Semenjak tahu sempadan negeri sudah dibuka, Hafiz entah berapa kali buat permintaan untuk ke zoo. Kali terakhir kami ke Zoo Negara pada tahun 2018. Usia Hafiz baru 5 tahun waktu tu, jadi tak banyak lah yang dia ingat.
Zoo Negara ni pun, "masalah"nya luas sangat. Jenuh nak keliling dan kejar
waktu persembahan antara satu tempat ke tempat yang lain. Lagipun harga
tiket agak memeningkan poket. Kali terakhir kunjungan kami kalau tak silap
harganya sekitar RM49. Mahal gila! Harga tiket mendadak naik semenjak
Panda menjadi penghuni zoo ini. Tak berbaloi pun. Waktu kami ke sana,
beruang panda tidur belaka.
Zoo Melaka
Ahad, 14 November 2021. Selesai menghantar Hanis balik ke asrama, kami
memilih untuk bermalam di Melaka semata-mata untuk singgah ke Zoo Melaka.
Seawal pagi (jam 9) kami sudah terpacak di ruangan parkir (RM5) dan
kemudian beratur untuk tiket.
Seepppeeraaaiiisssss!
Harga tiket Zoo Melaka sewaktu kali terakhir kami ke sana kalau tak silap
saya RM12 (dewasa). Tahu berapa harganya kali ini?
RM38 untuk dewasa.
Pergh! Dah tak jauh dengan harga tiket Zoo Negara. Alang-alang sudah
sampai, hulur sajalah duit RM183 (ingat-ingat lupa) untuk kami 5
beranak.
Nyut nyut nyut!
Sebaik masuk, ada beberapa orang pekerja "memaksa" kita untuk ambil gambar
berlatarbelakangkan skrin hijau. Waktu balik nanti, gambar kita sekeluarga
akan dicetak (saiz A4) dengan sedikit editing dan juga ada
cenderamata dengan harga keseluruhan RM50.
Hoi!
RM50 untuk cenderamata yang modalnya saya rasa tak sampai separuh pun
daripada harga ditawarkan. Mungkin suku.
Yang ini saya tak faham sampai hari ini. Zaman sekarang, setakat
edit gambar dan goodies begitu boleh saja dibuat oleh
sesiapa dengan harga yang jauh lebih murah. Kenapa masih mahu menekan
harga? Entah daripada 20 pelawat, mungkin 2-3 orang saja yang membeli.
Rugi!
Atau sebenarnya mereka masih untung? Wallahualam.
Taman Arnab & Hamster
Tempat pertama persinggahan kami ialah taman arnab. Tak lah macam taman,
lebih kepada kandang kecil je. Heheh! Hanya Hafiz dan Hanim yang masuk,
dan sudah tentu saya juga untuk mengambil gambar dan video. Untuk masuk,
ada bayaran dikenakan. Bayaran ni termasuk dengan sebekas makanan untuk
diberi kepada arnab dan hamster di dalam kandang.
Masyukkk!
Pertunjukan Haiwan (Burung)
Jam 10.30 pagi, ada satu pertunjukan haiwan tak jauh dari pintu utama.
Persembahan burung, sebenarnya. Ada beberapa jenis haiwan lain juga.
Menarik, untuk kanak-kanak memang boleh bikin mereka teruja. Hafiz pun
seronok tengok persembahan burung-burung jinak yang pelbagai jenis.
Kawasan teater persembahan tak begitu besar, dan jumlah penonton waktu tu
pun tak begitu ramai. Agak selesa, cuma ada bahagian tertentu terdedah
pada sinaran matahari pagi jadi kurang selesa untuk penonton.
Pandai-pandailah memilih.
Tak lama pun persembahan ni, mungkin sekitar 30 minit. Kalau terlepas, ada
sesi ulangan pada sebelah petang.
Taman Dinasour
Besebelahan dengan pentas pertunjukan haiwan ni ada tarikan baru untuk
pengunjung Zoo Melaka. Dan rasanya inilah punca utama harga tiket masuk
zoo ini naik mendadak.
Dinasour memang banyak. Segala mak nenek jenis ada, sampai nama pun saya
dah tak tahu. Yang menjulang tinggi leher sampai ke awan, yang gemuk, yang
kembang, yang mata buntang, semuanya ada. Waktu siang beranilah nak selfie
bagai, kalau waktu malam haihh.. mengucap panjang.
Ada banyak laluan di dalam taman ni, saya pilih menyusur titi di dalam
kawasan hutan kecil. Nak mengelakkan panas sebenarnya. Tapi tu lah,
sekejap-sekejap terkejut nampak dinasour sembunyi balik pokok.
Tanjat boboi.
Lagi buat terkejut, ada pula biawak melingkar bawah titi. Dia pun terkejut
sama, lintang-pukang lari susup sasap entah ke mana.
Kalau ke sini, siap sedialah dengan payung atau topi. Panas. Anak-anak
jadi meragam.
Anak-anak meraung tak nak masuk pun ya juga. Hahaha! Habis semua pakat
takut nampak dinasour mulut menganga uuu aaaa uuu aaa nak makan budak!
Gerai Jualan Dan Aktiviti Lain
Selesai di taman dinasour, kami pun keluar untuk berjalan keliling zoo.
Kalau tak larat, boleh naik tram dengan kadar bayaran tertentu. Hafiz
merengek juga minta naik tram, tapi saya tak layan. Kalau naik tram, apa
maknanya pergi zoo setakat tengok haiwan dari jauh. Baik tengok di
tv.
Satu yang saya perasan kali ni lebih banyak gerai jualan yang beroperasi
dalam kawasan zoo. Sediakan saja duit, terutamanya nak membodek anak yang
dah mula meragam tak nak berjalan. Heh! Harga masih boleh diterima.
Ada juga aktiviti sampingan seperti meniti antara pokok ke pokok
menggunakan jejantas tali, kemudian bergayut (abseiling?) ke pokok yang
lain. Menarik, tapi tak berani cuba sebab gayat. Heh!
Oh, kali ni juga kami berpeluang tengok sesi beri makan kepada pak belang
dan singa dalam kandang. Pekerja zoo akan menerangkan serba sedikit
tentang harimau yang sudah agak berusia, sambil tangan lincah membaling
makanan tengah hari dari luar kandang. Bukan budak-budak je suka, mak pak
budak pun sakan.
Saya rasa di situ saja bahagian yang menyeronokkan di dalam zoo ni.
Bermula dari pintu masuk sampailah ke bahagian kandang harimau, ada banyak
yang boleh dilihat. Separuh perjalanan kedua sedikit membosankan, lebih
banyak haiwan bersaiz kecil di sini (seperti burung).
Sebelum balik menuju tempat permulaan, mungkin boleh singgah dulu di
kandang gajah tengok binatang besar ini tergeleng-geleng kepala minta
disuapkan makan. Pengunjung boleh beli makanan gajah di tepi kandang dan
suapkan terus ke mulut (belalai) gajah.
Kami keluar selepas hampir 3 jam berada dalam zoo ni. Di luar zoo, ada
deretan kedai menjual pelbagai jenis cendera mata dan makanan. Boleh lah
cari untuk alas perut.
Zoo Melaka memang pilihan utama saya antara zoo yang pernah saya kunjungi
sebelum ni. Saya pernah ke Zoo Taiping sekali, nak juga cuba sekali lagi.
Insya-allah, satu hari nanti.
Dengan Hafiz.
Atau cucu.
Hahahah!
0 Comments