Bercerita Tentang Impian Pada Suatu Pagi Di Kuala Muda, Langkawi

Impian. Hampir semua yang bernyawa ada keinginan yang mahu dikecapi. Besar atau kecil, bukan lah persoalan. Ia adalah satu nikmat perasaan yang dianugerahkan tuhan.

Impian, menjadikan kita bercita-cita. Cita-cita melahirkan usaha. Dan usaha, jarang menidakkan kejayaan.

Cita-cita yang hanyut mengikut waktu tanpa tindakan, itu biar Mat Jenin yang merajainya.

Impian.

Saya ada satu impian kecil.

Saya mahu mempunyai rumah nun jauh dari kesibukan kota. Di desa. Rumah kecil saya, tidak mewah. Cukuplah ada ruang tamu, ruang dapur, bilik solat, perpustakaan, dan bilik tidur kami sekeluarga. Bahan binaannya tak perlu jenama mahal, asalkan kukuh melindungi sudah memadai.

Namun saya mahu laman rumah yang luas. Ada pokok rambutan di luar dapur. Ada pangkin untuk saya dan isteri bersantai pagi ataupun petang. Ada Tambi dan Gulai menemani. Abang, kakak, adik dan Hafiz sekejap-sekejap muncul pulang dari kerja atau universiti. Kami berbisik menghitung hari menerima menantu ke dalam keluarga. Pening kepala memikirkan belanja walimatul urus.

Heh!

Oh! Buah pisang nangka di belakang rumah sudah boleh dicantas. Merintih pilu pinggang saya ketika mengangkat tandanan pisang ke dapur. Aduhai. Puan Milah yang mendamaikan mencelur hirisan pisang pada bancuhan tepung, lalu direndam ke dalam minyak panas di dalam kuali. Gelegak yang mengecurkan liur itu beriringan dengan aroma wangi yang menyegarkan.

Kami berdua menikmati gorengan tadi di pangkin. Dengan secawan kopi untuk puan isteri, dan milo panas untuk saya.

Damai.

Indah.

Cita-cita. 

Mungkinkah akan menjadi kenyataan?

Sunrise di Kuala Muda, Langkawi
Sunrise di Kuala Muda, Langkawi
Sunrise di Kuala Muda, Langkawi
Sunrise di Kuala Muda, Langkawi
Sunrise di Kuala Muda, Langkawi
Sunrise di Kuala Muda, Langkawi






Reactions

Post a Comment

0 Comments