Ipoh Trip 2H1M Bermula Di Nasi Bamboo Sungai Klah

Saya teruja. 

Hati girang bagai digaru-garu kepingan kertas RM100 bersalut emas 916. Hajat saya untuk pusing keliling bandar Ipoh bakal menjadi kenyataan.

Untunglah saya ada sahabat yang sekepala lagi berwawasan. Kami dah lama merancang mahu membuat Ipoh Trip bersama rakan Nyut Bersaudara, satu klan travel yang terdiri daripada empat orang jejaka pengaturcara berusia. 

Tapi rancang dan merancang, hanyalah rancangan.

"Nyut, jom pergi Ipoh weekend ni?"

Ajak saya pada Nyut Bersaudara dalam group WhatsApp kami berempat. Group yang tertubuh sejak tahun 2013 saya rasa, semenjak pertama kali kami travel bersama ke Belitong, Indonesia.

Dua membalas ok, satu tak dapat turut serta kerana urusan keluarga. Ipoh Trip diteruskan!


Sabtu, 27 Ogos 2022

Jam 8.00 pagi, Nyut Fauzi sudah terpacak di laman rumah. Menepati masa, sangat tinggi budi pekerti beliau. Saya kagum dengan semangat jejaka Temerloh yang tinggi lampai ni, lalu tanpa rela saya pinjamkan buku Gadis Kretek. Saya catatkan di sini agar saya tak lupa nanti jika buku itu masih belum dipulangkan.

"Aku baru bangun tidur."

Masuk mesej Nyut Sen tepat jam 8.10 am. Ya, begitulah. Hampir saja saya mahu menyihir beliau dengan ilmu hitam yang ada, tapi saya takut kepada balasan tuhan yang tiada ampun.

Lagipun, Ipoh Trip ini temanya free & easy. Tak perlu kalut, itinerari yang saya buat semuanya hanyalah panduan. Dapat pergi, Alhamdulillah. Kalau tak, tak mengapalah.


Nasi Bamboo Sungai Klah

Asalnya tidak ada dalam perancangan, spontan saja dicadangkan semasa dalam kereta. Kedai yang terletak berhampiran dengan Exit Sungkai/Sg Klah ini agak tersohor di kalangan pemburu makan. Sering disebut orang. 

Waktu operasinya bermula jam 10.30 pagi. Dan kami tiba beberapa minit sahaja selepas waktu dibuka. Nasib kami baik, pelanggan masih belum ramai dan parking juga mudah.

Ah! Nyut Sen dah lama merancang, Nyut lain saja yang tak tahu.

Lauk pauk sudah tersedia. Yang mana nampak menggoda, kaut saja masuk ke dalam dulang. Berjalan-jalan dengan orang yang tahu menikmati makanan, membikin saya juling mata melihat lauk-pauk yang diambil.

Pedulilah.

Ini Ipoh Trip. Tanpa makan-makan, eloklah jadikan rombongan belajar membuat labu sayong.

Bismillah.


Ipoh Trip 2H1M Bermula Di Nasi Bamboo Sungai Klah
Ipoh Trip 2H1M Bermula Di Nasi Bamboo Sungai Klah






Reactions

Post a Comment

0 Comments