5 Langkah Mudah Menyusun Gambar Di Laptop Dan Google Photos


Saya bukanlah orang yang dikategorikan sebagai OCD yang mementingkan "kesempurnaan" dalam hal-hal menyusun barang. Itupun kalau betul pemahaman saya tentang OCD.

Cuma ada dalam hal-hal tertentu, saya sangat mementingkan susunan yang sistematik untuk mudah capaian pada bila-bila masa. Contoh terdekat, koleksi gambar saya yang sudah beratus ribu dalam simpanan.

Bagaimana saya susun atur gambar-gambar ini?

Mudah sahaja.



#1
Saya muat turun gambar-gambar ini ke dalam laptop peribadi. Saya akan pastikan setiap awal bulan (selalunya pada 1 hari bulan), gambar-gambar di dalam telefon sudah disalin ke dalam laptop. Saya akan buatkan satu folder khas dinamakan mengikut bulan tersebut. Contohnya; 20190731.

Saya gunakan format tarikh begitu ('YYYYMMDD') adalah untuk memudahkan album/folder disusun mengikut tarikh kejadian. Jika disusun mengikut format DDMMYYYY, album/folder ini akan bercampur aduk dengan album tahun yang berbeza.

#2
Susunan folder saya juga disusun mengikut fomat /tahun/bulan/tarikhacara-namaacara. Misalnya, pada tarikh 1 Januari 2019 saya pergi berkelah di Riverside, Janda Baik, maka cara saya menyusun dan menamakan folder/album adalah seperti berikut;

/2019/01/20190101 - Piknik Di Janda Baik

Susunan folder di laptop

#3
Simpanan gambar di dalam laptop ini adalah sebagai backup yang pertama. Backup yang kedua adalah menyalin folder ini (menggunakan struktur yang sama) ke dalam external hard disk / thumbdrive, memory card ataupun CD. Selalunya simpanan begini lebih digalakkan kerana saiz fail/gambar masih mengekalkan saiz asal.

#4
Backup ketiga ialah simpanan secara online. Ini pilihan akhir sekiranya kita tidak ada "kemewahan" pilihan #1 dan #2. Banyak storan online percuma yang ada di internet, namun saya lebih selesa menggunakan Google Photos. Walaupun saiznya dikecilkan, tetapi kualiti gambar masih terjaga. Cuma perbezaan di Google Photos ialah tidak ada kemudahan sub-folder. Maka, format seperti langkah #2 sangat membantu untuk menyusun gambar di sana.

Susunan di Google Photos

#5
Setelah semua langkah di atas diambil, barulah saya padamkan gambar di dalam telefon untuk mengosongkan ruang. Boleh ambil gambar banyak lagi!


Nota;
  1. Google Photos selalunya sudah siap dipasang (install) di dalam telefon Android.
  2. Kelebihannya boleh dicapai bila-bila masa (asalkan ada internet) dan gambar di situ boleh terus dikongsi ke media sosial lain seperti Facebook, Instagram dan lain-lain. Tak perlu muat turun kemudian muat naik semula.
  3. Tidak ada had! Muat naik lah seberapa banyak gambar pun (asalkan memilih tetapan yang betul semasa muat naik).
  4. Sekiranya ada rakan lain yang turut mengambil gambar pada acara yang sama, kongsikan saja link album kepada mereka dan aktifkan butang "collaborate". Siap! 

Selamat mencuba.



Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #29 : SUSUN






Reactions

Post a Comment

0 Comments