Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang

Sebelum mencatat entri ini, saya bertanya pada diri sendiri. Bila kali pertama kau menginap dalam hotel? Hotel yang benar-benar hotel. Bukan resort, bukan chalet, bukan motel. Yang ada lobi, yang ada swimming pool, yang ada bell boy.

Saya tak ingat, di mana dan bila. Tapi rasanya hotel yang pertama saya inap ialah selepas berkahwin. Tentulah, dengan Cik Milah. Mungkin di Alson Kelana, Seremban. Entah lah. Sudah lama berlalu. 

Kalau resort, chalet tu, banyaklah. Yang bajet-bajet. Atok Hafiz dulu kaki jalan juga, keraplah bawa kami ke sana sini. Tak ada lah hotel yang berbintang-bintang.

Tapi itu kenangan yang manis. Bukan mahal atau cantiknya yang dikenang, tapi saat bersama tu yang sebenarnya membahagiakan.

Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Hotel Ancasa Royale, Pekan, Pahang


Hotel Ancasa Royale, Pekan

Alhamdulillah, rezeki anak-anak saya sedikit berbeza. Tidaklah mewah, tapi masing-masing sudah beberapa kali menginap di hotel. Baik yang 2 bintang, sampailah yang berbintang-bintang. Ke mana lagi mahu dibelanjakan hasil titik peluh sendiri kalau bukan untuk yang tersayang. Menyimpan tu, menyimpan juga. Belanja tetap belanja.

Abang Haris melapor diri ke kampus pada 15 Oktober yang lepas, jadi kami berempat menuju ke Pekan yang mengambil masa lebih kurang tiga jam pemanduan. Saya sudah kurang daya untuk memandu balik hari untuk jarak jauh, maka kami berpakat untuk tidur semalam di sana.  

Tak banyak pilihan yang ada di Pekan, apa lagi di saat-saat akhir. Kami memilih Ancasa Royale saja, tak mahu ke Kuantan walaupun di sana lebih banyak pilihan. Kami mahu merasa udara Pekan, kawasan parlimen Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Mujur hanya satu bilik. Harganya memang bikin dompet menggigil. Kami tak ambil pakej sarapan kerana harga yang agak menjulingkan mata. RM35 untuk dewasa, RM17 untuk kanak-kanak. Pagi hari kedua kami memandu ke bandar (tak sampai 10 minit), sarapan kami tiga beranak hanya RM20++. Perut kenyang, duit pun jimat! Hahaaha!

Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang


Bilik 511

"Minta bilik mengadap sungai ya, dik."

"Boleh. Saya cari kalau ada lagi."

Saya meminta bilik yang mengadap Sungai Pahang, untuk menjamu mata sewaktu matahari terbenam atau pun terbit. Alhamdulillah, bilik kami nombor 511 jelas boleh nampak Sungai Pahang yang luas dengan air sungai yang berwarna keruh. 

Luas.

Itu komen saya yang pertama bila kaki melangkah masuk ke dalam bilik. Sangat luas, sebenarnya. Antara katil dan dinding tv, ada lantai yang cukup besar dan selesa. Untuk harga RM280 semalam, saya rasa sangat berbaloi. Berbanding dengan Hotel Movenpick di KLIA, harga lebih tinggi dan bilik jauh lebih kecil.

Bilik air juga sangat besar. Ada tab mandi dan ruang yang agak selesa untuk menukar pakaian. Yang tak gemarnya, dinding bilik air ada tingkap tembus ke almari baju, tembus pula ke dalam bilik. Memang lah memudahkan untuk mengambil baju, tapi salah selak semuanya ternampak! Naya.

Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Suasana bilik 511 hotel Ancasa Royale, Pekan, Pahang


Mandi Kolam Dan Sungai Pahang

Hari pertama, kami turun ke kolam renang yang sangat besar. Tak terasa berebut dengan orang lain. Cuma kecerunan kolam semakin dalam di satu bahagian. Untuk ketinggian saya 172 cm, memang sampai ke paras tengkuk. Hafiz cukup suka lah dapat berenang sana sini, tapi kesian pun ya juga sebab keseorangan. Nasib lah anak bongsu.

Sementara dia mandi, saya sempat ke tebing sungai yang berhampiran. Sungai Pahang mengalir laju menuju Laut China Selatan, membawa bermacam khazanah di dalam air. Sesekali ada bot kecil yang menderum laju melintas sungai. Mungkin menyusur ke jeti berhampiran bandar.

Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang
Percutian 2H1M Di Ancasa Royale Pekan, Pahang

Bandar Pekan tak lah sibuk, tak juga mundur. Ada percampuran antara moden dan tradisional. Pada satu sisi, saya merasa tenang dengan keadaan bandar yang bernuansakan zaman 80-an dulu. Membandingkan antara Gombak (dan Kuala Lumpur) dengan Pekan, amat terasa daripada segi kedamaian. Masih jelas rumah-rumah lama yang menggunakan papan. Ada yang dijaga dengan baik, ada yang sudah mereput lesu.

Saya bukanlah anti kemajuan. Tapi saya berharap bandar kecil seperti ini biarlah kekal sebegitu. Cukuplah dengan pembangunan yang tak seimbang. Sekali lagi saya buat perbandingan di Gombak. Bilangan gudang membeli-belah dalam radius 5 km saja sudah menghampiri 10 buah bangunan, tetapi bilangan pusat ilmu (sekolah) masih begitu juga tak berubah. Yang menyeksakan, sekolah sudah berusia lebih 50 tahun pun sudah azab strukturnya.

Biarlah Sungai Pahang mendengar keluhan kecil saya.








Reactions

Post a Comment

0 Comments