Kalau orang lain, mungkin gambar ini tidak ada makna.
Tapi bagi saya, ini satu kenangan yang ada cerita.
Pagi Rabu selepas solat Subuh, saya memandu dalam gerimis yang sejuk
mencengkam. Waktu berhenti di lampu isyarat, saya melihat butir-butir hujan di
dinding cermin kereta membiaskan cahaya lampu yang berwarna-warni.
Cantik.
Saya rakamkan sekeping dua.
Kemudian terus memandu melintasi masjid yang sepi dari jemaah subuh di musim
pandemik. Lebih kurang selepas 500 meter, saya memberhentikan kereta di laman
bonda.
Mak, masih bertelekung berdiri di tepi pintu.
Abah, berkopiah putih perlahan-lahan berjalan menuruni curam kecil di hadapan
rumah, menghampiri kereta saya yang masih berkelip-kelip lampu isyarat
berhenti ke kiri.
Abah masuk ke dalam kereta, dengan sebuah beg galas berisikan bekal dan bantal
kecil berbalutkan sarung berwarna merah hati.
Saya menekan pedal minyak, meninggalkan laman bonda. Mak menutup pintu, dan
lampu luar pun dimatikan. Kereta saya terus meluncur di atas aspal yang basah
ditimpa hujan.
Abah dan saya berbual kecil. Sembang hal-hal santai. Kadang-kadang perkara
yang sama seperti hari sebelumnya. Kadang-kadang sepi, hanya ditemani alunan
bacaan Al Quran dari corong radio IKIM.
Kalau 20 tahun dahulu, saya yang duduk di kerusi penumpang dan abahlah yang
memandu gagah Toyota Liteace membawa saya nun ke Kedah. Sampai di kawasan yang
tiada siaran radio, kaset lagu-lagu Minang mengambil alih tugas untuk
menyegarkan mata. Saya hanya memandang ke luar tingkap, menikmati pemandangan
lebuh raya utara selatan yang tak pernah membosankan.
Tapi pagi ini tak sama lagi dengan 20 tahun yang lalu.
Abah perlu ke klinik seawal jam 6.30 pagi untuk memulakan sesi mencuci darah.
Kalau lambat, lambatlah selesai. Kalau ditanya apa sarapan pagi abah, hanya
segelas air Milo bancuhan mak disulam roti atau biskut. Manalah maunya makan
seawal pagi.
Jadi abah perlu cepat sampai. Tamat sesi jam 11 pagi, abah sudah kelaparan dan
mahu segera mengisi perut. Kalau lambat saya menghantar, lambatlah abah
selesai.
Itulah rutin kami setiap tiga hari dalam seminggu.
Ada kenangan.
Dan gambar ini menyimpan cerita yang membahagiakan.
❤️
_____
Ramuan;
Huawei P20 Pro
Adobe Lightroom
Rasa cinta pada ayahanda (dan bonda)
0 Comments