Selama dua tahun, kedua-duanya menjadi peneman dan penghibur. Jodoh kami hanya setakat tahun 2013, kemudian berpisah tak berjumpa lagi.
Begini mulanya.
Oleh kerana kakak saya (di sebelah rumah) memelihara kucing dan anak-anak bulu ini selalu bermain di laman rumah kami, lama-kelamaan timbul rasa mahu memelihara kucing sendiri pada anak-anak saya. Mahu kutip yang di tepi jalan, rasa kejam pula mahu memisahkan anak kucing dan ibunya. Jadi, saya buat carian di internet.
Jumpa!
Ada organisasi bukan kerajaan yang mengambil kucing terbiar di jalanan untuk dikumpulkan untuk diserahkan ke pusat penjagaan, ataupun diserah kepada orang ramai yang mahu. Saya sudah lupa nama badan tersebut, tapi saya berjaya meminta tiga ekor anak kucing untuk tiga orang anak saya.
Senyum. Limau. Tiger.
Itu nama asal ketiga-tiga anak kucing itu. Kami namakan semula agar timbul perasaan lebih mesra.
Opet, bersempena nama karakter dalam filem animasi Upin Ipin.
Oyen, kerana warna bulu yang oren keseluruhannya.
Bobok, kerana saiznya yang kecil dan hitam seperti "bubuk".
Malangnya Bobok, umur tak panjang. Memang sudah sakit ketika kami ambil dan mendapatkan rawatan di klinik veterinar masih terlalu asing bagi pemelihara kucing gaya kampung seperti saya. Seminggu selepas dibawa ke Gombak, Bobok mati.
Tinggallah Opet dan Oyen yang membesar dengan gebunya.
Kedua-duanya jantan.
Makanan mereka, nasi putih yang digaulkan dengan ikan tongkol rebus. Itu saja.
Licin, setiap kali makan.
Ragam keduanya memang menghiburkan. Kami tak benarkan mereka tidur di dalam rumah, jadi setiap pagi berebutlah masing-masing masuk ke dalam mencari makan.
Opet lebih manja dan aktif, tupai pun pernah ditangkapnya. Oyen pula lebih gebu dan sedikit penakut. Empuk, sedap dipeluk.
Namun beberapa minggu sebelum kelahiran Hafiz, Opet hilang beberapa hari.
Rupanya sudah terperosok di dalam longkang, membusuk sebab dilanggar orang.
Aduh! Kasihannya Opet.
Oyen tinggal sendiri.
Seminggu selepas Hafiz, si bongsu, lahir dan pulang ke rumah, Oyen pula menghilangkan diri.
Selama-lamanya.
Waktu itu, taklah terasa sedih sebab Hafiz sudah menyerikan keluarga. Namun selepas melihat kembali gambar-gambar mereka berdua, terbit juga rasa rindu.
Terima kasih, Opet.
Terima kasih, Oyen.
Dan terima kasih, Bobok.
Kerana pernah menjadi peneman dan penghibur kami sekeluarga.
Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.
#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul
Wordprompt #8 : Adakah anda memelihara kucing? Apa nama kucing kesayangan anda?
#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul
Wordprompt #8 : Adakah anda memelihara kucing? Apa nama kucing kesayangan anda?
0 Comments