Mencari Sahabat Kembara

"Dah tak pergi dengan kawan kau tu dah ke?"

Mak bertanya di muka pintu. Saya membongkok mengikat tali kasut, bersiap mahu berjalan kaki ke sekolah. Jarak dari rumah sejauh dua kilometer, jadi saya perlu bergerak 45 minit lebih awal.

"Tak. Tak kawan sangat dah."

"Hmmmm... itulah. Kalau berkawan ni, beringat juga. Rapat sangat nanti bergaduh, susah nak berbaik."

Saya diam sahaja.

Sebenarnya pagi itu mak bertanya saya, kenapa tidak bersaing lagi dengan sahabat sekolah yang tinggal tak jauh dari rumah kami. Dari tingkatan satu sampai ke tingkatan dua, kami bagai belangkas ke sana sini berdua. Naik ke tingkatan tiga, hubungan kami menjadi renggang. Entah apa menjadi punca, dan kami juga sudah berbeza kelas. Hubungan bertambah menjarak.

Namun masih bertegur sapa.



Pesan emak, saya ingat sampai sekarang.

Biar berkawan dengan semua, baik dengan semua. Rapat, semuanya rapat. Itu yang saya buat. Sehingga hari ini, kalau minta dinamakan siapa kawan rapat yang betul-betul rapat, saya katakan tidak ada. Ataupun, saya katakan sangat ramai tak terkira.

Sang isteri lain, itu dalam kategorinya tersendiri.

Jadi, dengan saya ini begitulah. Berkawan dengan semua orang. Kalau mahu mencari sahabat tentang buku, ada kelompoknya. Kalau cari sahabat melayan hobi mengambil gambar, ada kumpulannya. Berbeza, atau boleh jadi juga orang yang sama. Tapi tak akan wujud seorang manusia yang benar-benar menjadi bayang-bayang kita, mengikut sahaja ke mana kita pergi.

Sahabat kembara?

Ya.

Berbeza juga. Tak akan ada yang sama.

Saya ada membaca "tips" yang dikongsikan ramai orang untuk mencari sahabat kembara yang sejati. Konon. Itu ini begitu begini, katanya nanti percutian akan menjadi lebih bermakna.

Saya membaca, namun tanpa sedar mulut mencebik.

Maaflah.

Reaksi spontan.



Seperti idaman semua orang di dunia ini, memanglah masing-masing mahukan kekasih seumur hidup yang cantiknya begini, kelakuannya begitu. Sempurna. 10 per 10. Dan ini mahu di"aplikasi"kan juga kepada ciri-ciri sahabat kembara.

Tidak. Saranan itu tidak salah. Kalau dibaca satu persatu apa ciri-ciri yang tersenarai, semuanya molek. Tentulah, kita mahukan mereka yang membahagiakan, menyenangkan sahaja berada dalam kelompok kembara. Agar kembara lebih nikmat, tanpa ada gangguan yang menyebalkan.

Entahlah.

Untuk saya, saya tak begitu memilih sahabat yang mahu mengembara bersama. Yang penting, mereka itu mempunya minat yang sama, mengembara! Geng backpacker atau beg seret, pedulilah. Kalau minat mereka sama seperti saya (yang lebih sukakan jenis kembara ke hutan, kawasan ceruk, air terjun, bangunan bersejarah, kedai buku), itu bonus paling agung!

Dan kalau kaki membeli-belah juga mahu mengembara bersama saya, eh, jom lah. Saya raikan. Awak membeli-belah, saya merayau membawa diri. Pandai-pandailah kita berjanji. Selagi kita boleh bergerak sendiri, kenapa perlu terikat dengan minat rakan kembara yang lain.

Itulah pentingnya merancang semasa mengembara.

Ambil tahu mahu ke mana.

Jangan diserah bulat-bulat kepada satu kepala, sudah tentu kembara menjadi ikut selera si perancang. Ambil bahagian, dan buat juga homework sendiri.

Maka, tak akan wujudlah masalah rakan kembara tak sekepala.

Pokok pangkalnya, kita tak akan mampu mengawal orang lain. Apa lagi yang sudah dewasa. Kuasa yang kita ada, hanya pada diri sendiri. Kita kawal diri sendiri. Kita ada akal dan fikiran untuk merancang juga.

Kita tak minat membeli, kita berehat saja di luar rehatkan kaki.

Kita gayat nak menaiki gondola ke Pulau Timang, berlegar di seberang sini pun banyak kerja boleh dibuat.

Kawan membelek baju untuk dibawa pulang, duduklah sebelah bantu memilih.

Setiap individu ada kesukaannya sendiri.

Kenapa kita menjadi tamak mahu orang lain mengikut kegemaran kita sahaja?

Raikan.

Kembaralah dengan sesiapa pun.

Kerana apabila kau menikmati pengembaraan itu, dengan siapa pun kau tak akan peduli lagi.



Mungkin ada pula yang mencebik mulut membaca pendapat saya ini. Tak kisahlah. Tapi kalau awak sudi mengembara dengan saya, jomlah!

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #18 : SAHABAT






Reactions

Post a Comment

0 Comments