Alang Sedayu.
Bukanlah asing bagi orang Gombak yang berusia 30 tahun ke atas. Satu waktu dulu, Alang Sedayu, Sungai Rumput dan Mimaland pernah mencapai puncak gemilang mereka.
Kini Mimaland sudah tiada. Sungai Rumput pun entah apa cerita. Yang terus mekar mengikut zaman tinggallah Alang Sedayu.
Hari tu kami berpakat empat beranak mahu berkelah di sini. Dengan bermotorsikal, kami bertolak dari rumah sekitar jam 10 pagi. Tak sampai 30 minit, kami sudah menjejak kaki ke dasar sungai Alang Sedayu yang sejuk.
Damai.
Tenang.
Segar.
Alang Sedayu mengalir tenang mengusap mesra kaki kami yang comot. Dingin air yang mengalir di celahan bongkah batu dan dipayungi kanopi hutan, bagai mengurut lembut segala sendi yang lelah.
Sesekali panahan matahari tembus di antara daun, menembak tepat ke wajah kami yang sudah tersampuk rasa ceria dan suka.
Saya menarik nafas sedalam-dalamnya, lalu dilepaskan beriringan dengan segala keserabutan di jemala.
Alam.
Alam adalah terapi yang paling mujarab untuk mengubat penat jiwa dan fikiran. Alang Sedayu meraikan kami dengan penuh keikhlasan.
"Dah 21 tahun kahwin, ini pertama kali abah bawa umi ke sini."
Puan isteri meluah rasa.
Ya. Saya pun tak tahu mengapa. Walhal, dekat benar dengan rumah.
Mungkin, selepas ini kami akan lebih kerap ke mari.
Hari ini, berempat. Dua lagi nun jauh di Johor dan Sabah.
Esok lusa, tinggal bertiga. Si sulung bakal memyambung pelajarannya lagi ke peringkat ijazah.
Tinggallah si bongsu.
Ada rezeki, dua tahun bersayap lah juga kesayangan abah umi ini, terbang meninggalkan sarang.
Tinggal lah kita berdua.
Waktu itu, entah ada semangat atau tidak mahu ke Alang Sedayu lagi.
0 Comments