[Ulasan Filem] The Boy Who Harnessed The Wind

"Apabila aku memotong sebelah lengan untuk memberi kau makan, barulah kau memanggil aku ibu!"

1.
Filem "The Boy Who Harnessed The Wind" ada beberapa kali lalu-lalang di dinding FB saya. Sampailah saya ternampak di Netflix, terus saya masukkan ke dalam "My List". Waktu PKP inilah baru saya berkesempatan untuk menonton.

2.
Kisah ini berdasarkan kisah benar. Tentang seorang anak laki-laki yang berjuang mengeluarkan diri dan keluarga serta penduduk setempat daripada kemelut keputusan bekalan makanan.

3.
William Kamkwamba, tinggal bersama ibu dan ayah berserta kakak dan adiknya di Wimbe, sebuah perkampungan di Malawi.

4.
Awal tahun 2000-an, kemarau yang melampau melanda Wimbe menyebabkan hasil tanaman menjadi sikit dan tidak mencukupi sehingga ke tarikh yang tidak diketahui. Simpanan makanan keluarga William juga turut dicuri menyebabkan hidup menjadi semakin terdesak.

5.
Orang mula meninggalkan kampung kerana tidak ada apa lagi yang boleh diusahakan, namun bapa William bertegas mahu memulakan penanaman, melawan hakikat cuaca yang tidak berkawan.

6.
Terdahulu, William anak yang cemerlang terpaksa diberhentikan persekolahan disebabkan gagal membayar yuran. Namun beliau berjaya mengakali guru sekolah untuk membenarkan William terus belajar secara bersembunyi.

7.
William yang sememangnya minat dan mahir dalam hal-hal yang melibatkan elektrik, mula berekplorasi dengan menggunakan bahan-bahan terbuang, dan akhirnya berjaya membina prototype kincir angin yang boleh menjana elektrik.

8.
Idea William bercambah dan beliau mahu membina kincir yang lebih besar untuk menjana elektrik, membolehkan air dipam dari dalam tanah bagi tujuan penanaman. Sudah tentu idea ini ditentang, lebih-lebih lagi daripada ayahnya sendiri.

9.
Setelah ada campur tangan daripada ibunya, barulah keluarga William bersatu dan menyokong usaha William membina kincir angin di kampung Wimbe.

10.
Selebihnya adalah sejarah. Ciptaan William mendapat pengiktirafan bermula dengan TEDGlobal memanggilanya dalam sebuah forum pada tahun 2007. Tahun 2013, majalah TIME telah mengiktiraf William sebagai salah seorang "30 People Under 30 Changing The World".

11.
Kisah William (dan masyarakat Wimbe) sudah tentu memberikan contoh modal insan yang terbaik. Atas rasa bertanggungjawab, minat, kesungguhan dan tidak berpaksikan keuntungan material; ciptaan William berjaya menghidupkan semula bumi Wimbe. Jasa yang bukan biasa-biasa, jasa yang luar biasa!

12.
Cerita William ini juga mengajar, tak perlu kaya tak perlu berkuasa untuk mencipta sejarah. Ilmu, ya ilmu itu yang perlu di tanam, dibaja dan dituai untuk menjadikan diri lebih bernilai dan ke hadapan.

Cerita yang menginspirasi.

Selamat menonton.

The Boy Who Harnessed The Wind






Reactions

Post a Comment

0 Comments