Mengenang Siri Komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Saya terfikir-fikir juga, apa ya siri televisyen yang menjadi kegemaran untuk ditonton? Kalau melihat pada timeline di Facebook, ramai yang berkongsi tentang rancangan dari Korea, atau drama pukul tujuh dan yang paling banyak, Game of Throne.

Satu pun saya tak ikut!

Televisyen hanya menjadi "hak milik" saya pada waktu yang sangat rawak. Sejak beranak-pinak, memang televisyen bukan lagi kepunyaan saya. Setiap hari, sudah ada "pak pacak" yang bertapa di depan monitor 42 inci itu. Kini, menyentuh alat kawalan jauh bisa menerbitkan pergaduhan yang besar antara lelaki 42 tahun dan lelaki 6 tahun. Siapa yang menang? Tak perlu ditanya, kawan.

Jadi, memang tidak ada masa untuk menonton. Secara atas talian? Saya tak sanggup. Dulu pernah saya cuba mengikuti siri Prison Break, bagai nak gila mahu terus-menerus menonton siang malam. Selesai musim kedua, saya bertaubat. Lantaklah kalau ada 24 musim sekali pun, saya tak akan menonton lagi!

Lalu saya terkenang-kenang, ada satu ketika saya memang ternanti-nanti di depan televisyen menunggu tayangan siri kegemaran satu Malaysia;

Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Pelakon Pi Mai Pi Mai Tang TuPelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu (sumber gambar; Forum Cari)

Aduhai!

Terbayang watak-wataknya sahaja sudah tersenyum-senyum saya dibuatnya.

Kekecohan geng bujang terlajak si Budin, Mat Deris, Wan Ismail Golok dan sesekali Mat Over, memang menjadikan sitkom ini menghiburkan. Apa lagi perseteruan golongan muda menentang golongan tua, yakni kumpulan Pak Uda, Pak Usu dan Mak Ngah.

Penat melayan keletah mereka di tv.

Kemudian kedatangan Ravi yang popular dengan tag line "sudah tukar ka?" dan si amoi lawa, Lucy, menjadikan siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu semakin diminati ramai.

Saya fikir, isu yang dibawa dalam setiap episod sangat relevan dengan masyarakat dan lebih realistik. Topik perbincangan "kedai kopi" yang mesra marhaen. Tak hairanlah, rancangan ini sangat dekat dengan masyarakat Malaysia waktu itu.

Hari ini, saya cuba mengikuti sitkom seumpama Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang banyak di kaca tv. Namun, tak begitu mengesankan. Sama ada saya sendiri yang memang semakin tidak gemar menonton, atau "lawak-lawak" mereka memang hambar dan dibuat-buat (try hard) yang membosankan. Perangai suka ketawa disebabkan lawak sendiri, itu yang paling menjengkelkan.

Bak kata Budin, "Pap pap pap..... piiii raaaaahhhhhh!!!"

Trivia Pi Mai Pi Mai Tang Tu

  1. Bermula dari tahun 1985 dan bertahan selama 19 tahun (tamat pada tahun 2004).
  2. Sebelum menggunakan nama "Pi Mai Pi Mai Tang Tu", rancangan ini juga pernah dikenali sebagai "Syyyy..." dan "Kampung Seri Wangi".
  3. Keunikan siri ini ialah mengekalkan pelakon dengan dialek negeri masing-masing (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu) dan masih boleh difahami penonton.
  4. Rakaman dibuat secara langsung di hadapan penonton.
  5. Antara pelakon utama siri ini Mat Deris (Ahmad Busu), Pak Uda (Zami Ismail) dan Pak Busu (Abdullah Muhamad) sudah pun meninggal dunia.


Pi Mai Pi Mai Tang Tu Kampung Seri WangiPelakon asal Kampung Seri Wangi (sumber gambar; Forum Cari)


Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Wordprompt #15 : Cerita tentang siri tv kegemaran anda.






Reactions

Post a Comment

0 Comments