Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana

Sewaktu pertama kali berhari raya di Langkawi, saya terasa kekok. Raya di sana, agak ringkas. Tidak sama langsung macam "meriah" gaya raya di Gombak.

Kalau di Gombak, beberapa hari menjelang Syawal sudah kelam-kabut meriah membuat pecutan akhir menghias rumah. Langsir diganti, cawan dan mangkuk kuih dikeluarkan dari almari kemudian dibilas, baju raya pun sudah siap dibasuh dan sedia untuk digosok. Permaidani yang selama ini bergulung di balik pintu, dibentang menimbulkan bauan yang khusus. Terasa bagai di istana, walaupun seinci pun tak pernah jejak ke dalam istana. Waktu itu, alas kusyen kerusi beralih sikit pun terus segera diperkemaskan sebab mahu semuanya kelihatan sempurna.

Jadi apabila saya "kehilangan" suasana ini di kampung isteri, saya agak terpinga-pinga. Bukanlah ia sesuatu yang buruk, cuma perbezaan ketara membuatkan saya jadi sedikit canggung.

Tapi itu tidak lama.

Makin tahun, saya makin seronok beraya di kampung nun jauh di tengah pulau lagenda. Saya sudah jatuh hati dengan alam keliling yang mendamaikan, lengkap dengan rumah panggung Melayu yang sering saya idamkan. Dan yang menambah rasa teruja ketika bulan Ramadan, lampu pelita meriah di kelliling kampung. Suasana yang sudah lama hilang di Gombak.

Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana


Alahai!

Cantik betul api lampu yang melenggang-lenggang ditiup angin malam. Sekejap lentok ke kiri, sekejap bergelek ke kanan. Jelaga hitam yang menerawang ke angkasa, bertebaran beriringan dengan bau minyak tanah yang dibakar sumbu. Adik ipar saya paling rajin menyiapkan panjut, pelita sebaik saja adik-beradik mula berkumpul di rumah pusaka. Tak lah sampai penuh berderet keliling rumah, tapi cukuplah untuk anak-anak tak berebut mencucuh bunga api. Kalau bunga api sudah habis, batang kemuncup pun boleh dibuat bakar. Saja, kan. Memang mencari pasal suruh mak bapak masing-masing menjerkah sebab bermain api.

Kalau di Gombak, entah bila aktiviti ini mula menghilang. Tahun 80-an masih banyak. Tahun 90-an, saya sudah menginjak usia remaja dan merantau ke sana sini sudah tak kisahkan lagi hal-hal pelita raya. Walhal dulu, kalau sudah sampai malam 27 likur, merata kami budak-budak merayau keliling kampung semata-mata mahu mencucuh bunga api pada pelita di laman orang yang berbeza. Masa tu cukup berani, tak perlu orang dewasa menemankan. Kalau hari biasa, nak ke laman rumah pun takut terbayangkan si Bachok.

Huuuu!

Sekarang, pelita raya sudah banyak berganti dengan lampu yang lebih moden. Lampu lip lap warna-warni, menggunakan tenaga elektrik. Itupun terhad di depan pintu, malah ada yang hanya menggantung di dalam rumah. Pelik juga. Antara pengertian saya tentang sebab memasang pelita ini ialah untuk membantu menerangkan jalan, memudahkan orang yang menumpang lalu. Sama seperti konsep lampu neon yang dipasang TNB.

Sayang.

Apalah maknanya kemodenan, kalau adat budaya tersirat tak dapat difahami.

Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana
Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana
Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana
Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana
Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana
Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana
Nostalgia Pelita Raya Penyeri Suasana






Reactions

Post a Comment

0 Comments