Kami menghantar abang Haris balik ke kampus, selepas tiga bulan cuti semester. Alhamdulillah, direzekikan untuk ke semester tiga (Tahun 2) dan berpeluang duduk di dalam kampus utama.
Bilik abang di blok C, dekat benar dengan Pusat Aktiviti Pelajar.
Cuma, itulah. Ada cumanya.
Katil abang patah penyokongnya. Jadi melendut di tengah-tengah. Kalau baring, tak tahulah mampu menampung berat abang yang dah naik berkilo-kilo.
Lagi menyedihkan, tilam pun tak ada. Jawatankuasa pendaftaran suruh buat aduan secara online, aduhai, nak buat hantaran pun tak lepas setelah beberapa kali mencuba.
Nampak gaya, abang tidur di lantai lah. Kalau aduan boleh dibuat pun, entah bila tilamnya sampai.
Kami ambil keputusan, cari saja tilam sendiri. Cari yang murah cukuplah, untuk sementara.
Kami pun ke bandar Pekan, tak sampai 10 kilometer dari kampus. Pusing keliling, terjumpa kedai tilam di hujung deretan kedai.
Pilih dan belek, minta kurang harga, akhirnya sehelai tikar dan tilam bertukar milik.
Kami pun pulang ke kereta.
Tapi mata saya sudah lama memerhati. Saya suka dengan suasana bandar yang bernuansakan zaman 70-an dan 80-an. Masih ada bangunan lama, malahan ada juga kedai yang batu di bawah, papan di atas. Tingkapnya pun klasik.
Manalah saya mampu menahan diri untuk tidak merakamkan gambar. Dapat jugalah beberapa keping, sekadar buat kenang-kenangan.
0 Comments