kat sana. Sorang je tadi bang. Saya malas nak susahkan kawan-kawan. Tadi ni pun dah kebetulan member saya yang bawak trak tu nak ke sini. Saya tumpang sebab malas nak tukar-tukar bas. Kalau dari sini satu bas je"

Dia menerangkan lagi. Dedikasi dia dengan tugas yang punya risiko bukan main-main.

Saat ini saya sudah mula dibungkam rasa bersalah. Cepat betul saya bersyakwasangka.

Ya. Mukanya garang. Misainya tebal. Baju merah jambu belang biru itu, mungkin pilihan isterinya yang sangat mencintai. Badan sasa, sesuai untuk menambah kredibiliti pekerjaannya.

"Saya tak paham dengan orang-orang ni, bang. Dah 18 bulan tak bayar, boleh lagi ke hulu-hilir bawak kereta tanpa rasa bersalah."

Saya tersenyum. Hambar.

"Eh! Abang nak ke mana? KL jugak? Jomlah bang, kita naik teksi. Nak tunggu bas ni, entah berapa lama boleh dapat. Abang jangan risau, saya belanja. Mood saya baik hari ni. Eheheehe!"

Ah! Dia menambah lagi rasa bersalah saya. Tawarannya ikhlas, walaupun kami tidak kenal. Saya sudah tidak tahan. Air mata saya turun satu persatu. Jahatnya saya kerana berprasangka. Saya jatuh, melutut dan memegang kakinya.

"Maafkan saya! Saya jahat. Saya terlalu berburuk sangka".

Saya menangis tersedu-sedu.

Buerrrrrr! Buerrrr!

Saya mendongak. Langit Gombak turut suram. Dan saya tersedar. Sekali lagi saya rupanya berfiksi. Mujur bunyi perut saya tadi cukup kuat untuk mengembalikan saya ke alam realiti.

Di hadapan saya, abang baju merah jambu masih galak bercerita. Sambil matanya melihat-lihat jika ada teksi yang datang. Dan selang lima minit kemudian, kami saling melambai. Dia di dalam teksi, tersenyum mesra dengan pemandunya. Saya, di perhentian bas, masih memeluk beg.

Ah!

Itulah jahatnya saya. Bersangka-buruk. Sangat buruk. Suka menghakimi orang tanpa ada asas yang kukuh. Saya perlu memperingat diri. Jangan dibiar iblis menguasai.

Maafkan saya, abang baju merah jambu. Semoga kau dan keluarga, sentiasa dalam lindungan-Nya. Kau memang sebenarnya seorang peragut, ya, peragut hasad buruk dalam hati saya. Terima kasih atas pengajaran dan peringatan

Terima kasih, abang baju merah jambu.

Abang Baju Merah Jambu
Abang Baju Merah Jambu


#karangan
#syioksendiri
#55peratusbenar45peratusfiksi
#jangankecamsaya






Reactions

Post a Comment

2 Comments