[Ulasan Buku] Bumi Oleh Tere Liye

Bumi Oleh Tere Liye

1
Saya menangguhkan pembacaan buku ini kerana satu sebab; ini buku bersiri.

2
Membaca buku bersiri membuatkan kita "terikat" dengan buku yang sama untuk tempoh masa yang lama. Walhal, saya suka mempelbagaikan genre bacaan saya setiap kali membaca.

3
Mungkin, siri Bumi ini akan saya buat pengecualian walaupun jumlah bukunya ada 4 (dan menghampiri 400 muka setiap satu!).

4
Ini pertama kali saya membaca buku bersifat sci-fi bernuansakan tempatan. Ya, buku ini buku Indonesia tapi kan budaya kita dan mereka tidak jauh berbeza. Mungkin ada buku Malaysia yang begini juga, bolehlah cadangkan kepada saya kalau sesiapa tahu.

5
Buku tulisan Tere Liye ini, diterjemahkan oleh penerbit Lejen. Untuk harga RM50 bagi 3 buah buku, mana mungkin mampu saya tolak. Saya beli di PBAKL (tahun bila, tak pasti)

6
Terjemahannya bagus dan harus dipuji, namun masih boleh diperbaiki. Penggunaan kata ganti nama "saya" dan "awak" antara dua pihak yang berseteru, berbunyi seperti pergaduhan anak remaja yang sedang bercinta. Kah kah kah! Penggunaan ayat "betul ke" berbanding "betul kah", bunyinya agak janggal.

7
Jalan cerita? Seru banget. Saya tak tahulah bagaimana Tere Liye mendapat ilham menulis buku pelbagai genre. Saya mulakan pembacaan daripada penulis ini melalui buku "Bidadari-bidadari Syurga". Meleleh-leleh air mata dibuatnya. Kemudian genre aksi dalam buku Pulang & Pergi. Kini, sci-fi pula. Hebat!

8
Buku ini sesuai untuk "Young Adult", juga untuk yang dah berkedut. Kah kah kah! Saya membaca buku ini dengan penuh rasa teruja. Setiap halaman mahu diselak dengan cepat untuk mengetahui kisah seterusnya. Tere Liye bijak membahagikan cerita kepada beberapa episod, jadi tak lelah membaca terus menerus.

9
Ringkasan buku ini, ia merupakan pengembaraan 3 anak muda (rakan sekelas) ke alam "parallel world" tanpa dirancang. Seorang demi seorang, sedar diri bukan lagi setakat seorang murid dan anak, tetapi sebenarnya mempunyai kuasa yang sudah lama terpendam di dalam jasad. Bermula daripada sebuah kejadian yang tak disangka, mereka memulakan penjelajahan yang penuh dugaan. Ia bukan hanya sebuah perjalanan kosong, tetapi juga pengembaraan mencari identiti diri.

10
Satu buku ini saja sudah terasa begitu epik. Entah bagaimana pula cerita yang dihidangkan dalam 3 buku seterusnya. Nampak gaya, musim PKP ini saya akan mengembara bersama Raib, Seli dan Ali sehingga ke penghujung helaian buku "Bintang". Sekarang, saya mahu sambung buku kedua, Bulan.

Seronok! Buku yang berbaloi untuk dibaca.

Bumi Oleh Tere Liye

#sharulmembaca
#malaysiamembaca





Reactions

Post a Comment

0 Comments