Puasa & Raya Dulu-dulu #3 | Moreh

"Assalamualaikum wbt."

"Wa'alaikumussalam. Eh, anak pak Usop. Nak ambik barang ya?"

"Ha'ah!"

"Jap eh. Mak! Ni ha orang surau dah sampai nak ambik makanan."

Dan kami pun beramai-ramai menjinjing barang sorang sedikit dari rumah penyumbang juadah moreh, menuju ke surau.

Begitulah rutin kami setiap malam di bulan Ramadan. Sebaik selesai solat Maghrib, kami beramai-ramai menuju ke rumah yang sudah ditetapkan dalam jadual. Ahli khariah surau belaka, cuma kena tahu rumah yang nama satu. Maklumlah, nama yang tercatat dalam borang dan papan putih surau tak sama dengan nama panggilan.

Kami diupah sebenarnya. Tak ingat berapa, mungkin satu malam RM1. Murah kan? Tapi RM1 itu sangat besar nilainya tahun 80/90-an. Apa lagi, duit upah ini datang dari keringat peluh sendiri.


Moreh

Moreh waktu itu tak sama dengan moreh hari ni. Apa lagi kalau nak dibandingkan dengan moreh zaman PKP. Moreh waktu dulu, tak ditetapkan berapa harganya. Cukup hanya dikatakan, masaklah untuk 20-30 orang.

Siapa yang masak?

Seperti yang saya katakan awal tadi, orang kampung juga. Ahli khariah surau. Pandai-pandailah berebut cari giliran. Selalunya 10 malam terakhir cepat saja penuh ditempah orang. Maklumlah, mencari keberkatan Lailatul Qadr. Malam pertama pula selalunya pihak surau sendiri yang menyediakan juadah.

Menunya pelbagai. Ada mi kari, ada bubur, ada kuih-muih yang sangat kaya tak bersukat. Orang benar-benar masak seikhlasnya untuk menjamu orang makan.

Tugas kami pula lebih kurang seperti kerja penanggah atau orang rewang semasa majlis kenduri. Juadah yang kami bawa ke surau, dihidangkan di dalam piring. Yang berkuah, tentulah di dalam mangkuk. Kemudian setiap hidangan disusun dalam dulang ayan berwarna merah dan biru. Kendi juga siap diisi air dari kolah surau.

Waktu imam sudah memulakan witir, hidangan pun mula disusun di belakang surau. Kain saprah dibentang terlebih dahulu, takut lantai surau bersepah dengan sisa makanan. Untuk bahagian perempuan, kami hulur saja dari balik pintu. Pandai-pandailah jemaah kaum ibu menyusun.

Bismillah.

Jemaah mula menjamah sambil bersembang. Terngiang-ngiang suara mereka yang mesra, terutamanya kaum bapa. Lenggok bahasa minang menguasai perbualan. Kampung saya memang majoriti orang minang yang datang merantau. Ada juga memasang telinga mendengar topik perbualan, namun selalunya saya bukan hiraukan sangat.

Aduhai. Saya jadi rindu mahu melihat suasana itu. Muka-muka yang saya kenali terbayang-bayang di ruangan mata. Ramai yang sudah meninggal dunia, hanya segelintir yang masih ada. Itupun hari ini sudah tak mampu ke surau disebabkan faktor usia dan kesihatan.

Allahuakbar. 

Semoga mereka yang pernah meraikan Ramadan di surau Al Khairiah ini diberikan kebahagiaan dunia akhirat.

Malam semakin larut, dan kami bersegera membasuh pinggan mangkuk sebelum masing-masing beredar ke rumah.

Esok, masih ada juadah yang perlu kami hidangkan.

Puasa & Raya Dulu-dulu #3 | Moreh
Dulang Legend (Sumber gambar; https://m.facebook.com/aryueshop)






Reactions

Post a Comment

0 Comments