Musim tengkujuh.
Sekarang musim hujan sudah mula menunjukkan taring. Sesetengah tempat, banjir sudah melanda menenggelamkan harta benda. Kasihan. Moga urusan mereka dipermudahkan. Maklumlah, berganda-ganda musibah melanda. Hujan, banjir dan Covid-19 yang masih berleluasa.
Gombak?
Hujan juga. Ada kawasan yang lumrahnya akan banjir ketika musim begini. Banjir kilat. Taklah seteruk seperti di Pantai Timur. Tapi kilat pun, boleh rosak juga harta benda. Nyawa pun boleh hilang.
Alhamdulillah, rumah saya terletak di kawasan yang berbukit. Saluran air pun, terjaga baik walau sampah tetap terselit di sana sini di dalam longkang.
Nyaman. Sejuk. Kadang-kadang berkabus. Jadi Gombak Highland.
Namun sudah namanya manusia, susah benar mahu mengawal nafsu.
Tiba-tiba ada rasa rindu mahu melihat matahari yang bersinar terang di balik kepul awan gebu. Langit biru turut mendamaikan suasana. Apa lagi, kalau menjelang senja pemandangan menjadi semakin memukau mata.
Rindu. Ada rindu pada warna jingga matahari terbenam.
Gombak ada warna itu. Pernah ada. Akan ada dengan izin Yang Maha Esa.
Tapi hari ini, tidak.
Yang ada, hanyalah rakaman lensa kenangan.
Bersyukurlah.
0 Comments