Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu

"Lagi 5 minit je lagi nak sampai."

Saya bersuara dengan hidung kembang-kempis, disambut tawa rakan-rakan yang lain. Mungkin serangga-serangga kecil yang sedang lena tidur dalam kesejukan malam di hutan Maragang terganggu dengan hingar kami berlima; saya, Zafiran, Hambal, Shamrie dan Izal.

Sebenarnya saya cuba berlawak dengan lelucon yang difahami di kalangan pendaki, iaitu cubaan untuk menghiburkan diri sendiri. Ayat "5 minit lagi" memang mantra yang biasa digunakan untuk memujuk mereka yang sudah pewai. Ya, saya hampir pewai. Mendaki Maragang tidak mudah seperti jangkaan awal. Melalui bacaan di internet dan tontonan video di Youtube, katanya trek ini mudah. Tak ada masalah untuk beginner.

Saya bukan beginner

Entah berapa buah gunung sudah saya tawan. Angsi, Datuk, Pine Tree, Bukit Kutu, GAP Gus, Berembun sudah pun menyaksikan kehadiran saya di puncak. Jadi mendaki Maragang yang berjarak 1.7 km sehala bukanlah masalah.

Sepatutnya begitu.

Mana tahu selepas beberapa ratus meter bermula, heart rate (HR) saya terus mencanak menghampiri garis maksimum. 150, 160 dan paling tinggi 170. Saya atur langkah lebih kecil dan perlahan, agar HR tidak terus menaik. Tapi hanya bertahan selepas 20 langkah, kemudian bacaan naik semula.

Sudahnya, saya banyak berhenti.

"Takpe, korang jalan dulu. Aku slow. Izal ada temankan."

Saya sedar diri. Saya tak mampu untuk mengikut pace kawan-kawan yang laju. Saya silap perkiraan. Ya, saya memang bukan beginner dalam hal mendaki. Tapi kali terakhir saya melakukan aktiviti ini mungkin sekitar 3-4 tahun yang lepas.

Walaupun saya sudah buat persediaan awal, nampak gaya masih belum cukup. Maragang bukan bukit biasa.

"Sorry Izal, saya lambat."

Entah berapa kali saya minta maaf pada Izal, anak Mesilou masih muda berumur 28 tahun yang menjadi guide kami. Saya tak dengar apa-apa balasan daripada Izal. Sama ada kata-kata saya perlahan sangat ditenggelami sejuk Maragang, atau Izal malas mahu melayan. Saya pilih alasan yang pertama.

Waktu ini segala macam penyesalan pun terbit. Saya mencari alasan kenapa saya begitu pewai. Salah satunya udah tentu disebabkan latihan yang kurang. Trek pula tak mudah seperti yang dicanang, hampir 90% mendaki tanpa dataran landai. Rehat pun kurang. Sepanjang malam sebelum mendaki saya sukar melelapkan mata, jam 1.45 pagi sudah bangun untuk bersiap.

Dan saya gemuk. Ya, itu jangan dinafikan. Berat badan berlebihan memang menyebabkan saya lebih cepat penat.

Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Bergambar di tapak permulaan selepas selesai mendaki


Pelan-pelan Kayuh

Setapak demi setapak saya teruskan langkah. Biarlah berapa kali berehat pun, saya tak mahu memudaratkan diri. Saya yakin saya boleh. Takkan saya nak menyerah?

Papan tanda jarak memunculkan diri dalam kelam malam. Sudah 500 meter. Sudah 1 km. Lagi 300 meter saja. Dan perlahan-lahan saya mula mendengar sayup suara-suara manusia yang sedang berbual. Barangkali ini tapak perkhemahan. Sedar tak sedar saya semakin hampir ke penghujung penyeksaan.

Alhamdulillah.

1 1/4 jam (atau kurang, sebab saya lupa tutup jam), akhirnya saya sampai ke puncak. Saya tak perasan pun sebenarnya, sehinggalah saya ditegur Hambal yang sudah lama sampai. Senyum pun terukir dalam kelam pagi. Lega.

Saya mendongak menghela nafas. Nun, bintang-bintang penuh bertaburan di langit seluas mata memandang. Saya terpukau dengan keindahan alam yang terbentang di hadapan mata. Ya, hari masih gelap di darat, namun cahaya bintang yang beribu memeriahi langit dengan ceria.

Masya-allah. 

Saya hilang kata-kata.

Jam 5.24 pagi, kami membentang sejadah di atas pelantar Maragang. Tangan ditadah, melafazkan syukur yang tak terhingga di atas peluang yang dinikmati pagi itu.

Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Suasana subuh di puncak Maragang, sebelum matahari terbit


Matahari Terbit Bukit Maragang

Jam menunjukkan hampir 6 pagi. Beberapa ruang di atas pelantar puncak bukit Maragang sudah dipenuhi dengan pendaki-pendaki lain. Masing-masing mahu merakamkan saat yang dinanti; matahari terbit.

Pakej yang kami ambil dinamakan "Sunrise Normal Trail". Misinya mahu mengejar matahari terbit, dan sesungguhnya misi kami berjaya pagi itu. Perlahan-lahan sinar matahari dari timur mula menerangi tanah Kundasang, bercampur aduk warna jingga dan biru langit. Ada pula bentangan awan berkepul-kepul yang melatari pemandangan.

Saya terpempan.

Melihat pemandangan seindah begini dengan mata sendiri benar-benar pengalaman yang tak ada tolok bandingnya. Kami berada di atas puncak bukit, betul-betul bersebelahan dengan Gunung Kinabalu yang gagah. Itu saja sudah bikin hati berzikir kagum. Ditambah lagi dengan persembahan alam yang penuh magis di sebelah timur, matahari perlahan-lahan memulakan tugasnya yang rutin.

Terik cahaya dan udara sejuk di ketinggian 2232 meter, bergabung dengan perasaan yang mula bersentimental. Entah berapa keping gambar dan video saya rakamkan kerana saya benar-benar mahu saat ini menjadi kenangan yang agung.

Maragang Hill. Atau Bukit Maragang dalam bahasa kita, dinamakan bersempena sejenis monyet yang berwarna merah menjadi penghuni bukit ini. Kelibatnya susah mahu dilihat, sejenis pemalu dan menghindarkan diri dari keramaian.

Untunglah kau, sang maragang. Keindahan habitat kau yang khusus begini semoga kekal terjaga selama-lamanya.

Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu


Turun

Jam 7 pagi kami pun memulakan langkah menuruni Maragang. Saya sebenarnya masih belum puas, tapi tetap perlu memulakan langkah untuk memberi ruang kepada kumpulan baru yang bakal tiba. Ada dua slot waktu untuk mendaki. Sunrise Trail bermula jam 3 pagi. Slot kedua bermula jam 6 pagi. Ingat ya, 6 pagi di sana cuaca sudah cerah seperti jam 7 pagi di Semenanjung.

Tidak banyak masalah menuruni Maragang, cuma kali ni barulah saya dapat nikmati pemandangan sebenar. Melihat cahaya matahari menyuluh masuk melalui celah-celah pokok renek menerangi lantai Maragang, rindu saya pada aktiviti mendaki pun terubat. Ini lah suasana yang saya suka dan benar-benar nikmati setiap kali masuk ke dalam hutan. Baunya, lecaknya, panas dan dinginnya, dan tentulah pemandangan yang diibaratkan dunia fantasi bagi seorang Sharulnizam.

45 minit saya tetap beriringan dengan kawan-kawan sampailah ke bawah. Tapi biasalah, saya tak akan lepaskan peluang untuk merakamkan kenangan baik gambar ataupun video. Kadang-kadang terkebelakang juga, dan saya tetap saja mengambil masa untuk diri sendiri. Bukan selalu dapat datang. Tapi ye lah, berpada-pada jugalah. Kena ingat juga rakan-rakan sekumpulan yang lain.

Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu


Trak 'Hailak'

Sebaik 'mendarat', kami tak berlama-lama membuang masa. Terus saja panjat ke belakang kereta pacuan empat roda aka hailak (kata nama khas Hilux yang dijadikan kata am merujuk kepada kereta pacuan empat roda), dan kami menuruni Maragang untuk kembali ke checkpoint permulaan di Kampung Mesilou. Di atas trak ini satu lagi kenangan terbaik. Sambil berborak-borak mengenang pengalaman mendaki Bukit Maragang, biru langit Kundasang menyerlahkan kegagahan Gunung Kinabalu yang melihat kami pulang.

Lensa kamera tak pernah padam.

Kami sampai jam 8.00 pagi. Oleh kerana kami mengambil pakej bersekali dengan sijil, ada lah sekejap majlis penyerahan sijil sebelum bersurai. Errr... sijil kena bayar, ya. RM5 per kepala.

Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu


Mendaki Maragang Hill

Saya kongsikan di sini secara ringkas keseluruhan proses/persediaan untuk mendaki Bukit Maragang ini.
  1. Buat pendaftaran melalui laman web https://maraganghill.com.my/ dan pilih pakej serta tarikh yang dikehendaki. Cadangan saya, ambillah pakej Sunrise.
  2. Untuk booking, hanya RM30 yang dikenakan. Baki perlu dijelaskan pada hari pendakian. Harga bergantung kepada jumlah penyertaan dan jenis trek yang dipilih. Tambahan RM5 (seorang) jika mahukan sijil.
  3. Tempahan adalah secara berkumpulan yakni antara 4-5 orang. Setiap kumpulan akan diiringi oleh seorang guide. Walaupun kita pendaki berpengalaman, ikutlah pakej ini kerana pendakian Maragang adalah satu industri pelancongan yang dibangunkan sendiri oleh komuniti Mesilou. Kita sokong ekonomi tempatan, ok?
  4. Untuk pakej Sunrise, sila berkumpul di tapak permulaan sebelum jam 3 pagi. Cukup saja anggota kumpulan, gerak! Naik trak 'hailak'. Oh, jangan lupa isi perut dulu (kalau perlu). 
  5. Pakai pakaian yang bersesuaian. Windbreaker memang terbaik. Cuaca memang sejuk. Semasa masih di bawah (Kg Mesilou), cuaca mencecah 16 C. Di puncak Maragang, suhunya turun sehingga 8 C (berdasarkan status jam kawan). Wallahualam.
  6. Berwuduk siap-siap, kalau boleh jaga wuduk lah. Kalau jenis selalu pakai 'brek angin', bawa botol air/spray wuduk. Dan juga sejadah. Waktu subuh di sana jam 5.20 pagi (30 Jan 2022). Memang ada waktu yang cukup antara waktu tiba ke puncak dan terbit matahari. Solat jangan tinggal, ya. Kata nak menikmati keindahan alam. Kenalah bersyukur dan akur dengan Yang Maha Menguasai alam.
  7. Trek kami trek normal. Satu hala lebih kurang 1.7 km. Ambil masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Untuk jejaka lebih muatan macam saya, lebih kurang 1 jam 15 minit. Pancit!
  8. Kamera jangan lupa. Sebelum matahari timbul, boleh tengok bintang-bintang yang bertaburan penuh di langit Kundasang. Kemudian matahari timbul, lagi lah pemandangan cantik. Nampak pula puncak Kinabalu, memang keohseman berganda!
  9. Beri peluang untuk orang lain juga untuk bergambat di spot yang menarik. Pendaki yang hensem/lawa tak akan pentingkan Instagram sendiri saja. 
  10. Waktu turun dari Maragang, nikmati juga pemandangan pagi dalam hutan. Memang cantik.
  11. Naik trak sewaktu balik, duduk di bahagian belakang beramai-ramai. Ada rezeki cuaca cerah, boleh nampak Gunung Kinabalu melambai kita supaya datang lagi.
Maragang Hill Sunrise Attack; Pengalaman Melihat 1001 Bintang, Matahari Terbit Dan Gunung Kinabalu


Datang lagi?

Insya-allah. Saya mahu datang lagi kalau diberi kesempatan. Masalahnya, banyak lagi lokasi menarik yang ada di sekitar Kundasang. Ya, Kundasang. Saya tak sebut Sabah. Kundasang sendiri terlalu banyak tarikan untuk penggemar alam semula jadi.

Boleh tonton video saya di bawah ni, mana tahu kawan-kawan pun boleh jadi angau macam saya. Dah dua minggu berlalu, masih belum boleh move-on. Adoi!





########
Dapatkan perkongsian terkini hal-hal berkaitan travel di saluran;

Blog Sharulnizam Mohamed Yusof (https://www.sharulnizam.com/)
Telegram Tavelog Angkel Rul (https://t.me/travelogAngkelRul)
Youtube Travelog Angkel Rul (https://www.youtube.com/c/SharulnizamMohamedYusof)






Reactions

Post a Comment

0 Comments