Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga

Umur saya tahun ini (2021), bakal menjejak angka 44. Dalam tempoh lebih empat dekad ini, hampir 16% umur saya digunakan untuk merantau menimba ilmu. 5 tahun di Kedah, 2 tahun di Muar.

Selebihnya nafas saya berkelintar seputar tanah Gombak.

Dan selama itu, sekali pun tak pernah saya jejak ke Sungai Pisang yang jaraknya lebih kurang 10 km dari rumah. Walhal, sewaktu remaja bukan sekali dua saya berulang-alik ke Sungai Rumput, "sebelah" saja dengan Sungai Pisang.

Air Terjun Sungai Pisang ni tak jauh pun dari Kuala Lumpur. Sekitar 20 km dari pusat bandar. Terus saja ke Jalan Gombak menuju Genting Sempah ikut jalan lama. Laluan ni memang popular untuk geng basikal yang berkayuh kadang-kadang lajak ke Bentong atau Janda Baik.

Dan disebabkan kedudukan air terjun ini yang dekat dengan KL, Sg Pisang memang jadi tumpuan ramai terutamanya hujung minggu. 


Trip Keluarga

Awal Mac saya ternampak posting sahabat/ex-roomate saya ketika di MRSM Muar dulu, berkelah ke Sungai Pisang. Adha, yang mesra dipanggil Coreya kerana wajahnya yang sangat keKoreaan, rumahnya taklah jauh dari rumah saya. 

Teruja, terus saya mesej beliau di Whatsapp.

"Assalamualaikum wbt. Jom mate, pi air terjun sg banana."

"Yee haaa. Buleh. Tapi kena minta permit."

"Yezza. jom. Minggu depan lah kalau camtu. (Minggu ni) tak dan nak ambik permit dah."

"Aku ok je insya allah."

Tahu-tahu, semuanya sudah selesai. Urusan mendapatkan permit (pejabat di Cheras kalau tak silap), dikenakan bayaran RM5 sekepala.

Saya berenam sekeluarga. Sahabat saya Fauzi, berempat sekeluarga. Adha dengan anak-anak. Jumlah kami 13 orang hari tu.

Jadilah, trip keluarga.

Ini kali pertama saya bawa semua untuk jungle trekking. Melihat perkongsian video di dalam Youtube dan blog, laluannya agak santai dan juga mudah untuk beginner. Saya yakin isteri dan anak bongsu boleh tempuh perjalanan ini dengan mudah.

Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Keluaga saya (atas) dan Fauzi aka Bayam (bawah)


Alang Sedayu, Batu 12

Untuk memulakan trekking, bolehlah parking di Alang Sedayu. Google saja, Insya-allah jumpa petanya. Oleh kerana kawasan ini agak sempit, mencari parking merupakan cabaran pertama yang perlu ditempuhi. Pandai-pandailah selit di mana yang ada. Ada parking percuma, ada parking berbayar walaupun hanya sekadar parking di bahu jalan.

Dari tempat parking, tuju terus ke hulu sungai sampailah berjumpa bangunan kecil loji air. Ada dua pilihan; randuk sungai atau "melompat" pagar seperti zaman kau fly keluar dari asrama dulu. Kah kah kah!

Opps! Sebelum tu, ada tol lagi. Banyak benar tol nya, ya? Zaman kanak-kanak riang saya dulu, hutan banat je kawasan ni. Tol apa pun tak ada.

Saya senaraikan "jenis" bayaran yang dikenakan sebelum masuk.

Permit; RM5.00 sekepala.
Parking; RM5.00 satu kereta.
Individu; RM1.00 sekepala.

Permit tu, kita fahamlah sebab dikenakan olah Jabatan Hutan. Tapi ada je yang masuk tanpa permit. Tak ada masalah, tak tertangkap tak apa lah. Kalau tak, sia-sia saja bayar saman.

Dua bayaran lagi tu, tak tahulah atas nama siapa atau badan berkuasa yang mana. :)


Tali Pinggang Sultan Sulaiman Di Muka Sauk

Kami memulakan perjalanan agak lewat. Sekitar jam 12 pm kami baru sampai di muka sauk. Memang rancang pergi tengah hari atas tiga sebab. Satu, dekat dengan rumah. Dua, bagi orang yang datang pagi balik dulu dengan harapan tak ramai orang di air terjun. Tiga, jangkaan pergi balik trekking sekitar 3 jam saja. Sempatlah nak Zohor di rumah nanti.

Bismillah.

Tapi tulah. Belum apa-apa, bulu roma dah meremang. Belum pun kami menyeberang sungai untuk ke permulaan trek, kami "disambut" dengan mayat anak ular sawa. Tali pinggang Sultan Sulaiman, bak kata sang kancil kepada harimau. Baru lagi mati agaknya. Bangkai masih berkilat, tersidai atas batang kayu di dalam semak.

Hei! Merinding bulu romaku! Gitu melatah menyanyi lagu Ibu Hetty Koes Endang. Segala macam imaginasi pun datang bergentayangan. Kalau ada anak ular, mestilah ada mak ular. Kalau ada mak, mesti ada bapak ular.

Hoi, seram!

Tapi kenalah pura-pura menjadi bapak gagah perkasa depan anak-anak dan isteri. Jalan terus, jangan dipikirin lagi.

Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Muka Sauk Alang Sedayu


Terowong Kembar

Kami masuk ke denai di seberang sungai dan terus memecut. Agak mudah sebenarnya, laluan di tepi sungai sampai lah ke terowong kembar yang menjadi "signature" Sungai Pisang. Saya yakin tak akan sesat, hanya pastikan sungai sentiasa berada di sebelah kanan.

Jangan lupa bergambar sakan di depan terowong untuk kenangan. Jadi geram dibuatnya dengan air yang jernih keluar dari terowong. Air taklah tinggi, separas buku lali orang dewasa. Tak ada pilihan lain selain meranduk air untuk ke hujung satu lagi. Air agak deras bagi kanak-kanak, jadi pastikan mereka dikawal sepanjang laluan ni.

Nak selfie dalam terowong ni boleh je, pastikan kamera cukup power lah untuk ambil gambar dalam gelap.

Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Ada dua terowong dan air separas buku lali orang dewasa. Hati-hati kalau musim hujan.


Persimpangan Dilema

Sebaik keluar dari terowong, ada dua pilihan untuk terus ke air terjun. Pilihan pertama melalui jalan darat, terus saja naik "tangga" di sebelah kanan sebaik saja keluar terowong. Itu sebenarnya longkang laluan air, bukanlah tangga. Jadi langkahnya agak besar, sila berhati-hati.

Kami memilih untuk ikut jalan sungai, alang-alang sudah basah dan masih bertenaga. Terus saja dan perlu berhati-hati kerana laluan sungai agak berselirat dengan akar kayu dan air sungai yang banyak. 

Tapi, kalau yang sukakan nature pasti terpegun melihat pemandangan menarik sepanjang laluan ini. Air sungai yang menyelinap di balik akar dan batu memang bikin pemandangan romantis.

Oh, tips agar tak salah laluan sebab kadang-kadang sungai bercabang; pilih saja laluan sebelah kanan.

Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Pastikan kasut kuat untuk meranduk sungai, kalau tak, hanyut!


Air Terjun Sungai Pisang

Alhandulillah, selepas satu jam trekking kami semua sampai ke destinasi tanpa sebarang kecederaan atau halangan. Orang agak ramai, baik keluarga mahupun golongan muda-mudi. Sabar, tak perlu berebut atau tergesa-gesa. Kebanyakan yang ada di sini tak lama pun. Lepas berendam dan bergambar, semuanya beransur balik. Faham-faham sendiri untuk bergilir.

Kami dahulukan acara dengan makan. Bekal memang dah disiapkan dari rumah jadi dapatlah makan makanan mewah. Heh! Sambil-sambil julurkan kaki dalam air, kami menikmati juadah dengan hiburan deruan air terjun yang setinggi bangunan tiga tingkat.

Kawasan kolamnya taklah besar, tapi boleh lah berkumpul antara 10-20 orang. Batu besar agak banyak, menjadikan ruangan agak sempit. Lagipun kiri kanan sungai diapit tebing tinggi. Pandai-pandailah menyelit.

Pesanan penaja; sila jaga kebersihan sungai dan air terjun kita.

Lepas makan, barulah acara mandi-manda bermula. Hafiz paling seronok, tapi mood rosak bila kaki dia terluka terkena batu. Drama bukan main, kata dia tak boleh jalan dah.

Kah kah kah!

Itu kira acara penutup lah tu. Kami pack barang, pakai kasut, bersiap-sedia nak balik. Lagi lama nanti, lagi panjang drama si Hafiz.

Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Pemandangan air terjun dari trek bukit

Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Member dari KMKN & MRSM Muar. Dah lebih 20 tahun berkawan.

Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Trekking Ke Air Terjun Sungai Pisang, Gombak Bersama Keluarga
Kesayangan


Mendaki

Untuk perjalanan balik, kami memilih untuk ikut jalan darat. Untuk itu kami perlu mendaki bukit bersetentangan dengan air terjun. Perlu berhati-hati kerana bukit agak curan dan  berkecerunan hampir 90 darjah. Kalau yang berkeluarga, eloklah kaum bapa atau pun mereka yang lebih berpengalaman menjaga "lalu-lintas", terutamanya kanak-kanak.

Ada sesetengah manusia ni, agak selfish. Dah tahu laluan sempit dan berbahaya, nak juga dirempuh tak sabar menunggu. Tak bagi keutamaan laluan kepada yang lebih memerlukan. Jadi, memang kena tolong pantau sebelum kejadian tak diingini berlaku.

Alhamdulillah, kami semua berjaya naik dengan selamat.

Laluan seterusnya agam mudah, memang jelas laluannya untuk kembali ke Alang Sedayu. Ikut saja denai yang sudah terang, saya fikir tak sampai 15 minit akan sampai ke tepi lebuhraya Karak. 

Ikut saja jalan melawan arus jalan raya, sampailah ke tangga yang menuju ke terowong. Tak akan sesatlah, sebab sangat jelas semuanya tak tersorok. Di sini perlu sedikit berhati-hati untuk turun masuk ke longkang, langkah perlu besar untuk ke bawah.

Sampai ke terowong, ikut saja laluan datang tadi dan Insya-allah, sampai semula ke tempat permulaan.

Hati-hati kerana tebing agak cerun

Pemandangan air terjun dari puncak tebing selepas mendaki

Menuju pulang menyusuri tepi lebuhraya sebelum turun ke terowong


Pulang

Perjalanan balik terasa mudah dan sekejap saja. Cuma tak pasti sama ada disediakan atau tidak tempat menyalin pakaian. Untuk orang lelaki mudahlah, untuk kaum wanita susah sikit. Rasanya seperti ada surau kecil, tak nampak pula tandas disedeiakan. Tapi kalau dah bayar wang pengurusan, mestilah ada, ye tak?

Heh!

Kami sepakat anak beranak untuk terus balik saja. Baju pun sudah tak lencun, jadi lapik saja tempat duduk kereta dengan kain tuala. Tak sampi 15 minit, dah sampai rumah.

Nak datang lagi?

Mungkin.

Jom!

Boleh tengok video yang sempat saya rakamkan kan ni.









Reactions

Post a Comment

2 Comments

  1. Utk masuk ke sini, perlu divaksin lengkap 2 dos ke

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak pasti yang tu. Yang pasti nak masuk perlukan permit.

      Delete