Dari Kundasang, kami terus ke destinasi yang telah kami susun dalam itinerari; Nohutu Ecotourism. Masih di dalam daerah Kota Belud, tapak chalet ini terletak di tebing Sungai Melangkap, Polumpung.
Bagaimana saya tahu tempat ini?
Ada sahabat saya orang Sabah (Kundasang) berkongsi aktiviti perkhemahan beliau bersama keluarga di sini dalam Facebook. Teruja melihat suasana yang aman damai, saya pun membuat carian dan rupa-rupanya Nohutu Ecotourism ini sudah 'viral' di sana sini. Yang menarik perhatian, tentulah sungainya yang luas dan jernih, kemudian ada pula latar belakang Gunung Kinabalu di kejauhan.
Oleh kerana tema percutian kali ini ialah nature, saya cadangkan kepada Hambal dan Firan untuk ke sini. Semua bersetuju dan saya pun buat tempahan seawal sebulan sebelum tarikh ke sana.
Jalan Yang Mencabar
Walaupun Kundasang itu lebih popular dari bandar utamanya Ranau, jalan utama di sini sangat mengerikan. Lubang bukan setakat muat untuk diletak kawah gulai, kalau dimasukkan keranda pun ada ruang lagi untuk diselitkan anak pokok pisang!
Bunyi macam berlebih-lebih, tapi itu yang boleh saya gambarkan keadaan muka bumi aspal utama antara Kota Kinabalu dan Kundasang. Sedih juga, kenapa lah tak ada kecerdikan yang timbul pada fikiran mereka yang bertanggungjawab? Walhal, Kundasang bukan kawasan terpenncil. Kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Malulah kalau terus dibiar begitu.
Kami ingat, itu hanya di Kundasang. Sekitar 5-10 km menghampiri Nohutu Ecotourism, kami hampir berpatah balik kerana menyangkakan jalan sudah tutup akibat tanah runtuh. Rupa-rupanya, jalan itu masih boleh digunakan sebab tanah runtuh yang menutup jalan sudah dipadatkan. Bolehlah kenderaan lalu untuk ke sebelah sana, walaupun memandu Proton Bezza!
Mencari Nohutu Ecotourism juga mencabar kesabaran. Kami bergantung sepenuhnya dengan Google Map, akhirnya sampai ke destinasi setelah penat bergelek perut mengelak lubang di atas jalan.
Komando Bamboo House, Nohutu Ecotourism
Dengan harga RM132 satu malam, saya menempah rumah buluh yang boleh memuatkan 6 orang dalam satu-satu masa. Rumahnya sangat basic. Ada katil dengan tilam yang nipis, ada bantal dan selimut. Ada satu plug point dan ada satu kipas dinding. Lantai pun buluh, boleh nampak tanah di bawah. Kalau nak kencing tengah malam, halakan saja di celah buluh. Jangan sampai tersepit, sudahlah!
Tandas pula berasingan dan berkongsi dengan pengunjung yang lain. Bersih tak bersih, kotor tak kotor.
Untuk makan, ada kafe di pintu utama. Boleh saja buat pesanan yang biasa-biasa seperti nasi goreng. Ada juga Maggie Cup. Untuk kami, ada makanan dari Kundasang yang kami bawa dan dapat bertahan hingga ke sarapan.
Kenapa tak makan di kafe? Ragukah dengan status halalnya?
Kalau kita lihat di media sosial, banyak posting dari orang Sabah yang 'pelik' dengan sikap orang Semenanjung tak mahu makan di kedai non-muslim. Bagi mereka, itu sesuatu yang biasa di negeri Sabah ini. Muslim makan di kedai non-muslim, dan disebaliknya.
Saya tahu, hanya segelintir saja yang kata begini. Harapnya begitulah.
Menjawab persoalan ini, mari saya kongsikan pendapat peribadi saya sebagai orang Semenanjung. Ingat ya, pendapat peribadi ini tak mewakili orang lain.
Untuk saya, saya mahu memastikan tahap halal masakan itu sendiri. Walaupun kita sudah bergaul berlainan agama sudah sekian lama, pemahaman tentang 'halal' itu bagi orang non-muslim masih lagi perlu dipertingkatkan.
Yang majoriti tahu, yang haram (bagi muslim) hanya babi dan arak.
Yang tak tahu, kami tak boleh menggunakan bekas yang sama yang digunakan untuk menghidangkan makanan/minuman haram ini. Sedangkan bekas saja tak boleh, apa lagi yang berkongsi minyak untuk menggoreng.
Ayam memang halal. Tapi ayam yang tidak disembelih (mengikut hukum) juga tak boleh kami makan. Kalau leher ayam itu dipancung begitu saja, mana boleh. Begitu juga dengan haiwan 'halal' yang lain seperti lembu, kambing, rusa. Semuanya perlu disembelih dahulu, barulah halal untuk dimakan.
Babi kalau kau nak sembelih, tak ada leher. Jangan nak buat cerita, boi. Babi tetap haram dulu, kini dan selamanya.
Panjang lagi kalau nak dihuraikan, tapi begitulah serba sedikit kenapa kami tak makan di kedai non-muslim. Melainkan sudah ada sijil halal dari JAKIM, kami makan tanpa ragu. Insya-Allah.
Jadi, jangan lah bersangka kami ini anti non-muslim, tak berfikiran terbuka. Kami hanya mencari apa yang disyariatkan oleh agama. Penjelasan saya ini mungkin tak berapa tepat, tapi asasnya begitulah.
Sungai Mleangkap Yang Biru
Depan pondok kami, terbentang luas Sungai Melangkap. Saya tak bohong bila saya
katakan warna sungai ini biru (turqoise). Sekali pandang begitulah. Tapi bila
semakin dekat, nampak seperti hitam. Ya, hitam. Hitam bukan kerana airnya
kotor berkeladak, tapi disebabkan air dari gunung yang sangat jernih sampai
boleh nampak dasar yang dipenuhi batu sungai yang pelbagai warna. Kiri kanan
sungai tidak ada pokok yang rimbun, jadi pemandangan menjadi sangat luas
sampai nampak Gunung Kinabalu di kejauhan.
Masya-Allah.
Walaupun deras dan sejuk, Sungai Melangkap yang menggiurkan tetap saja menggoda kami bertiga untuk merendamkan diri.
Kami mandi taklah begitu beria, cukup untuk menjadi bukti kami pernah dibasahi air yang jenih nun jauh di Kota Belud. Sempat juga kami mudik ke hulu, berjalan-jalan di kawasan sekitar. Ada jambatan gantung yang agak uzur tapi masih boleh dilalui, sempatlah kami berOOTD di atas sana. Nak dijadikan rezeki, Gunung Kinabalu memunculkan diri di kejauhan.
Pemandangan paling agung, kawan. Ada gunung, ada sungai. Ada kesunyian alam yang paling merdu.
Syurga.
Syurga kecil.
Dua kali kami mandi di sungai ini. Hari pertama dan kedua. Sejuknya tetap begitu, walaupun matahari terpacak di atas kepala. Hati-hati, kawasan ini sangat banyak batu dan air begitu deras terutamanya di tengah-tengah sungai. Kalau bawa anak-anak, tak boleh terlepas pandang.
Tayangan Alam Matahari Terbit
Kami bangun solat Subuh selepas melalui malam yang "menyeksakan". Jiran sebelah pondok kami, entah apa ajarannya dalam hal bercuti di lokasi sebegini, berkaraoke dari Maghrib membawa ke jam 12 tengah malam. Saya cukup anti dengan karaoke di kawasan terbuka. Cukuplah di rumah sendiri atau pergi saja ke pusat karaoke. Kenapa perlu menyanyi melalak di kawasan untuk kami berdamai dengan alam?
Hampir saja saya telefon kepada tuan punya Nohutu Ecotourism, tapi tak juga terbuat sampai ke sudah. Tahu-tahu jam sudah 12 malam dan keadaan terus menjadi sunyi.
Barulah terdengar deru sungai. Barulah bunyi alam menguasai suasana.
Saya tidur tanpa mimpi.
Selepas Subuh, kami bertiga duduk di tepi sungai untuk menyaksikan persembahan alam yang hebat. Kalau dua hari sebelumnya kami melihat matahari terbit di puncak Maragang Hill, hari itu kami melihat bintang panas muncul dari balik Gunung Kinabalu di Nohutu Ecotourism.
Pagi itu sunyi.
Hanya ada deruan air yang menemankan. Kami duduk di atas batuan di tebing sungai. Saya leka melihat biasan cahaya yang perlahan-lahan menerangi Polumpung. Entah kenapa, hati bergetar menyaksikan keajaiban yang tak ada tandingan ini. Saya letak kamera ke pangkuan, mahu menikmati suasana tanpa gangguan. Ada titisan air bergenang di bibir mata, mengakui kehebatan Maha Pencipta.
Kerdil sekali manusia ini. Dan alam seringkali mengingatkan manusia yang lalai.
Jungle Trekking
"Ada jungle trekking ke?"
"Ada. Tak jauh. 2 km saja pergi balik."
"Berapa bayaran?"
"RM25 saja."
"Seorang?"
"Bukan. Untuk tiga orang. Nanti kau bagi sama itu guide."
Saya dapat tahu Nohutu Ecotourism ada juga aktiviti jungle trekking melalui perkongsian di internet. Pada mulanya saya teragak-agak juga, sebab tak mahu mengotorkan baju dan kasut lagi. Sudahnya kami pergi juga walaupun mula agak lewat.
Hanya kami berempat (termasuk guide) yang masuk ke hutan di belakang Nohutu Ecotourism. Treknya pendek saja, tapi agak berselut. Jadi hati-hati dengan kasut. Pacat dan seumpama? Alhamdulillah tak berjumpa langsung.
Tak banyak yang boleh dinikmati untuk trek pendek ini. Mulanya kami ke sungai yang lebih kecil berbanding Sungai Melangkap. Jernih juga, tapi berlubuk. Dalam, agak berbahaya untuk mandi-manda. Kemudian kami terjumpa buah hutan entah apa namanya sudah lupa. Ada juga batu terbelah dua dan dikaitkan dengan mitos tempatan.
Yang paling saya suka ialah pemandangan pagi yang nampak jelas gunung Kinabalu di kejauhan. Dari hujung ke hujung. Waktu kami mahu turun ke tapak chalet, ada spot menarik untuk bergambar dan saya tak lepaskan peluang. Ada satu lagi gunung berbentuk seperti piramid. Menarik.
Kami kemudian mandi sekali lagi di sungai dan kemudian bersiap sedia untuk check out dan ke lokasi seterusnya.
Nohutu Ecotourism memberikan pengalaman yang pelbagai. Ada yang bikin hati bagai direnyuk, ada waktu mata terpegun melihat keindahan yang tak ada tolok bandingnya.
Untuk datang lagi ke sini, saya harus berfikir dahulu.
Buat masa ini, cukuplah sekali. Lain masa, tak ada siapa yang tahu.
0 Comments