Mencari Warna-Warni Di Taman Rama-rama Kuala Lumpur

Ada perkara-perkara dalam hidup yang kau ingin buat sekian lama, tapi terpendam tak terlaksana. Biasa terjadi, kan? Kadang-kadang tu, bukan disebabkan halangan masa, wang mahupun kesihatan. 

Jadi, apa yang menghalang?

Malas!

Itu salah satu sebabnya. Banyak lagi yang boleh menjadi punca, tapi malas adalah alasan yang paling agung.

Macam saya.

Sebenarnya dah lama menyimpan hasrat untuk ke Taman Rama-rama di Kuala Lumpur. Tujuan utama, tentulah bermain fotografi. Saya mahu menguji kemahiran menggunakan kamera telefon, kamera Olympus untuk macro photography. Ini sebenarnya 'short cut', kerana subjek saya yakni rama-rama, sudah berkumpul di satu tempat.

Saya membayangkan taman ini akan meriah dengan kehadiran rama-rama, dan juga bunga yang berwarna-warni. Mungkin, ada terselit Sang Tinkerbell yang comel. Heh!

Sehinggalah saat itu termakbul pada tarikh 25 Oktober 2022.

Taman Rama-rama Kuala Lumpur


Taman Rama-rama Kuala Lumpur

Waktu operasi seperti yang tertera di papan kenyataan di taman ini ialah setiap hari, bermula jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang.

Jam 9.30 pagi, saya dan Hafiz menjadi antara pengunjung yang terawal. Harga tiket seperti yang tertera ialah RM13.00 untuk dewasa, RM6.00 untuk kanak-kanak. 

Ada satu plak di dinding memaklumkan taman ini dirasmikan pada 1 Februari 1994. Maknanya sudah menjangkau 28 tahun sewaktu kami berdua melangkah masuk ke bangunan kecil ini. Melangkah ke lobi utama, terasa benar suasana 90-annya.

Selesai membayar tiket, kami pun dengan rasa teruja memulakan pengembaraan.

Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur


Hijau

Satu perkara yang sangat nyata, kawasan kecil di belakang bangunan ini rimbun dengan warna hijau. Segar dengan udara yang bersih. Tapi, kenapa hijau saja? Mana bunga-bunga untuk rama-rama mencari madu? Ada tu, ada lah. Tapi warna hijau lebih mendominasi.

Kami pun segera memulakan operasi.

Kamera sudah tersedia di tangan. Beg yang penuh dengan segala macam gajet, terasa sedikit berat disandang. Peluh sudah berjurai keluar membasahkan baju, memberi petanda yang tidak bagus untuk kondisi badan. Namun misi mesti diteruskan. 

Seekor. Dua ekor. Hilang. Seekor muncul. Ah, di sana ada lima ekor mungkin.

Ya tuhan.

Ligat betul makhluk ini terbang dari satu pokok ke pokok yang lain. Mata saya ligat mengekori, berharap ada yang turun ke depan mata. Namun hampa. Kebanyakan masa, rama-rama di sini nun tinggi di atas, bergayutan di jaring yang menutup kawasan taman.

Manalah kamera saya sampai!

45 minit di dalam taman, saya sudah kecewa. Tidak banyak yang dapat saya rakamkan melalui kamera. Karenah Hafiz pun, sedikit sebanyak membuat mood memburu menjadi suram. Peluh semakin banyak dan petanda saya perlukan makanan semakin kuat berdenyut.

Saya tamatkan pengembaraan dan masuk ke dalam bangunan untuk ke ruang pameran.

Ya, kawan.

Masih kekal dengan suasana 90-an. Masih retro. Mujur saja tak ada lagu Fauziah Latiff atau Ibnor Riza berkumandang.

Saya tak berlama-lama di sini, namun sempat singgah melihat beberapa haiwan kecil yang disimpan dalam balang kaca.

Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Suasana yang hijau


Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Sebahagian rama-rama dan kawan-kawan yang ada


Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Taman Rama-rama Kuala Lumpur
Dalam ruang pameran



Penambahbaikan

Kami tamatkan lawatan dengan sebotol air manis dan sebatang aiskrim sejuk buat penghilang penat, dan rasa kecewa.

Kalau boleh saya cadangkan, buatlah penambahbaikan taman ini. Suasananya terlalu hutan, entah celah mana bunga nak tumbuh meraikan rama-rama.  Mungkin apa yang ada sekarang, itulah yang sepatutnya. Itu saya tak tau. Tapi terus-terang, inilah yang pertama dan terakhir saya ke sini.

Rugi jika taman ini tak mengambil peluang disebabkan kedudukannya yang terletak di kawasan strategik pelancongan. Di sekitar taman ini penuh dengan taman-taman lain tang lebih menarik.

Harap pihak pengurusan taman ini buatlah sesuatu.







Reactions

Post a Comment

0 Comments