Badan pun dah semakin subur mekar bak bunga Matahari. Memang elok sangatlah aktiviti ini untuk menggerakkan badan.
Saya ditemankan sibujang sulung, Haris. Adik dan kakak tak ikut, ada aktiviti sekolah. Tak mengapalah, yang penting saya sendiri dapat menggerakkan tangan dan kaki serta mengeluarkan peluh.
Bersama abang Haris sebelum pulang
8.15 pagi | Parkir di Taman Rimba Riang
Oleh kerana lokasi hiking hari itu di kawasan Lembah Kelang, kami bermula agak lewat. Jam 8.00 pagi kami berkumpul di Plaza Tol Kota Damansara, kemudian terus saja ke Taman Rimba Riang untuk memulakan pendakian. Oleh kerana parkir sudah penuh, terpaksalah kami meletakkan kereta di tepi jalan.Park at your own risk!
Jalan di situ agak lengang.
8.30 pagi | Mula mendaki
Selepas membuat sedikit senaman regangan badan, kami bertujuh pun terus memulakan pendakian dengan penuh semangat.Hip hap hip hap!
10 minit pertama kita dah mengah, wak!
Teruk betul stamina selonggok Sharulnizam ini. Berat badan dah mencanak naik, senaman dah malas, lagi tak mahu insaf. Wake up, Sharul!
Harap-harap selepas selamat turun dari KDCF ni nanti, terselinaplah rasa mahu kembali fit seperti tahun 2016 dahulu.
Trek tidaklah begitu sukar sebenarnya (berbanding gunung-ganang yang pernah saya daki). Keadaan hutan agak terang, laluan pun tidak begitu bersemak. Mungkin pengunjung ke sini yang sentiasa ramai hujung minggu menyebabkan keadaan hutan tak begitu tebal. Namun cerita-cerita angker yang banyak dikongsi oleh warga maya, sedikit sebanyak meremangkan bulu roma.
Apa yang seram?
Cerita pasal ular senduk yang berkeliaran di trek!
Adeh!
Bab ular ni, memang lemah lutut jadinya. Dengan pacat pun boleh menjerit melolong panggil mak, inikan pula yang panjang melingkar bermeter-meter.
Alhamdulillah.
Tak ada jumpa pun hari tu. Pacat ada, tapi tak mengganggu ketenteraman maka boleh diabaikan.
10.00 pagi | Puncak Denai Puteri
Kami tiba di puncak. Entah mana datangnya, tiba-tiba sudah ramai orang di sini. Saya dimaklumkan KDCF ada beberapa pintu masuk, jadi tak hairanlah kalau di puncak sudah macam kenduri.Barulah saya cam kedudukan KDCF ini. Rupanya sudah banyak kali saya lalu lalang berhadapan puncaknya yang terletak bersebelahan dengan lebuhraya NKVE. Dan seperti rakyat jelata yang lain, kami pun bergambar dengan penuh narsis di lereng bukit yang curam.
Gayat!
Rasa macam nak sepak orang yang bergaya sakan betul-betul di hujung bukit. Sikit lagi nak jatuh tergolek ke bawah. Jantung kita pula yang laju berdegup.
Hah! Macam itu lah penangan rasa orang gayat. Bukan takat diri sendiri, untuk orang lain pun kita tolong gayatkan. Boleh?
11.00 pagi | Turun
Selepas satu jam dan puas bergambar, kami pun pulang ke daratan. Perjalanan pulang selalunya akan lebih pantas dari mendaki. Biasalah tu, melainkan ada masalah kecederaan. Walaupun trek santai, perlu berhati-hati takut ada kelukaan atau terseliuh jatuh.Semasa turun inilah saya terserempak dengan beberapa orang penunggang MTB. Aduh! Melihat gegearan muka masing-masing yang menempuh jalan yang berselirat akar, sekali lagi saya terimbas kenangan aktif berMTB sekitar tahun 2013 dahulu.
Haih!
Semuanya tinggal kenangan.
Kemon Sharul! Segeralah insaf.
12.00 tengah hari | Selamat Mendarat
Alhamdulillah. Kami sampai ke kereta tepat jam 12.00 tengah hari di waktu panas matahari sudah semakin terik. Kereta di tepi jalan pun, tinggal milik kami saja yang ada. Mujur tak ada apa-apa perkara yang tak diingini berlaku.KDCF bagus untuk mereka yang tinggal di sekitar Lembah Kelang, tak perlu jauh memandu. Trek juga mesra kanak-kanak, cuma perlu berhati-hati ketika berada di puncak.
Insya-allah, boleh ulang lagi.
0 Comments