1/
Buku setebal 468 muka surat ini adalah edisi terjemahan terbitan Jejak
Tarbiah. Terjemahan yang baik. Ada juga dua tiga ayat yang sedikit ganjil dan
kesalahan ejaan, tapi tak mencacatkan pembacaan secara keseluruhan. Gaya
penceritaan pun menarik, tak membosankan. Seperti novel yang baik, kita
seolah-olah berada bersama penulis yang ligat ke sana ke sini.
2/
Buku ini catatan John Wood, lelaki yang bersemangat waja mahu mengubah dunia
(pendidikan) di negara-negara miskin dan membangun, dengan meninggalkan
kemewahan, keselesaan dan pangkat yang dinikmati di Microsoft.
3/
Hanya bermula dengan pelawaan spontan seorang lelaki bernama Puspathi pergi
menziarahi sebuah sekolah di Nepal, John nekad untuk membantu dan di situlah
titik mula penubuhan Room To Read, sebuah NGO antarabangsa yang mahu membantu
pembinaan sekolah dan perpustakaan di Nepal, selanjutnya Vietnam, India, Sri
Lanka, Cambodia dan beberapa negara lagi.
4/
John benar-benar memberi komitmen dalam usaha murni ini, sehinggakan banyak
pengorbanan masa, tenaga, harta diguna tanpa sebarang balasan material.
Peruntukan 10% daripada jumlah dana yang diperoleh oleh NGO, boleh digunakan
untuk urusan pentadbiran (gaji, sewa, dll), tapi John memilih untuk
meminimumkan penggunaannya sebanyak mungkin. Haih, memang ciri-ciri
'pengurusan Islamik' yang teori, benar-benar dilaksanakan oleh John.
5/
Tak hairanlah Room To Read berjaya berkembang dengan pesat dalam tempoh
beberapa tahun saja.
6/
Oh ya, selain sekolah dan perpustakaan, RTR juga mengusahakan biasiswa untuk
pelajar perempuan agar mendapat pendidikan yang sewajarnya. Pemahaman bahawa
ilmu lebih cepat tersebar (disebabkan hukum biologi wanita melahirkan dan juga
peranan wanita dalam membesarkan keluarga) sangat membuka mata. Usaha ini
memang serius dan patut disokong.
7/
Selain cerita penubuhan RTR dan usaha mengutip sumbangan, buku ini juga secara
tidak langsung memberi inspirasi berdasarkan kisah hidup peribadi John
sendiri.
8/
Saya suka dengan perangai John yang suka mencatat (jurnal), dimana saya masih
gagal untuk menjadikannya sebagai rutin harian. Mencatat akan membuatkan kita
lebih jelas dengan perancangan.
9/
Dialog antara John dan ayahnya semasa mencari sokongan sebelum meletak jawatan
di Microsoft, sangat mengesankan. Ayah John memberi penyataan ringkas,
"keutamaan hidup kamu sudah berubah, itu sahaja".
10/
Buku ini mengingatkan saya buku Travelog Haji tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim
dan buku Titil Nol oleh Agustinus Wibowo. Buku yang menceritakan perjalanan
hidup dan kejadian-kejadian yang memberi makna dalam mencari perubahan atau
hala tuju seterusnya.
Sebuah buku yang sangat berbaloi dibaca, dirasai dan difahami untuk mereka yang mahu mencari pengukuhan dalam kehidupan yang lebih bermakna.
#sharulmembaca
#malaysiamembaca
0 Comments