Balik kampung bulan 12 (2020) yang lepas, kami sempat berpakat adik-beradik mahu ke Pulau Tuba. Dari tahun ke tahun merancang, tak menjadi juga. Akhirnya selepas hampir 20 tahun berulang-alik Gombak-Langkawi, saya menjejak kaki ke pulau kecil ini.
Kami seramai 9 orang ke sana dengan bot kecil dari jeti berhampiran Kuah. Cari saja Pekan Rabu, jeti untuk ke Pulau Tuba ada di situ. Harga per kepala sebanyak RM 5 untuk bot yang boleh memuatkan antara 15-20 orang. Bot agak selesa dan laju. Jaga-jaga dengan percikan air laut, takut belum sampai habis lencun baju.
Rempit
Perjalanan dengan bot tak ambil masa yang lama. Antara 15-20 minit. Ada beberapa perhentian sebelum sampai ke destinasi tujuan. Saya tak ingat perhentian ke berapa, tapi yang pasti jeti terakhir berhampiran jambatan yang menghubungkan dua pulau. Pulau Tuba di sebelah kiri (jeti), Pulau Dayang Bunting di sebelah kanan.
Sebaik sampai di jeti, ada deretan motor yang boleh disewa pengunjung. Saya, Hafiz dan uminya satu motor. Haris dengan Hanim, dan adik Hanis dengan Mak Longnya. Biras saya satu motor lagi bersama cucu. Cukup empat buah motor dengan kadar sewaan RM20 sehari (untuk satu motor).
Sebaik enjin menderum, tujuan pertama kami ialah mengisi minyak. Tak ada stesen minyak yang berjenama seperti yang biasa kita pergi, tapi yang ada hanya stesen minyak gaya kampung. Sempoi baq ang. Pandai-pandailah agak nak isi berapa banyak. Nak selamat, isi penuh.
OOTD
Bismillah. Kami memulakan perjalanan merempit keliling Pulau Tuba gaya santai. Tak ada helmet yang disediakan, jadi pandai-pandailah jaga keselamatan diri. Sepanjang hari kami di atas jalan, rasanya boleh dikira berapa biji kereta yang kami jumpa. Motor banyaklah, tapi jalan tetap lengang.
Tahi lembu atas jalan, bersepah juga. Hehehe!
Jadi ke mana hala kami di dalam pulau?
Sebenarnya tak ada pun tempat yang benar-benar khusus sebagai tarikan pelancong. Pulau Tuba memang hanya sebuah perkampungan dengan aktiviti harian yang biasa. Bersawah padi, aktiviti laut menangkap ikan. Bagi saya kalau mencari tarikan seperti Pulau Langkawi, memang tak ada. Tapi kalau mahu menikmati pemandangan dan kehidupan tanpa ropol, di sini mungkin boleh jumpa.
Ada beberapa pekan kecil untuk kita singgah, dan bila saya sebut kecil, memang kecil. Tidak ada bangunan bertingkat-tingkat atau pasaraya besar. Ala kadar. Memadai dengan jumlah penduduk di pulau.
Bosan?
Mungkin bosan bagi sesetengah orang, tapi bagi saya Pulau Tuba ada keseronokan tersendiri. Rasa aman damai dan tenteram. Rasa bebas. Kalau saya seorang diri, mungkin lebih lama saya luangkan masa di sini untuk merakam setiap sudut pulau.
Ada satu kawasan sawah padi yang sangat cantik bagi mata saya. Sayang musim padi sudah lepas, kalau ada tentu keindahannya lebih lagi. Kerbau yang bertanduk melengkung ke belakang cukup banyak, jadi seram sejuk juga untuk mendekat.
Kalau orang pandai ambil gambar landscape, ini memang syurga!
Mi Ketam & Mi Udang Tanjung Pandan
Penat merayau, kami singgah ke tepi pantai untuk menjamu selera. Nama lokasi ni Tanjung Pandan. Tak sesat punyalah. Menu yang popular katanya Mi Udang. Kami beramai-ramai buat pesanan; mi udang, mi ketam, nasi udang, nasi ketam. Untuk penganut gout, sila berhati-hati. Ubat jangan lupa. Ehehehe!
Rasanya, boleh tahan. Sesuai dengan perut yang sudah kelaparan, habis semua kami bedal. Yang seronoknya di sini lokasi kedai makan di tepi pantai. Boleh juga mandi-manda, tapi kami datang sehelai sepinggang semata-mata mahu melihat-lihat.
Saya sudah lupa berapa harga semangkuk mi sepinggan nasi, tapi di bawah saya kongsikan lokasinya kalau ada yang nak mencuba.
Pulau Dayang Bunting
Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting sebenarnya bersebelahan sahaja, ada jambatan yang menghubungkan antara dua pulau ni. Jadi selesai makan, kami menyeberang sekejap ke Pulau Dayang Bunting dengan motor kapcai yang sedia berkhidmat.
Jangan keliru ya. Memang ini Pulau Dayang Bunting yang terkenal tu tapi lokasi tujuan kami terletak di bahagian selatan pulau. Kalau mahu ke tasik Dayang Bunting tumpuan pelancongan tu, perlu ke bahagian utara. Tak ada jalan yang menghubungkan kedua-dua bahagian ini melainkan melalui hutan dan gunung-ganang. Rasanya lah.
Jadi kami pun sambung merempit dan jangan lepaskan peluang bergambar di atas jambatan. Oleh kerana lalu lintas di sini agak tenang, memang boleh saja bergambar sakan.
Pemandangannya menarik, dan saya yakin akan menjadi lebih cantik pada waktu matahari terbit apa lagi terbenam.
Kami terus saja ke Pulau Dayang Bunting melalui beberapa perkampungan di sepanjang pantai sampailah ke penghujung di chalet yang agak menarik.
Chalet The Best Noba.
Cantik juga. Luas kawasannya dengan chalet pelbagai warna dan rupa. Ada kolam renang di tengah-tengah untuk bersantai. Sayang sikit pantainya berselut, tak sesuai untuk berpiknik.
Pulang
Sampai masa, kami pun balik ke jeti. Motor kami pulangkan dan bot pun sampai mengikut jadual yang ditetapkan. Kami sampai di jeti Pekan Rabu dan singgah solat di masjid yang berhampiran.
Mahu datang lagi ke Pulau Tuba?
Entahlah. Mungkin satu hari nanti dengan cucu-cucu pula.
Wallahualam.
0 Comments