Mendaki Bohey Dulang Dalam Hujan

Aktiviti kami yang pertama di bumi Semporna ialah island hopping. Ada tiga pulau semuanya; Bohey Dulang, Mataking dan Timba-timba.

Pulau yang pertama hari tu, Bohey Dulang.

Kalau dilihat pada perkongsian orang ramai di media sosial, Bohey Dulang memang selalu disebut. Pemandangan dari atas bukit dengan latar belakang air laur berwarna turqois dan biru gelap, memang memukau mata.

Ya, saya sebut atas bukit.

Untuk mendapatkan gambar begitu, harus mendaki bukit yang berketinggian lebih kurang 700 meter dari aras laut. Tak sampai satu kilometer pun. Tapi. Ya, ada tapinya. Dengan berat badan saya yang melimpah ruah, mendaki bukit setinggi secoet itu bakal memberi cabaran yang menggugat keyakinan. Padahal, setahun sebelum tu saya mendaki Maragang Hill, cabarannya mungkin tiga kali ganda menyeksa!

Bohey Dulang, Semporna, Sabah
Bohey Dulang, Semporna, Sabah
Bohey Dulang, Semporna, Sabah


Kami tiba di jeti Bohey Dulang sewaktu hujan turun agak lebat. Hampir saja dibatalkan, jika keadaan semakin memburuk. Mujur, kami dibenarkan untuk meneruskan pendakian. Terlebih dahulu kami diberi taklimat oleh petugas di sana. 

Saya semakin berdebar.

Mampu tak?

Permulaan pendakian, saya masih bersama dalam kumpulan seramai 14 orang. Laluan awal ialah laluan bertangga yang dibina kemas. Seorang demi seorang menyerah, tak sampai pun 15 minit!

Saya semakin jauh ditinggalkan di belakang. Hafiz dan umi jauh sayup-sayup di hadapan, kemudian hilang tak dapat dikesan. Saya mencungap. HR pada jam tangan sudah beberapa kali memberi amaran, sudah melebihi had yang saya tetapkan.

Nampak gaya, saya juga bakal berpatah balik.

Saya duduk berehat. Air diteguk menghilangkan penat. Makan, tak lalu. Saya mengatur nafas, sambil berfikir mahu terus atau patah balik.

Takkan lah nak turun, sudah jauh terbang merentas lautan sampai ke sini. Sudahpun separuh perjalanan. Hafiz dan umi pun dah sampai agaknya. 

Bohey Dulang, Semporna, Sabah

 

Saya menghela nafas. HR sudah kembali tenang. Saya mendongak memerhati pokok-pokok yang melambai tinggi. Seperti bersorak-sorak mendorong saya meneruskan langkah.

Saya pun bangun. Langkah perlahan-lahan, mengikut kemampuan diri.

5 minit. 10 minit. 20 minit.

Laluan trek sudah mula landai. Tidak ada lagi cerun memerah kudrat.

Nun, Hafiz terkedek-kedek datang menjemput saya.

Alhamdulillah.

Selamat juga saya sampai ke puncak.

Entah malang atau bertuah, pemandangan di puncak kelam dek cuaca yang suram. Hujan masih turun membasahi lantai Bohey Dulang. Warna turqois laut ada, tapi tak seindah yang dilihat dalam gambar kebanyakan orang.

Tak mengapalah.

Yang mana mahu diraikan?

Pemandangan Bohey Dulang, atau perjuangan melawan semangat yang hampir berputus asa sebentar tadi?

Kalau boleh meraikan keduanya, kenapa mahu pilih satu? Eheh!

Terima kasih, Bohey Dulang. Untuk pengalaman dan pengajaran.

Bohey Dulang, Semporna, Sabah
Bohey Dulang, Semporna, Sabah
Bohey Dulang, Semporna, Sabah
Bohey Dulang, Semporna, Sabah

Kami turun selepas 15 minit di puncak. Masih ada aktiviti yang perlu dikejar. Perjalanan turun lebih mudah dan pantas, tetapi menguji ketahanan lutut.

Alhamdulillah.

9 daripada 14 yang mendaki, berjaya sampai ke puncak.

Termasuklah kami tiga beranak.








Reactions

Post a Comment

0 Comments