"Hang ada di mana?"
"Sampai dah, baru parking. Tunggu di pintu masuk."
Secara spontan, saya dan rakan kembara HART, Amoy dan isteri berpakat untuk merentas hutan yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur; Taman Tugu Forest Trail. Saya yang memang sudah sekian lama "gian" mahu menghirup udara segar di dalam hutan ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tentulah saya mahu pergi!
Sabtu, 25 Julai 2020 kami berjumpa di depan pintu masuk utama taman ini. Jam baru menunjukkan 7.30 pagi tapi kawasan ini sudah meriah dengan orang ramai. Maklumlah, laluan ini juga digunakan orang awam untuk berjogging.
Kuala Lumpur ni, lebih banyak bangunan membeli-belah berbanding taman awam. Jadi tak hairanlan taman-taman ni sentiasa penuh dengan manusia yang mendambakan kebebasan. Gitu.
Taman Tugu Forest Trails
Oleh kerana PKP masih berkuatkuasa, kami mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan. Suhu diambil dan maklumat peribadi turut direkodkan melalui aplikasi MySejahtera. Tak perlulah pakai topeng muka, kerna kau sendiri sememangnya syaitan bertopengkan manusia.
Tiber.
Kah kah kah!
Jadi apa yang perlu kau tahu tentang Taman Tugu Forest Trail ini?
1/
Dibuka kepada orang awam setiap hari bermula jam 7 pagi sehingga 6.30
petang. Waktu akhir masuk ialah jam 5.45 petang. Denda sebanyak RM50 dikenakan
jika keluar lewat dari masa yang ditetapkan.
2/
Ruangan parkir adalah terhad tapi percuma. Saya tiba jam 7.30 pagi
hari Sabtu, parkir sudah penuh. Boleh parkir di Tugu View Cafe yang
berhampiran. Elakkan meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana menyukarkan
lalu lintas.
3/
Jarak trek utama sekitar 3 km dan ada trek kecil (terpisah)
sekitar 1 km. Trek mudah dan laluan agak terang dan bersih. Jadi memang sesuai
untuk aktiviti keluarga. Dijangkakan laluan baru akan dibuka menjadikan
keseluruhan jarak ialah 7 km. Lumayan!
4/
Ada 24 check point. Bunyi seperti banyak, tapi jarak antara check
point sangat dekat. Kadang-kadang tu belum sampai 10 minit, sudah 6 check
point dilepasi. Tanda arah banyak diletak memudahkan perjalanan sesiapa pun.
5/
Laluan adalah sehala. Tak pasti sama ada ini hanya digunapakai semasa
PKP atau memang diwartakan semenjak awal pembukaan.
6/
Seperti yang saya maklumkan awal tadi, laluan di sini bersih dan
terang. Jadi boleh saja bergambar dengan penuh narsis. Eheh! Bagi pencinta
alam semula jadi, memang tak terasa berada di dalam hutan di tengah-tengah
Kuala Lumpur. Ada tanda nama pada pokok-pokok untuk dijadikan panduan kepada
orang ramai. Kalau datang awal pagi sewaktu matahari baru naik, pemandangan
menjadi sangat menakjubkan. Cahaya matahari yang menerobos antara daun-daun
pokok menerangkan lantai, memang memukau mata.
7/
Bawa bekalan air dan makanan secukupnya. Tidak ada kedai jualan,
melainkan Tugu View Cafe yang berhampiran. Itupun kafe ini hanya dibuka pada
hari biasa dan Sabtu. Ahad, tutup!
Hutan Dalam Bandar
Bagi saya, Taman Tugu Forest Trails ini berbaloi untuk penduduk sekitar Lembah Kelang dan menjadi tarikan kepada pelancong luar. Tak keterlaluan kalau saya katakan Taman Tugu ini ibarat hutan "mini" yang ada di tanah air kita.
Untuk kanak-kanak? Tak ada masalah. Elok sangat jika anak tak kenal hutan dan tak pernah bermandi peluh. Puas hati.
Insya-allah.
Saya akan datang lagi, dengan keluarga pula lain hari.
Gambar & Video Sekitar Taman Tugu Forest Trails, Kuala Lumpur
Rujukan;
Laman web http://tamantuguproject.com.my/
0 Comments