Apa yang saya rindu?
Tentulah suasana kampungnya. Kampung tempat asal gadis berlesung pipit yang menakluki hati seorang Sharulnizam. Eheh!
Cantik, boi. Cantik. Rumah Melayu panggung yang masih kukuh dengan binaan kayu, merata di keliling di bawah bukit. Kerbau tanduk melingkar yang bebas di sawah dan di kebun kelapa, mencari makan sambil sesekali menjeling tajam orang luar yang lalu lalang. Kemudian orang kampung ke hilir ke hulu dengan motor tanpa helmet menyusuri aspal kecil di antara rumah, entah apa urusan yang membuat diri sibuk. Kayuh "geghek" pun ada juga.
Dan tentulah, yang paling seronok untuk berehat di pangkin bawah rumah atau di dapur, di rumah mentua saya.
Di luar dapur, ada kerusi untuk berehat-rehat waktu petang sambil menikmati angin laut Andaman yang kering. Sesekali ternampak binturong kelam-kabut berlari di atas kabel elektrik di tepi jalan. Terkejut juga masa mula-mula melihat haiwan ini dulu. Kenapa besar sangat tupai di Langkawi?
Kah kah kah!
Yang dewasa, bersembang di luar. Pekat dengan makhraj dan tajwid cakap orang utara. Kita pun terikut-ikut, walaupun bunyinya seperti orang Siam nak masuk Melayu.
Kerbau, jadi kerba.
Mau (mahu), jadi ma.
Menjelang petang selepas Asar, anak-anak bebas ke padang di hadapan rumah. Ligat berlari ke sana ke sini, melanggar kemuncup sampai habis melekat di seluar, kadang-kadang naik ke kaki baju. Jatuh tergolek, gelak, atau menangis, kemudia sambung berkejaran sampai baju menjadi masam dan lencun dek peluh. Sesekali ayam jantan datang mahu menakluk kawasan, tapi lintang pukang dikejar anak-anak Gombak, Kundang dan Parit Buntar.
Haih!
Seronok betul. Lagi-lagi kalau musim perayaan semakin menjelang.
Meriah.
Rumah Panggung Kedah
Ini suasana di bahagian atas rumah mentua yang masih lagi dengan binaan kayu. Bahagian ini jarang digunakan, sesekali saja meriah bila anak menantu pakat balik serentak. Saya cukup suka dengan tingkap berdaun dua gaya khas rumah Melayu. Waktu pagi, sinar matahari akan terus masuk tembus memanah lantai bila tingkap dikuak.Cahaya yang berserak ke dalam rumah, kadang-kadang terlindung juga dengan bayang pokok kelapa atau asam jawa yang rimbun.
Segar. Wangi. Udara Langkawi yang nyaman bikin hati tersenyum girang.
Anak-anak yang masam masih belum mandi dan sarapan pagi, sibuk mencari belon yang dibeli dari jeti Kuah dan bermain di tingkap rumah. Saya masih belum faham dengan "teori cahaya" dalam fotografi, tapi saya tahu pemandangan pagi begitu sangat mengasyikkan.
Dengan kain pelikat, aku menjepret butang kamera.
Klik! Klik! Klik!
Gambar-gambar ini dirakam pada tarikh 2 Februari 2011.
Sayang.
Peluang ini sudah tak ada lagi. Rumah panggung sudah menjadi rumah sewa. Yang tinggal hanyalah kenangan di dalam kepingan gambar yang ada.
:(
0 Comments