Ahad (10 Okt 2021) saya ke Putrajaya buat sekian kalinya. Lama dah tak menjejak kaki ke bandar pentadbiran Malaysia ni. Agaknya waktu kami bergambar raya di Taman Saujana Hijau, Putrajaya itulah yang kali terakhir. Tahun 2019.
Kali ni saya pergi seorang diri, berjanji dengan rakan basikal foldie dari Kota Damansara. Beliau lah yang "meracun" saya sampai "ter"beli dua buah basikal kononnya untuk beriadah. Lepas sebulan dua beli, basikal pun tersadai di rumah sebab PKP. Kah kah kah! Teruk tak teruk PKP, sampai rantai basikal naik karat. Gila!
Jadi bila abam Bayam aka Fauzi yang merangkap rakan travel saya ke Indonesia (sudah 3 kali sejak 2013) mengajak kayuh di Putrajaya, terus saya setuju. Tak plan lama pun, spontan.
Taman Saujana Hijau
Saya tiba agak lewat. Natijahnya saya terlibat dengan kesesakan untuk mencari parkir. Punyalah ramai manusia yang mahu beriadah. Oleh kerana tidak ada ruang untuk menyelit, saya cuba untuk mencari parkir di luar. Gagal. Waktu tu jugalah Bayam telefon, katanya basikal tak boleh dibawa masuk ke dalam taman. Pulak dah. Terpaksa kami tukar program, kayuh di Putrajaya saja.
Masjid Putra - Bangunan MOF - Istana Keadilan
Kami parkir kereta di kawasan luas berhampiran dengan McDonalds, Putrajaya. Terus saja kami memulakan kayuhan memandangkan hari sudah semakin panas. Untuk permulaan, kami terus saja ke Masjid Putra atau dikenali juga sebagai Masjid Merah. Oleh kerana sudah diniatkan kayuhan ini kayuhan santai, kami "meleha" sambil bergaya narsis untuk gambar. Kah kah kah! Buruk betul perangai acik-acik nak berOOTD.
Dari Masjid Putra menuju ke PICC di penghujung jalan, kami melalui ruang tengah jalan yang lebih selamat daripada laluan kenderaan. Seronok dapat kayuh dengan bebas dan kawasan landai begini. Dapat juga cuci mata melihat bangunan-bangunan Putrajaya yang pelbagai bentuk dan warna.
Kami berhenti merakam gambar di hadapan bangunan Kementerian Kewangan dan juga Istana Keadilan (mahkamah).
Taman Seri Empangan - Marina Putrajaya
Berhampiran PICC, kami terus saja ke taman di persimpangan jalan, sebaik saja melepasi Jambatan Seri Gemilang. Saya baru tahu nama lokasi ini Taman Seri Empangan. Berwajah baru berbanding kali terakhir saya ke sana. Banyak kemudahan untuk bersantai dan melakukan aktiviti bersama keluarga.
Seronok tengok orang ramai datang berkunjung di sini. Rupanya berhampiran dengan jambatan (di bahagian bawah) ada perkhidmatan sewaan basikal.
Ada beberapa jenis basikal yang ditawarkan. Untuk tempoh masa sejam, basikal biasa disewakan dengan harga RM10, basikal dengan dua pengayuh RM15, dan basikal yang boleh memuatkan 3-4 orang harganya RM20. Sesuai sangatlah untuk bersantai bersama keluarga atau kawan-kawan.
Kami terus saja ke penghujung marina, di "stadium" kemudian patah balik menuju Taman Seri Empangan. Sempatlah bergambar beberapa ratus keping di mana-mana background yabg cantik. Hehehe!
Jambatan Seri Gemilang - Taman Wawasan Putrajaya
Kami daki semula ke Jambatan Seri Gemilang lalu turun menuju laluan sikal/kaki di bahagian belakang bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kayuhan seterusnya memang di sebelah tasik dan belakang kawasan perumahan.
Terus terang, saya cemburu dengan warga Putrajaya. Rumah-rumah dibina dengan konsep moden yang menarik, tanpa pagar dan tanpa ropol-ropol yang ketara. Lebih teratur. Tapi bukan itu yang membuatkan saya terpikat dengan kawasan perumahan ini.
Yang paling menggoda ialah laluan sikal atau jogging di sepanjang tepi tasik yang sangat bersih dan terjaga. Suasana yang sangat damai untuk tempat tinggal. Tak perlu bersusah payah berebut mencari parkir dan tapak untuk berehat seperti di kebanyakan taman di Kuala Lumpur. Keluar saja dari rumah, sudah boleh berehat tenang di bawah pokok rendang dan khayal ditiup angin tasik.
Saya kayuh perlahan, menikmati dan beranga-angan mahu memiliki sebuah rumah di sini. Berimpian itu percuma.
Sedar tak sedar, kami sampai semula ke Masjid Putra.
Masjid Putra - Masjid Besi - Kiosk Maggie Goreng
Hari semakin panas, perut sudah mula bergelora. Saya yang tak bersarapan pagi sudah mula terasa kepenatan berkayuh. Sudah hampir 4 jam saya membonceng basikal, dan cuaca panas menambahkan rasa penat.
Saya jadi teringat peristiwa pitam sewaktu berada di kilometer yang ke-28 acara Ultra Janda Baik 2017. Akibat kepenatan, cuaca panas dan kelaparan, saya tak mampu untuk meneruskan larian yang berbaki 2 km sebelum tamat. Terpaksalah saya diusung dengan ambulan mencipta sejarah peribadi, sambil hidung disumbat oksigen akibat kadar bacaan yang rendah.
Sedikit sebanyak, ada panic attack yang mula menyerang. Saya periksa nadi (HR) pada jam tangan, masih di bawah 140 iaitu tetapan maksima saya.
Melepasi Masjid Besi, saya mula memperlahankan kayuhan. Bayam sudah jauh di hadapan. Akhirnya saya nekad untuk berhenti kayuh, sebelum keadaan semakin melarat.
"Bayam, aku berhenti kat jambatan tak siap ni. Tak larat."
Mesej saya kepada anak muda Temerloh yang bersemangat itu.
Belum sempat lelah saya hilang, Bayam pun muncul. Kami ambil keputusan untuk tamatkan kayuhan, dan sebelum tu mahu singgah cari makan mengisi perut.
Entah kiosk mana, kami berhenti dan terus membuat pesanan Maggie goreng yang berminyak dan pedas (gaya khas tanah seberang) dan segelas air soya tin saya teguk.
Alhamdulillah.
Perlahan-lahan tenaga saya kembali pulih dan bersemangat untuk membuat satu kali lagi pusingan kayuhan keliling Putrajaya.
Kah kah kah!
Poyo!
Kami terus kembali ke kereta dan berkemas untuk pulang.
Foldie Di Putrajaya
Satu ketika sekitar 2013, Putrajaya memang jadi tempat kayuhan saya bersama rakan-rakan. Sekali kayuh, kami dapat jarak antara 40-50 kilometer. Kudrat dan semangat bukan calang-calang
Tahun 2021, MTB saya sudab menjadi tukun. Sudah berganti dengan foldie aka basikal lipat. Lebih kecil, lebih ringan dan lebih mesra warga emas.
Cuna kesilapan saya hari tu ialah tak bersarapan dengan betul (tak ada tenaga), cuaca pula panas dan persediaan agak kurang. Saya lebih banyak brisk walk berbanding kayuh.
Foldie bike sudah mantap. Memang tak memenatkan dan ringan. Kayuhan pun tak laju mana, sesuai untuk bersantai.
Lepas ni, kita kena rajin sikit bersedia. Tahun ni, paling jauh sekali kayuh jaraknya 22 km sahaja. Ehehe! Kita bagi improve sikit demi sikit.
Chaiyok!
0 Comments