Kecoh di dunia maya tentang kata-kata seorang yang berpengaruh tentang keperluan seorang perempuan untuk "buat-buat bodoh" jika mahu mencari jodoh.
Saya tak tahu hujung pangkal cerita ini, tapi ramai yang berkongsi dan kebanyakannya melenting memarahi tuan punya kenyataan itu. Katanya menjatuhkan martabat wanita. Memalukan.
Saya memilih untuk diam, menahan kata. Maksud saya, tidak terjebak dalam hal-bal memberi kecam kepada orang-orang tertentu. Sebab melihat video ucapan itu pun tidak. Lagipun, itu hanyalah video pendek dari durasi yang panjang. Macam mana mahu menilai perkara yang sekerat-sekerat?
Tanggapan saya buat masa ini, ucapan itu lebih kepada metafora. Ayat berkias. Bukan ayat nyata, mahupun ayat perintah. Wallahualam.
Sudah menjadi "budaya" netizen kebelakangan inj, melenting cepat hanya berdasarkan beberapa kenyataan. Tak menyiasat keseluruhan cerita, tahu-tahu sudah menyerang tanpa ihsan. Ada yang kata, ini bukan pertama kali beliau melakukan kesilapan. Sebelum ini ada juga kenyataan yang mengelirukan.
Baik. Cuba jelaskan kerana kau lebih arif. Berapa (yang silap) dan berapa pula yang betul? Berapa jumlah perkongsian dia yang yang sudah kau analisa?
Saran saya, cubalah ambil masa bertenang sebelum terus melompat buka silat. Takut langkah menjadi sumbang. Kalau benar sekalipun pengucap itu salah, kita yang lantang berdegar-degar ini pun orang akan buat penilaian juga.
Perasan tak tu? Ya, kita "hentam" orang tapi sebenarnya kita membuka diri kita juga untuk dinilai orang lain. Dan apabila orang lain menghentam kita kerana berbeza pendapat, kita melenting lagi tinggi mengatakan mereka tak faham apa yang kita sampaikan.
Dan ceritanya berulang-ulang sampai abang Jamil mamp... Nampak kan? Kitaran yang sama saja. Aku kecam dia, dia kecam aku.
Jadi daripada hal mengecam orang buat-buat bodoh, rupanya kita menjadj orang yang buat-buat pandai membalas berdasarkan emosi semata-mata.
Tak. Ini bukan bebelan aku untuk orang lain. Ini untuk diri sendiri.
Jadi apa yang mahu saya sampaikan sebenarnya?
Adab.
Salah macam mana pun dia, benar sekali pun engkau, tanpa adab, kebaikan dan kebenaran apa yang kau mahu tunjukkan?
Penunggang Status
Saya seperti biasa. Cakna dengan isu semasa demi kelangsungan hidup di dunia media sosial. Hahaaha! Saya jarang sekali terlibat dalam hal kecam-mengecam kerana hidup terlalu pendek untuk diserabutkan dengan hal orang lain. Faktor umur, mungkin.
Tapi, yang liciknya saya akan menggunakan isu itu sebagai content. Eheeheh! Menunggang sambil lewa, orang kata.
Ini status saya di FB sewaktu isu ini masih panas.
Dia ni, tak reti buat-buat bodoh mahupun buat-buat pandai.
Dia sangat cemerlang dalam satu hal;
buat dek.
Sebutannya 'e' pepet, bukan 'e' taling.
Kau tau ke apa benda buat "dek" tu? Ni warga zaman "wa caya sama lu" fahamlah. Warga zaman "itteww tacodd" tak faham punyalah.
Kah kah kah! Tunggang selagi mampu.
Nah, ini ada beberapa lagi gambar makhluk yang berbulu idaman ramai kujadikan tontonan umum.
0 Comments