Ini buku Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (SA) yang entah ke berapa saya baca. Saya masih baru berjinak-jinak membaca hasil kerja beliau.
2.
Buku Detik-detik Diri Di Daerah Daif (5D) ini tidak seperti buku beliau yang lain, yang lebih terkenal seperti Serengenge dan Ranjau Sepanjang Jalan.
3.
Ini catatan benar kisah kehidupan SA di tanah tumpahnya di Sik, Kedah. Kisah yang berlaku sekitar tahun 1930-an sehingga 1940-an.
4.
SA mengimbas kembali kenang-kenangan hidup sewaktu zaman kanak-kanak yang penuh dengan keterbatasan kemodenan, dan adat budaya tempatan.
5.
Setiap sudut daerah kampung Banggul Derdap, ada ceritanya. Tentang sawah bendang, hutan, Sungai Ceper, balaisah (surau), pergaduhan, kenduri-kendara dan macam-macam lagi. Lengkap perisiannya, sampai boleh terbayang-bayang suasana kampung SA di kepala walaupun ada juga perkara-perkara yang saya tak tahu apa bendanya.
6.
SA memang kaya dengan kata dan arif dengan ilmu alam. Ada masanya, naik malas pula saya mahu merujuk kamus. Tapi ini menguatkan tentang apa yang disampaikan itu benar-benar pengalaman peribadi.
7.
Tapi, itulah. Banyak juga cerita-cerita dalam kain yang disampaikan tanpa segan silu, walaupun berlapis dengan menggunakan metafora. Berulang-ulang, sampai naik meluat pun ada juga.
8.
Saya membayangkan buku ini dikisahkan dalam bentuk filem. Pengembaraan SA bersama tiga orang rakan baiknya semasa kecil di Banggul Derdap, dan Sik; Jusuh, Usop dan Saad. Pasti seronok melihat kembali adat budaya dan kehidupan orang dulu-dulu. 5D ini lengkap terperinci untuk dibuat rujukan. Bab yang mengarut tu, tak perlulah!
9.
Saya terkesan dengan ayat di muka surat 176, "Dari Jeniang naik bas ke Sik, sebuah daerah di Kedah yang kaya amat dengan kemiskinan itu." Hakikat yang masih berlanjutan sampai ke hari ini.
10.
Buku 5D ini mengingatkan saya sebuah buku yang menceritakan kehidupan di Lenggong, Perak oleh seorang penulis, Hamizul Abdul Hamid. Bukunya bertajuk Aku Budak Lenggong.
Buku ini menarik untuk dibaca. Boleh memperkayakan lagi penguasaan kata dan pengetahuan tentang alam, dan pandai-pandailah menapis apa yang perlu ditapis.
0 Comments