"Lagi 5 minit je lagi nak sampai."
Saya bersuara dengan hidung kembang-kempis, disambut tawa rakan-rakan yang lain. Mungkin serangga-serangga kecil yang sedang lena tidur dalam kesejukan malam di hutan Maragang terganggu dengan hingar kami berlima; saya, Zafiran, Hambal, Shamrie dan Izal.
Sebenarnya saya cuba berlawak dengan lelucon yang difahami di kalangan pendaki, iaitu cubaan untuk menghiburkan diri sendiri. Ayat "5 minit lagi" memang mantra yang biasa digunakan untuk memujuk mereka yang sudah pewai. Ya, saya hampir pewai. Mendaki Maragang tidak mudah seperti jangkaan awal. Melalui bacaan di internet dan tontonan video di Youtube, katanya trek ini mudah. Tak ada masalah untuk beginner.
Saya bukan beginner.
Entah berapa buah gunung sudah saya tawan. Angsi, Datuk, Pine Tree, Bukit Kutu, GAP Gus, Berembun sudah pun menyaksikan kehadiran saya di puncak. Jadi mendaki Maragang yang berjarak 1.7 km sehala bukanlah masalah.
Sepatutnya begitu.
Mana tahu selepas beberapa ratus meter bermula, heart rate (HR) saya terus mencanak menghampiri garis maksimum. 150, 160 dan paling tinggi 170. Saya atur langkah lebih kecil dan perlahan, agar HR tidak terus menaik. Tapi hanya bertahan selepas 20 langkah, kemudian bacaan naik semula.
Sudahnya, saya banyak berhenti.
"Takpe, korang jalan dulu. Aku slow. Izal ada temankan."
Saya sedar diri. Saya tak mampu untuk mengikut pace kawan-kawan yang laju. Saya silap perkiraan. Ya, saya memang bukan beginner dalam hal mendaki. Tapi kali terakhir saya melakukan aktiviti ini mungkin sekitar 3-4 tahun yang lepas.
Walaupun saya sudah buat persediaan awal, nampak gaya masih belum cukup. Maragang bukan bukit biasa.
"Sorry Izal, saya lambat."
Entah berapa kali saya minta maaf pada Izal, anak Mesilou masih muda berumur 28 tahun yang menjadi guide kami. Saya tak dengar apa-apa balasan daripada Izal. Sama ada kata-kata saya perlahan sangat ditenggelami sejuk Maragang, atau Izal malas mahu melayan. Saya pilih alasan yang pertama.
Waktu ini segala macam penyesalan pun terbit. Saya mencari alasan kenapa saya begitu pewai. Salah satunya udah tentu disebabkan latihan yang kurang. Trek pula tak mudah seperti yang dicanang, hampir 90% mendaki tanpa dataran landai. Rehat pun kurang. Sepanjang malam sebelum mendaki saya sukar melelapkan mata, jam 1.45 pagi sudah bangun untuk bersiap.
Dan saya gemuk. Ya, itu jangan dinafikan. Berat badan berlebihan memang menyebabkan saya lebih cepat penat.
Pelan-pelan Kayuh
Setapak demi setapak saya teruskan langkah. Biarlah berapa kali berehat pun, saya tak mahu memudaratkan diri. Saya yakin saya boleh. Takkan saya nak menyerah?
Papan tanda jarak memunculkan diri dalam kelam malam. Sudah 500 meter. Sudah 1 km. Lagi 300 meter saja. Dan perlahan-lahan saya mula mendengar sayup suara-suara manusia yang sedang berbual. Barangkali ini tapak perkhemahan. Sedar tak sedar saya semakin hampir ke penghujung penyeksaan.
Alhamdulillah.
1 1/4 jam (atau kurang, sebab saya lupa tutup jam), akhirnya saya sampai ke puncak. Saya tak perasan pun sebenarnya, sehinggalah saya ditegur Hambal yang sudah lama sampai. Senyum pun terukir dalam kelam pagi. Lega.
Saya mendongak menghela nafas. Nun, bintang-bintang penuh bertaburan di langit seluas mata memandang. Saya terpukau dengan keindahan alam yang terbentang di hadapan mata. Ya, hari masih gelap di darat, namun cahaya bintang yang beribu memeriahi langit dengan ceria.
Masya-allah.Matahari Terbit Bukit Maragang
Turun
Trak 'Hailak'
Mendaki Maragang Hill
- Buat pendaftaran melalui laman web https://maraganghill.com.my/ dan pilih pakej serta tarikh yang dikehendaki. Cadangan saya, ambillah pakej Sunrise.
- Untuk booking, hanya RM30 yang dikenakan. Baki perlu dijelaskan pada hari pendakian. Harga bergantung kepada jumlah penyertaan dan jenis trek yang dipilih. Tambahan RM5 (seorang) jika mahukan sijil.
- Tempahan adalah secara berkumpulan yakni antara 4-5 orang. Setiap kumpulan akan diiringi oleh seorang guide. Walaupun kita pendaki berpengalaman, ikutlah pakej ini kerana pendakian Maragang adalah satu industri pelancongan yang dibangunkan sendiri oleh komuniti Mesilou. Kita sokong ekonomi tempatan, ok?
- Untuk pakej Sunrise, sila berkumpul di tapak permulaan sebelum jam 3 pagi. Cukup saja anggota kumpulan, gerak! Naik trak 'hailak'. Oh, jangan lupa isi perut dulu (kalau perlu).
- Pakai pakaian yang bersesuaian. Windbreaker memang terbaik. Cuaca memang sejuk. Semasa masih di bawah (Kg Mesilou), cuaca mencecah 16 C. Di puncak Maragang, suhunya turun sehingga 8 C (berdasarkan status jam kawan). Wallahualam.
- Berwuduk siap-siap, kalau boleh jaga wuduk lah. Kalau jenis selalu pakai 'brek angin', bawa botol air/spray wuduk. Dan juga sejadah. Waktu subuh di sana jam 5.20 pagi (30 Jan 2022). Memang ada waktu yang cukup antara waktu tiba ke puncak dan terbit matahari. Solat jangan tinggal, ya. Kata nak menikmati keindahan alam. Kenalah bersyukur dan akur dengan Yang Maha Menguasai alam.
- Trek kami trek normal. Satu hala lebih kurang 1.7 km. Ambil masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Untuk jejaka lebih muatan macam saya, lebih kurang 1 jam 15 minit. Pancit!
- Kamera jangan lupa. Sebelum matahari timbul, boleh tengok bintang-bintang yang bertaburan penuh di langit Kundasang. Kemudian matahari timbul, lagi lah pemandangan cantik. Nampak pula puncak Kinabalu, memang keohseman berganda!
- Beri peluang untuk orang lain juga untuk bergambat di spot yang menarik. Pendaki yang hensem/lawa tak akan pentingkan Instagram sendiri saja.
- Waktu turun dari Maragang, nikmati juga pemandangan pagi dalam hutan. Memang cantik.
- Naik trak sewaktu balik, duduk di bahagian belakang beramai-ramai. Ada rezeki cuaca cerah, boleh nampak Gunung Kinabalu melambai kita supaya datang lagi.
Datang lagi?
Dapatkan perkongsian terkini hal-hal berkaitan travel di saluran;
Blog Sharulnizam Mohamed Yusof (https://www.sharulnizam.com/)
Telegram Tavelog Angkel Rul (https://t.me/travelogAngkelRul)
Youtube Travelog Angkel Rul (https://www.youtube.com/c/SharulnizamMohamedYusof)
0 Comments