Hari kedua kami di Langkawi, acara wajib balik kampung ialah mandi laut. Memang dah menjadi "benchmark" yang tinggi untuk kami anak-beranak, tak ada pantai lain yang lebih menarik untuk berkelah di tanah Semenanjung ini melainkan Pantai Pasir Tengkorak.
Daripada anak seorang sampailah empat, tak pernah jemu kami menikmati suasana pantai yang sangat menenangkan ini. Kalau kena pada hari dan musim, warna biru laut bergabung dengan langit dan pasir putih yang bersih.
Asyik.
Boi, pantai di negara kita pun banyak yang cantik. Pantai Pasir Tengkorak salah satu daripadanya.
Pagi tu seawal jam 8.00 pagi kami dah sampai ke sana. Tentulah, menjadi orang terawal (kami keluarga kedua) membolehkan kita memilih tempat untuk menghamparkan tikar.
Kui!
Tikar apa benda, tak bawa satu pun. Sudahnya lapik dengan plastik.
Ada juga masalah lain kalau datang awal ni. Beruk datang mengganggu dan puak ni tak ada rasa segan silu datang merapat untuk merampas barang yang ada. Jadi jaga-jagalah, ya.
Dari jam 8 sampai jam 12, kami berkubang di laut Andaman yang permai. Sempat juga merayau ke hujung pantai, mencari siput "tukui" yang melekat pada batu. Cik Milah saya sempat menunjuk demo macam mana mencari siput ni dan makan terus mentah-mentah.
Huuu!
Perut Gombak saya perut manja, memang tak lah nak makan siput tu terus tanpa dimasak.
Seronok berkelah di sini. Kalau saya tengok pada gambar-gambar lama, paling baik datang ketika musim angin timur datang, selepas tengkujuh. Waktu panas terik di tanah utara Malaysia. Memang birunya memukau. Cubalah.
Video Pantai Pasir Tengkorak
Ini ada video pendek saya (dan isteri) mencari siput tukui di pantai ini, dirakam menggunakan insta360 One X2. Baru belajar, tak pandai sangat lagi.
0 Comments