Nyamuk Yang Membunuh Diri Di MRSM Muar

Allahu.

Pagi Ahad nan syahdu ni, ada yang berkongsi gambar asrama kayu tempat aku menginap selama dua tahun di MRSM Muar sekitar tahun 2013/2014 (bukan tahun sebenar).

1) Dewan Selera (boboi)
2) Asrama Tun Hussein Onn (ATHO)
3) Asrama Tun Abdul Razak (ATAR) yang paling ohsem, paling gempak wa cakap lu
4) Asrama Dr. Burhanudin (ADB)
5) Asrama Tun Dr Ismail (TDI)
6) Asrama Ungku Omar (sebelah TDI, belakang DS)

Yang no 1-3, aku pasti. Yang lain tu ingat-ingat lupa.

Aku ATARIAN. Wing kanan, bilik no 23. Dalam gambar ni, boleh nampak tingkap bilik aku yang dekat dengan persimpangan koridor antara ATAR & ADB. Tempat strategik melihat awek orang lalu-lalang. Ya, awek orang. Bukan awek sendiri.

Kenangan Di MRSM Muar 1993-1994
Suasana asrama di MRSM Muar yang masih menggunakan kayu

Pertama kali naik asrama (kami panggil dorm) ni, yang terlintas dalam kepala ialah berek polis dalam filem Bukit Kepong. Hehehe! Tak sama tapi serupa. Kayu sepenuhnya, dan binaan seperti rumah panggung Melayu lama. 

Ada masa sengal, terbayang juga hantu penanggal menunggu di bawah kolong mahu menghisap darah ibu baru bersalin. Mujurlah penghuni ATAR semuanya berhalkum. Untuk menenangkan fikiran, aku anggap saja hantu penanggal tu kemudian mencuba nasib ke asrama Tun Teja dan Tun Fatimah di atas bukit sana.

Heh!

Ingat lagi pada suatu pagi hujung minggu yang sepi, kala kami yang masih kurus dan tulang-temulang badan masih timbul, masing-masing bergelimpangan di "pintu bilik" dan kaki lima dorm berbual-bual hal makwe pakwe.

Tentulah, sebagai AJK Keceriaan Kelab Budak Skema Tak Ada Awek (KEBUSTA) yang bermotokan Awak Terlalu Baik Untuk Saya, aku takat boleh mendengar saja keluh kesah dunia percintaan remaja 17 tahun, terutamanya roomate aku si Jepun (bukan negara sebenar) tu. 

Nyampah!

Waktu tu lah juga teringat ada surat yang penuh dengan bedak Cuticura 100 gram dikirim oleh rakan sekelas Miss Y, untuk kesuma jiwanya Encik D yang bermastautin di Wing Kiri. Segera aku cari surat berlabuci tujuh warna pelangi yang terselit dalam buku teks Add Math, di mukasurat topik pengkamiran yang menyeksa jiwa.

Pernah juga berniat untuk mengintai membaca kata-kata puitis merpati dua sejoli ini, tetapi lekas-lekas insaf kerana mahu menjadikan jawatan aku sebagai freelancer (aka posmen) paling berkaliber dalam sejarah peradaban manusia.

"Saya professional," sekadar memetik kata-kata pelakon iklan judi raya.

Move on, bro. Move on.

Amanah terlaksana.

Aku kembali ke bilik, terbaring di atas katil bercadar putih yang penuh tompokan merah di bahagian kaki, akibat gigitan kasih sayang nyamuk Muar yang dirasuk cinta pada lelaki berambut belah tengah dari Gombak. 

Maaf, aku rimas. Awak terlalu baik untuk saya. Dan sipenghisap darah itupun membunuh diri di atas cadarku kerana kecewa, memecahkan perutnya yang buncit dengan darahku yang manis.

Aku meletakkan kepala di atas bantal kusam yang berbau menggerikan, lengan kanan diletak atas dahi, tangan kiri memintal-mintal hujung baju. 

Sunyi. 

Tiba-tiba ada aroma yang menyengat deria bau. Makin kuat, makin tengit.

Oh!

Rupanya baju yang direndam dalam baldi dengan sabun Breeze 5 sudu di bilik air 3 hari yang lepas, memanggil untuk dibasuh.

Begitulah.

Kenangan syahdu di ATAR.

_____

Sharulnizam Mohamed Yusof
Malas basuh baju







Reactions

Post a Comment

0 Comments