Saya sudah terkulat-kulat menelan air liur, membayangkan nasi putih berlaukkan tempe goreng dan ikan pari masak asam pedas yang bakal lumat dikunyah gigi palsu saya. Perut gendut saya mula bersyair gurindam meraikan kedatangan lemak dan kolestrol dambaan jiwa.
Ketika itulah kejadian yang mengejutkan orang ramai berlaku.
"Pencuri! Pencuri!"
Semua mata di dalam warung teralih ke arah punca jeritan. Nun di seberang jalan, ada adegan kejar mengejar sedang berlaku. Seorang lelaki bertopi keledar putih di hadapan, manakala di belakang ada seorang wanita pertengahan umur yang saling berkejaran.
Wah!
Berani betul dia meragut di tengah hari rembang ini! Di hadapan orang ramai pula tu. Gila. Sudah terdesak sangat barangkali. Sanggup dia membuat onar sewaktu manusia ramai di sekeliling. Otak saya terus membuat kesimpulan, lelaki itu bakal lunyai sebentar lagi. Saya sudah terbayang-bayang lelaki berbadan sedikit gempal itu terperosok di dalam longkang dengan darah mengalir dari segenap penjuru badan.
Kenapalah singkat sangat fikiran mahu mencari kesenangan?
Saya terus-terusan mengumpat sendirian, sambil tangan mencedok sesenduk nasi dari dalam tong. Lauk asam pedas yang masih berasap itu semakin menggoda. Namun mata hitam saya masih berkelintar menyaksikan drama masyarakat hari ini.
"Jerry! Jerry!"
Kening mata saya terangkat. Dahi saya berkerut. Jerry? Bukan "pencuri"? Suara nyaring perempuan itu jelas benar. Memang sebutannya Jerry. Itu nama lelaki bertopi keledar di hadapannya kah? Maksudnya, ini bukan kes ragut? Atau, ini kisah cinta yang terhalang? Ada rakaman drama kah ini?
Saya mengambil satu langkah ke kiri, menjauhi kaunter lauk yang meriah, untuk melihat lebih jelas kejadian di seberang jalan.
"Jerry! Jerry!"
Saya nampak riak muka perempuan itu sangat cemas. Dan lelaki bertopi keledar, berada betul-betul di sebelah perempuan yang mengejar. Mereka kini beriringan.
Pulak!
Apa yang dikejar sebenarnya?
"Jerry, stop! JERRY!"
Dan akhirnya larian itu terhenti tidak jauh dari warung tempat saya bersiri. Lelaki bertopi keledar tunduk seperti mengambil sesuatu. Jerry kini sudah dalam pelukan lelaki itu.
Pui!
Dasar haiwan tak sadar dek untung!
Jerry, si anjing yang berbulu hitam dan coklat rupanya terlepas daripada tali pengikat perempuan pertengahan umur. Langsung ia berlari di jalan raya bagai menyambut kemerdekaan selepas terikat sekian lama.
Tadi itu, adegan mengejar anjing terlepas rupanya.
Walhal, saya sudah bersangka-sangka. Sangkaan buruk pula tu. Macam-macam tohmahan sudah dilemparkan kepada lelaki bertopi keledar.
Begitulah.
Kita (saya) memang sangat mudah membuat kesimpulan tanpa mengetahui keseluruhan cerita. Pantas memberi hukuman, walhal cerita baru sekerat jalan. Lagi menyakitkan jiwa, terburu-buru menyebarkan cerita dengan maklumat separuh masak. Kalau saya jadi begitu, tentu lelaki bertopi keledar sudah saya fitnah jika tidak menunggu sampai ke hujung cerita.
Astaghfirullah.
Moga saya dan keluarga dan rakan-rakan tidak begitu. Zaman sekarang, fitnah sangat mudah bertebaran. Persepsi sangat cepat dijadikan anutan. Takutnya. Akal dan fikiran sudah kita miliki, gunakanlah sewajarnya untuk mentafsir dan menilai.
Insaf.
Nasi putih berlauk ikan pari asam pedas dan tempe pun sudah licin di pinggan. Air suam percuma free flow juga sudah diteguk menghilangkan pedas.
Alhamdulillah.
______
Nak piat telinga Jerry
#tulistulissharul
0 Comments