Laut.
Saya bukanlah orang yang gemarkan laut. Atau lebih tepat saya katakan, orang yang tak suka berada di atas laut. Tak kisah lah naik feri apa lagi kalau naik bot kecil, hati saya jadi tak tenteram. Lagi-lagi kalau jauh ke tengah sampai tak nampak daratan, risaunya tak tau nak cakap.
Mungkin disebabkan saya tak pandai berenang. Boleh jadi. Saya tak suka berada di kawasan yang luas begitu, apa lagi di kawasan yang dalam. Tidak ada tempat untuk berpijak. Saya rasa saya akan jatuh dan terus jatuh ke dasar yang tak tahu di mana.
Tapi kalau sudah mengembara bersama orang lain, kita bertolak ansur lah sikit. Yang kita tak gemar, itulah yang ditunggu-tunggu oleh kawan-kawan. Yang kita minat, belum tentu orang lain mahu ikut sama. Mengembara bersama-sama ni, tak boleh ikut kemahuan sendiri saja. Kalau begitu, eloklah pergi sendiri.
Kos & Aturcara Daytrip Ke Mantanani
Saya masih boleh ke laut. Maklumlah, orang rumah saya pun orang pulau. Jadi laut memang sudah akrab dengan seorang Sharulnizam. Beberapa trip saya sebelum ni pun, ada juga acara terjun ke laut. Pertama kali saya membuat aktiviti snorkeling nun jauh di Pulau Lengkuas, satu pulau kecil di pulau Belitong.
Saya buat tempahan bot (day trip) menggunakan ejen yang sama untuk tempahan kereta sewa iaitu NH Travel Sabah. Harga per kepala ialah RM149 untuk perbelanjaan bot, peralatan snorkeling dan juga makan tengah hari. Ini aturcara yang telah ditetapkan oleh organizer;
ISLAND DAYCATION MANTANANI
0845 - Bertolak dari Ded'sa'an
0900 - Operator daripada KK dijangka tiba, urusan check in.
0930 - Bertolak ke Mantanani (45 min)
1015 - Dijangka tiba di Pulau Mantanani- Persiapan snorkeling (2 point)
1100 - 1st & 2nd Snorkeling (tertakluk cuaca dan keadaan laut)
1215 - Balik semula ke Mantanani & Makan Tgh Hari.
1300 - Aktiviti Bebas (Boleh berkayak)
1500 - Bertolak balik ke Jeti Rampayan
1545 - Tiba di Rampayan
Kami berkumpul di jeti JSK Mantanani sementara menunggu ahli rombongan dari Kota Kinabalu sampai. Saya rasa untuk akan datang, boleh saja berhubung terus dengan pihak JSK Mantanani untuk tempahan trip.
Panggilan Pulau Mantanani
Jarak perjalanan mengambil masa 30-40 minit, menyebabkan saya agak sedikit ragu dengan kemampuan untuk bertahan. Jadi saya menelan sebiji ubat mabuk, dan bersedia dengan plastik dalam beg untuk sebarang keberangkalian muntah. Kah kah kah! Memang mencabar. Laut tak begitu bergelora, cuma ombak agak besar. Sesekali, tak, rasanya banyak kali bot macam terbang kemudian jatuh terhempas bila berlanggar dengan gelombang laut. Masa tu, mengucap juga. Tangan tak lepas menggenggam apa yang boleh dipegang. Sekejap sekejap, saya pastikan ikatan life jacket kukuh, walaupun muka naik hijau rasa kurang selesa.
Mata saya tertutup saja. Takut motion sickness, walaupun ubat sudah ditelan.
Alhamdulillah. Kami selamat sampai tanpa ada apa-apa yang menyeramkan.
Kami berhenti di resort milik JSK untuk persediaan aktiviti snorkeling dan island hopping. Di sini setiap ahli rombongan yang berminat dengan aktiviti boleh lah bersiap sedia (tukar baju, etc) dan bot akan membawa ke lokasi snorkeling pertama.
Snorkeling
Saya teringat dulu ketika di Belitong. Pertama kali mahu melakukan aktiviti
snorkeling di Pulau Lengkuas saya begitu teruja. Turun dari bot pun tak ragu
walau berada di tengah laut. Saya berdiri di atas terumbu karang, dan sangkaan
saya kawasan itu taklah dalam. Saya sarungkan goggle, dan saya masukkan kepala
ke dalam air, seperti gaya rukuk dalam solat.
Saya tergamam. Hati berdegup kencang. Tiba-tiba rasa tak boleh nak bernafas.
Ada dua perasaan ketika saya tenggelam di dalam air.
Pertama; saya terpegun melihat keindahan terumbu karang yang selama ini saya lihat hanya di televisyen ataupun akuarium. Skala yang kecil. Tapi kali ini saya melihat kehidupan laut yang sangat besar dan luas, dengan warna-warni yang sangat memukau mata. Masya-Allah, cantik tak terkata.
Kedua; saya jadi gayat. Yang saya lihat dari atas bot seperti cetek, rupanya dalam laut tempat kami snorkeling tu mungkin tiga atau empat kali ganda ketinggian saya.
Perasaan kedua menguasai diri, tapi perasaan pertama mahu melawan. Sudahnya saya terpaksa berpaut pada rakan-rakan agar saya tak tenggelam. 'Mujur' hari hujan dan kami terpaksa naik ke atas bot secepat mungkin.
Itu pengalaman pertama saya dan rasa takut itu masih ada ketika ke Pulau Mantanani. Sewaktu bot berhenti untuk aktiviti snorkeling, saya orang terakhir yang turun ke dalm air. Kawan-kawan lain sudah jauh berenang ke tengah, saya terkapai-kapai menggunakan pelampung. Punyalah 'selamat', sudah ada life jacket ditambah lagi dengan pelampung. Masih tak berani bergerak jauh, lagipun seorang diri.
Tak sampai beberapa minit, saya naik ke atas bot. Kepala menjadi pening dan kurang selesa.
Ubat mabuk yang saya telan sebelum naik bbot di jeti JSK tadi, sudah mula memberi kesan.
Aduhai.
Saya terbaring di atas bangku, cuba melelapkan mata dengan keadaan yang kurang selesa.
Island Hopping
Lama juga saya terbaring, tahu-tahu semua dah masuk ke dalam bot dan kami beredar ke lokasinya. Rasa mengantuk saya sudah beransur hilang dan sudah boleh duduk seperti biasa.
Kami berhenti di pulau yang saya kurang pasti sama ada buatan ataupun semula jadi. Kenapa? Sebab pulau ini daratannya ialah terumbu karang. Kami berhenti tak lama, sempatlah bergambar dan berjalan hingga ke hujung.
Kemudian kami berhenti sekali lagi di sebuah pantai yang tak berpenghuni. Hanya pasir putih, laut biru dan ombak yang menderu. Nampak cantik dan bersih. Tak ada yang boleh dilakukan di sini selain daripada bergambar dan merakam video.
Cuma kesukaran di sini ialah sewaktu mahu kembali masuk ke dalam bot. Tidak ada tangga yang disediakan, jadi perlu ditarik oleh orang yang ada di atas. Bayangkan saya yang terlebih muatan ni, ibarat dugong terdampar mahu ditolak semula ke dalam air. Sangat merbahaya sebenarnya, boleh jadi luka. Pihak pengurusan JSK perlu ambil maklum hal ni. Kalau ada penumpang berusia, macam mana?
Makan Tengah Hari & Bercanda Di Pasiran Pantai
Kami pulang ke resort JSK sebelum mengakhiri aktiviti hari itu. Perut jadi lapar dan hidangan makanan tengah hari di sini harus saya puji. Saya tak rasa sebab saya lapar, tapi masakan di situ memang sedap. Paling sedap kalau boleh saya katakan sepanjang trip selama 7 hari ini. Kalaulah ada lauk lebih, memang saya ratah. Ehehehe!
Oleh kerana masa masih banyak berbaki, kami ambil keputusan untuk mandi laut. Hanya kami bertiga dan pasangan keluarga dari luar negara yang menggunakan peluang tu untuk mandi di pantai Pulau Mantanani, manakala yang lain sudah selesa berehat. Pantainya bersih dan landai, selamat untuk kanak-kanak. Tak lama pun kami berendam sebab hujan turun. Terus kami bersiap mandi air bersih dan oleh kerana semua orang sudah pun siap sedia, kami pulang awal dari masa yang ditetapkan.
Kali ini saya cuba mengambil risiko tak makan ubat mabuk. Walhal, laut nampak lebih bergelora berbanding waktu datang pagi tadi. Awan gelap dan hujan turun dalam perjalanan. Saya cuba buka mata sepanjang perjalanan dan Alhamdulillah, tidak mabuk dan tidak muntah.
Kami selamat tiba di jeti JSK dan terus saja kembali ke hotel untuk berehat.
Pengalaman di Pulau Mantanani sudah ada dalam simpanan kenangan.
0 Comments