Ya. Kami.
Saya dan keluarga.
Semenjak berumahtangga apatah lagi sesudah mempunyai anak, Titiwangsa sudah menjadi kunjungan kami yang paling kerap. Sama ada pagi, mahupun petang. Kadang-kadang, tengah hari pun kami ke tasik di tengah kota ini.
Kalau tak keterlaluan, Titiwangsa ini boleh lah dikatakan sebagai Central Park di New York sana.
Amboi!
Perbandingan yang tak tahu kalah.
:)
Selepas Jerebu
Malaysia seperti yang semua sudah sedia maklum, kelemasan dengan asap jerebu selama beberapa minggu. Dan seminggu kebelakangan ini, asap jerebu sudah menghilang dan langit biru sudah mula terhampar luas.Setiap hari sebelum bergerak ke pejabat, saya luangkan masa seketika untuk menikmati keindahan alam yang tinggi mengawan ini. Birunya yang sebenar-sebenar biru. Geram betul! Dan rupanya isteri kesayangan saya juga begitu.
"Bang, hujung minggu ni kita pergi Tasik Titiwangsa jom. Geram tengok cuaca cantik macam ni"
Jadi!
Maka Sabtu lepas, kami ke Tasik Titiwangsa lagi. Sebenarnya, kunjungan ini agak jauh juga jarak masa dengan kunjungan sebelum ini. Jadi, ada juga perubahan-perubahan kecil yang berlaku. Misalnya, ruangan parkir sudah berbayar! Entah siapalah punya musibat yang mencadangkan idea ini. Tasik awam dan parkir yang selama ini percuma, sudah mula dikenakan bayaran. Satu jam RM2. Mahal oi! Orang kalau ke sana, takkan lah satu jam sahaja? Sekurang-kurangnya dua jam.
Mengarut!
Mahu tidak mahu, kami parkirkan juga. Sudah sampai. Takkan mahu pulang semula. Sangat ketara perbezaannya ruangan parkir ini berbanding satu ketika dahulu. Lengang!
Lari
Sementara anak-anak dan isteri saya ke taman permainan, saya buat pertama kali berjogging sekitar tasik ini. Selama ini hanya melihat, kali ini mahu merasa sendiri. Satu pusingan lengkap, boleh mendapat jarak sejauh 2.5 kilometer.Cuma bila berlari di kawasan awam, banyak lah perkara yang perlu disabarkan. Misalnya, gerombolan yang melenggang-kangkung di laluan larian. Kalau lima ahli keluarganya, maka kelima-limanya akan berjalan beriringan mengepung jalan. Ataupun, motosikal yang di parkir sesuka hati, juga menghalang laluan. Ataupun, halangan berbentuk ancaman bauan minyak wangi setengah tong oleh mereka-mereka yang keliru dengan tujuan sebenar ke taman rekreasi. Belum lagi disebut pencandu-pencandu asap yang meniup kepul-kepul asap rokok dan vape, ibarat kerinduan yang tertanggung dengan musim jerebu yang baru berlalu.
Itulah, hidup di dalam masyarakat yang hanya memikirkan selera sendiri.
Mungkin, tidak adil pula jika aku mahu membandingkan dengan Central Park di New York itu.
Nikmat
Entah lah. Memikirkan kelakuan manusia ini boleh membikin jiwa berdenyut sakit. Abaikan lah dahulu. Hirup sahaja udara segar di mana termampu. Cuci mata dengan pemandangan langit biru yang sangat menawan.Tunggu ya, kami datang lagi.
0 Comments