Makam Pahlawan Mat Kilau, Galeri Mat Kilau Dan Amani Vanilla Temerloh.

Semalam (8 Oktober 2022) kami ke Jerantut, Pahang untuk menghadiri kenduri perkahwinan anak kepada dua pupu saya, arwah abang Ibas. Ini kali pertama kami ke Jerantut, dan agak di luar jangkaan sebenarnya. Saya sangka Jerantut lebih kecil berbanding Temerloh atau Bentong, rupanya besar juga.

Tamat acara makan-makan, kami pun beredar. Hafiz sedari awal sudah kami umpan dengan janji mahu ke galeri dan kubur almarhum Mat Kilau. Dengan atok dan nenek, kami terus menuju ke kampung Pulau Tawar yang pernah menyaksikan peristiwa gempar pada tahun 1969. Mat Kilau pada usianya 122 tahun, membuat pengumuman di dalam masjid menyatakan nama sebenar beliau ialah Mat Kilau, dan nama Mat Siam yang digunakan ketika itu adalah untuk penyamaran semata-mata. 


Galeri Mat Kilau

Kami terlebih dahulu ke Galeri Mat Kilau, agak kecil dan terletak bersebelahan dengan pejabat ADUN kawasan. 

Bayaran masuk ialah RM2 untuk dewasa, RM1 untuk kanak-kanak. Warga emas dan kanak-kanak bawah 6 tahun, percuma.

Tak banyak bahan pameran di sini. Hanya paparan teks pada dinding tentang sejarah zaman Mat Kilau dan British, replika masjid tempat Mat Kilau membuat pengumuman besar, patung-patung yang menyeramkan dan bilik tayangan.

Sempatlah juga kami menonton seketika. Rupa-rupanya itu video daripada rancangan Majalah 3.

Tak lama pun kami di sini, kemudian beredar ke kubur Mat Kilau yang terletak lebih kurang 5 kilometer dari galeri ni.

Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar
Galeri Mat Kilau
Galeri Mat Kilau
Galeri Mat Kilau
Galeri Mat Kilau
Galeri Mat Kilau
Galeri Mat Kilau
Galeri Mat Kilau



Makam Pahlawan Mat Kilau

Semenjak menonton filem Mat Kilau tempoh hari, Hafiz sangat teruja dengan apa saja cerita yang berkaitan dengan tokoh pahlawan dari Pahang ini. Dia pernah cakap yang dia berpakat dengan dua sepupunya (Sarah dan Haraz), satu hari nanti dia akan ambil lesen kereta dan akan memandu bersama-sama ke kampung Pulau Tawar menziarahi kubur Mat Kilau.

Sampai macam tu sekali!

Mana tahu, rezeki Hafiz sampai awal. Cuma tak ada Sarah dan Haraz.

Kubur Mat Kilau terletak di Kg Kedondong. Letaknya betul-betul di tepi jalan, memang boleh nampak dengan jelas. Kawasan perkuburan ni bersih dan luas. Dari pagar utama, ada laluan khas siap berlantai menuju terus ke kubur almarhum.

Mulanya kami mahu melihat dari luar saja, kemudian hanya saya tiga beranak nak turun. Alih-alih atok dan nenek pun turun juga.

Sempatlah kami sedekahkan Al-Fatihah untuk ahli kubur yang telah lama meninggalkan kita. Ada kubur yang berusia ratusan tahun di situ.

Bagus juga sebenarnya.

Selain mengingatkan kita tentang mati (melawat kubur), dapat juga saya dedahkan pada Hafiz tentang adab berada di kubur.

Alhamdulillah, tidak ada rasa gentar dalam jiwa Panglima Kundur kesayangan ni.

Makam Pahlawan Mat Kilau
Makam Pahlawan Mat Kilau
Makam Pahlawan Mat Kilau
Makam Pahlawan Mat Kilau
Makam Pahlawan Mat Kilau
Makam Pahlawan Mat Kilau
Makam Pahlawan Mat Kilau



Amani Vanilla Temerloh

"Abah, saya laparlah!"

Sebaik selesai solat di Masjid Jamek Pulau Tawar, Hafiz mengadu perutnya minta diisi. Anak bujang sedang membesar, makannya mahu selalu. Tapi badan cekeding macam tu juga lah.

Hanya dua tempat yang terlintas di fikiran. Makam aiskrim di Temerloh atau lemang To'ki di Bentong. Sudahnya kami putuskan untuk ke Amani Vanilla Temerloh, mengharapkan ada lempeng kelapa yang panas.

Waktu kami sampai, kereta sudah berderet di tempat parking. Kami terus saja masuk dan buat pesanan. Kecewa juga tak ada lempeng kelapa, jadi kami pesan saja set ubi kayu rebus dengan kopi vanilla, Coconut Shake, air kelapa dan aiskrim goreng. Total RM41.20.

Selepas buat pesanan, kami masuk ke dalam kafe yang agak berbeza berbanding kali terakhir kami ke sini. Lebih tertutup dan ada tambahan beberapa bahagian. Ada nursery pokok vanilla, ada ruangan makan yang lebih besar, ada persembahan band, ada aktiviti ATV dan juga lapangan paintball.

Kami makan dan bergambar, tak boleh berlama-lama kerana mahu segera pulang. Seboleh mungkin mahu elakkan berada dalam keadaan gelap (malam) di atas jalan.

Alhamdulillah, 6.50 petang kami selamat sampai ke rumah selepas seharian berjalan-jalan. Hafiz pun dah tak sabar nak kongsi gambar dan video pada Sarah dan Haraz. Atok dan nenek pun dapat bersantai-santai keluar dari rumah.

Moga ada manfaatnya perjalanan ini.

Amani Vanilla Temerloh
Amani Vanilla Temerloh
Amani Vanilla Temerloh
Amani Vanilla Temerloh
Amani Vanilla Temerloh
Amani Vanilla Temerloh








Reactions

Post a Comment

0 Comments