Satu Seni Memilih Buku Seterusnya Untuk Dibaca

"Abah rekemen sikit buku yang menarik nak dibaca."

"Aik? Bukan tadi baca buku Tulang-tulang Berserakan?"

"Bosan."

Saya menjeling kepada permaisuri hati yang berlesung pipit di pipi kanan. Buku hebat macam tu kata dia bosan? Betul lah, selera membaca tak akan sama antara manusia, walaupun isteri sendiri.

Sebenarnya, saya pun baru saja melepasi fasa yang sama. Masalah biasa bagi pembaca buku, saya kira. Memilih buku untuk dibaca seterusnya ada satu misteri yang menuntut keberanian untuk membuat keputusan. 

Hampir 15 minit menelek setiap buku yang ada, masih gagal memilih.

Berhenti dulu, pergi ke dapur minum air dan kembali merenung rak almari yang semakin sarat dengan buku-buku pelbagai warna.

Mahu mengembara, baru sangat lagi membaca buku ke Mesir.

Mahu membaca novel Bahasa Indonesia, baru selesai membaca Entrok.

Buku sastera Malaysia, entah lah masih belum ada mood.

Buku bahasa Inggeris, haih, sampai ke hujung tahun belum tentu habis membaca satu buku.

Akhirnya saya nekad saja.

Yang mana tercapai dek tangan, itulah saya baca. Itulah caranya. Itulah seni memilih buku seterusnya untuk dibaca. Rawak.

Yeay, sudah selesai.

Letak dulu, mahu ke tandas menyelesaikan urusan penting. Biar selesa mahu membaca sekejap lagi. Hati sudah kembali tenang. Masalah sudah selesai.

Percaya?

Lima minit berselang, saya kembali tercegat di hadapan rak buku berwarna coklat. Mata memerhati lagi tajuk-tajuk buku pada tulangnya.

Buku yang sudah saya pilih tadi, sudah pun kembali terselit di antara buku yang lain. Jodohnya masih belum sampai lagi hari ni.

Adoi!

Dah tu nak baca buku apa ni?

Satu Seni Memilih Buku Seterusnya Untuk Dibaca
Satu Seni Memilih Buku Seterusnya Untuk Dibaca
Satu Seni Memilih Buku Seterusnya Untuk Dibaca
Satu Seni Memilih Buku Seterusnya Untuk Dibaca






Reactions

Post a Comment

0 Comments