Tagal adalah bahasa KadazanDusun yang bermaksud "jangan". Dalam konteks "tagal sungai moroli", mengikut pemahaman saya ini merujuk kepada arahan "jangan menangkap ikan" di dalam sungai. Melalui pembacaan di Wikipedia;
- Tagal atau bombon ialah sistem pengurusan sumber asli tradisional yang mapan terutamanya bagi sumber hidupan akuatik sungai di Sabah, Malaysia.
- Ikan di sungai yang ditagal atau dibombon tidak boleh ditangkap atas persetujuan masyarakat pelaksana.
- Melalui sistem ini, penggunaan sumber semula jadi dihadkan untuk pemuliharaan dan bagi memastikan kewujudan sumber tersebut berterusan untuk generasi akan datang.
- Sistem tagal diurus dan dipantau oleh Jabatan Perikanan Sabah (DOF).
- Tujuan sistem ini adalah untuk mengatasi masalah kekurangan sumber ikan air tawar dan mengelakkan pencemaran sungai selain menjana pendapatan masyarakat.
- Sistem ini juga memberi manfaat kepada industri pelancongan di Sabah.
- Pada tahun 2009, 240 sungai di Sabah telah ditagalkan.
Bagusnya!
Satu cara untuk melestarikan alam yang baik. Saya suka dengan idea begini. Dan ikan-ikan ini bukanlah selamanya tak boleh ditangkap. Hanya pada musim-musim tertentu, siap ada pesta lagi.
Apa akan jadi kalau menangkap ikan di luar musim?
“Kami menetapkan peraturan, sesiapa yang didapati menangkap ikan akan dikenakan denda seekor kerbau untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua, pesalah akan dirujuk ke Mahkamah Anak Negeri kerana tidak menghormati semangat Tagal,” katanya ketika ditemui di sini. (Sumber; Berita Harian)
Hah? Sanggup?
Tagal Sungai Morali Kampung Luanti, Ranau
30 Januari 2022, hari kedua di Kundasang. Kami selesai mendaki Maragang Hill dan kembali semula ke homestay Sakura Villa tepat jam 8.00 pagi. Selepas sarapan, terus saja kami menuju ke Ranau untuk bermain dengan ikan di Tagal Sungai Morali Kampung Luanti.
Tahun 2016, saya sudah pernah ke sini bersama keluarga. Tahun 2022, keadaannya masih sama tak banyak berbeza. Kecuali tempat membeli tiket yang agak jauh, yang lain-lain begitu juga. Banyak lagi tagal yang ada di sekitar Ranau, tapi yang ini lah antara yang popular dan mudah dicari.
Untuk menambah adventure, beli paket-paket makanan yang dijual di kaunter dan boleh cuba suakan sendiri ke mulut ikan. Memang menjerit lah. Geli pun ya, sakit pun ya. Ikannya bukan besar ikan bilis. Dah besar, memang sedap kalau buat bakar.
Eheh!
Paling seronok kalau ada budak-budak. Tapi kalau ada bapak budak-budak je, meriah juga.
Video Bermain Ikan Di Tagal Sungai Morali Kampung Luanti
Tiket Masuk & Waktu Operasi Tagal Sungai Morali Kampung Luanti
Dewasa RM5.00
Kanak-kanak RM2.00
Untuk "mandi bersama ikan", RM10.00
0 Comments